Journal 2014 - # 745

Salam perpaduan salam perjuangan

Dimana Adab Kita Sebagai Orang Islam?

Islam mengajar kita untuk menghormati orang lain walaupun orang itu bukan beragama Islam. Kita diajar untuk memikirkan orang lain dan cuba sedaya upaya untuk memahami keadaan yang dilalui orang.

Malangnya episod baharu ini seperti tidak diendahkan oleh orang Islam malah ada yang mempolitikkan isu ini.
Kita sebagai orang Islam perlu menghormati orang. Cuba ingat bagaimana Nabi Muhammad dahulu dicerca, dimaki-hamun, tetapi secara lembut-lembut, perlahan-perlahan menarik orang masuk Islam. Itu ialah resepinya. Resepi untuk orang faham mengenai agama ini. Agama ini mengajar kita untuk beradab dan bukannya membuang di luar tingkap.

Mungkin dia mempunyai pendapat yang tidak serupa dengan kita. Mungkin dia cakap benda yang mengguris hati kita tapi bukankah dia juga seorang manusia? Sama seperti kami dan anda juga? Keluarga dia juga mempunyai perasaan dan apabila orang daripada agama lain melihat kita yang berperangai tidak bertamadun pastinya orang daripada agama lain seperti takut dengan Islam kerana adab kita melambangkan agama kita.

Membaca komen-komen di media-media sosial amat mengecewakan.

Hairan mengapa orang yang mengaku dirinya seorang Muslim dan beragama Islam menulis komen-komen yang menusuk dan tidak sensitif langsung.

Kita hina-hina dia tetapi betapa lama kita boleh hidup? Dosa kita semua dah terhapus? Adakah kita 100% masuk syurga? Kenapa ramai sangat orang yang komen seperti orang yang mati itu seperti dia bukan manusia?

Kita tidak perlu mengangkatnya tetapi kenapakah ramai yang beragama Islam seperti kurang rasa kemanusiaan itu?

Di manakah sikap kita yang sepatutnya menghormati orang itu?

Adakah media-media sosial yang penuh dengan kenyataan sarkastik, menghina dan tidak membina? Akibat terlalu banyak masa berada di dalam media-media itu, habis semua adab telah hilang daripada hati dan di dalam hati hanyalah kata-kata yang sarkastik ataupun tidak membina hasil daripada pembacaan berpanjangan di dunia tanpa sempadan ini.

Hidup kita hanya sementera. Apa yang kita buat akan diingati. Apabila kita tidak sensitif dengan orang, orang juga akan tidak sensitif dengan kita. Apa yang kita buat pada orang, orang akan ingat sampai bila-bila. Bayangkan bila anda sendiri mati. Mungkin akan ada orang cakap, “padan muka” pada anda. Kenapa? Kerana adab yang tak berapa itu.

Kita pembaca imej agama kita. Apabila kita membawa imej tidak baik, orang akan merasakan bahawa Islam itu tidak baik. Jika kita menggelarkan diri kita seorang yang beragama Islam, kita perlu sedar setiap komen, setiap perbuatan, dan segala apa yang kita lakukan, semuanya, akan mencerminkan diri kita sebagai orang Islam.
 
Harus dibezakan antara pluralisme agama dengan menghormati agama lain. Islam mengajar kita untuk menghormati agama lain, BUKAN bererti Islam mengiktiraf bahawa agama lain sama benar dengan Agama tulen yang diturunkan kepada manusia oleh Allah. Menghormati agama lain boleh dilakukan dengan mengadakan dialog antara agama, mengadakan "road show" kepentingan menghormati agama lain dalam masyarakat majmuk di Malaysia, mengadakan pameran berkenaan dengan agama yang ada di Malaysia dan dunia serta mengadakan diskusi ilmiah berkenaan agama.

Amat tidak benar hanya kerana mahu digolongkan dengan golongan yang (konon-kononnya) toleransi , sederhana, tidak ekstrim dalam pandangan dan mengikut zaman, kita rela menyatakan bahawa Agama Islam, agama Hindu, Buddha dan Kristian serta lain-lain agama sebagai agama yang menuju kepada tuhan lalu diganjari syurga. Lalu apakah bezanya antara Islam dan bukan Islam? Bukankah istilah "kafir","ganjaran neraka" , golongan "sesat", golongan "dimurkai" itu ada tersebut dalam Al Quran? Bukankah nabi Muhammad itu diutuskan untuk memisahkan antara yang Haq dan yang bathil serta memberi penerangan tentang agama yang sebenar-benarnya kepada manusia?

Ini TIDAK BERERTI apabila anda menganggap bahawa Islam satu-satunya agama yang benar, anda akan menjadi seorang yang agresif, zalim, diktator, konservatif, serta ekstremis. Ia TIDAK BERERTI bahawa dengan menganggap bahawa Islam merupakan agama yang menuju ke syurga , anda akan mengkritik agama lain secara semberono, mencaci maki tuhan sembahan agama lain, memusuhi orang bukan Islam , membunuh mereka yang ingkar (waiyyazubillah) serta menghalalkan segala perbuatan buruk kepada mereka (yang bukan Islam)

Seorang saudara yang benar dalam Aqidahnya dan sahih dalam amalannya akan bersifat lembut jiwanya berhadapan dengan persoalan daripada sahabat Bukan Muslimnya, berhikmah dalam berdiskusi tentang perbezaan agama ,tidak provokatif dalam tindakannya, dan ingin sekali melihat sahabat mereka yang non muslim kembali semula (revert) kepada agama fitrah mereka , yakni Islam. Saudara yang sahih Aqidahnya ini ingin benar melihat sahabatnya yang bukan Muslim ini merasai kelazatan dan kemanisan beriman dengan iman yang benar kepada Allah. Mereka ingin benar melihat sahabat bukan Islam ini menjadi saudara seAgama mereka yang mempunyai hak yang lebih berbanding ketika masih bukan Islam lagi.

Kalau inilah pegangan kita, ini bermaksud kita MENGHORMATI AGAMA LAIN , bukan MENGIKTIRAF AGAMA LAIN sama benar dengan Agama Islam ini. Wallahua'lam.

No comments: