Journal 2014 - # 779

Salam perpaduan salam perjuangan!

Wanita Ialah Fitnah?

Assalamualaikum! Hi uols! Saya pernah membaca sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud: "Aku tidak tinggalkan selepasku suatu fitnah yang lebih besar kepada lelaki melainkan fitnah wanita."

Apakah kehendak hadis ini? Sekiranya wanita itu fitnah, maka sudah tentu banyak perkara yang menghalang wanita dalam berkerjaya seperti keluar bekerja dan sebagainya.

Hadis ini tidak menggambarkan Islam meletakkan wanita dalam keadaan serba salah. Hal ini kerana Islam telah meletakkan amalan wanita setaraf dengan amalan lelaki. Buktinya firman Allah dalam surah al-Tawbah ayat 71 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang beriman lelaki dan wanita; setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain. Mereka menyuruh membuat kebaikan dan melarang daripada melakukan kejahatan."

Berkenaan dengan maksud hadis di atas, tidak dinafikan terdapat banyak hukum-hukum yang berkaitan dengan wanita berbanding dengan lelaki. Namun apabila dikaitkan dengan fitnah, wanita itu tidak secara mutlak menjadi fitnah kecuali jika membuat perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan nas-nas syarak.

Contohnya perbuatan "mengada-ngada" atau "bersuara manja" dalam berbicara dengan tujuan untuk menarik perhatian serta menggoda lelaki. Ini dinyatakan dalam surah al-Ahzab ayat ke 32 yang bermaksud: "Oleh sebab itu, janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu) dan berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan)."

Macam-macam Fitnah

Apa yang perlu difahami ialah tentang fitnah itu sendiri bukan pada wanita. Ini kerana fitnah itu boleh berlaku daripada perkara-perkara yang lain juga. ini dinyatakan secara jelas oleh Allah seperti dalam surah al-Thaghabun ayat 14 dan 15, al-Anfal ayat 28, al-Munafiqun ayat 9 dan beberapa ayat lain yang menyuruh agar kita berhati-hati dan berwaspada.

Daripada keempat-empat ayat di atas, Allah menegaskan fitnah boleh datang daripada harta benda, anak keturunan dan juga para isteri. Kesemua sumber fitnah tersebut melanda umat Islam sama ada kita sedar ataupun tidak.

Justeru, meletakkan wanita sebagai fitnah tanpa kefahaman jitu berlandaskan nas al-Quran dan hadis yang jelas merupakan suatu perkara yang tidak menepati kehendak syariat itu sendiri.

Bahkan, sebaik-baik harta menurut Rasulullah s.a.w. ialah wanita yang solehah. Oleh sebab itu, tidak benar wanita itu fitnah semata-mata tanpa ada sebab munasabah. Boleh jadi wanita juga ialah sebaik-baik harta dunia kerana kebaikan dan keimanan mereka.

No comments: