Journal 2014 - # 764

Salam perpaduan salam perjuangan!

Adakah Allah Reda Kepadaku?

Assalamualaikum! Hi uols! Hidup pada akhir zaman ini penuh dengan ujian dan cabaran. Kadangkala iman naik mendadak dan selalunya iman mudah menurun disebabkan terlalu banyak faktor sekeliling yang menjurus kepada menurunnya iman. Hati saya risau jika sesorang itu boleh mengetahui bahawa Allah meredai akan dirinya atau tidak? Adakah ada tanda-tanda yang menunjukkan Allah Taala reda kepada sesorang?

Pertamanya, sama-samalah kita berdoa agar Allah memperteguh iman kita dan meredai hidup kita khususnya pada zaman yang penuh dengan ujian ini.

Sesungguhnya Allah dengan sifat kasih dan sayang-Nya kepada hamba-hamba-Nya ada menunjukkan tanda kasih dan reda-Nya kepada hamba yang dikasihi dan diredai-Nya. Dalam al-Quran dan hadis-hadis yang sahih, terdapat beberapa pernyataan yang mengungkapkan tentang perkara ini.

Antara tanda-tanda Allah Taala meredai akan hamba-Nya ialah: Sesorang itu sentiasa dipermudahkan untuk melakukkan perkara-perkara kebaikan dan ketaatan serta dijauhi daripada terlibat dengan perkara-perkara mungkar dan kemaksiatan.

Allah Taala berfirman yang bermaksud:
"Dan orang-orang yang mahu menerima petunjuk, Allah akan menambahkan petunjuk kepada mereka dan memberikan balasan ata ketakwaan mereka." (Surah Muhammad 47: 17)
Dalam ayat Allah Taala yang lain, bermaksud:
"Dan orang yang berjihad untuk mencari keredaan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya, Allah benar-benar bersama orang yang berbuat baik." (Surah al-Ankabut 29: 69)

Manakala apabila seseorang itu cuai dan lalai daripada melakukan ketaatan dan sering melakukan kemungkaran, sesungguhnya perkara tersebut merupakan tanda ketiadaan reda Allah terhadap dirinya.

Allah Taala juga telah menjelaskan dalam kitab-Nya bahawa antara tanda keredaan-Nya dan hidayah-Nya kepada seseorang ialah, dilapangkan dada seseorang hamba-Nya kepada petunjuk dan keimanan yang benar kepada Allah. Dalam masa yang sama juga, Allah Taala menyatakan antara tanda jauh dan sesat seseorang itu ialah sesak dan sempitnya dada seeorang terhadap agamanya.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Sesiapa yang Allah ingin memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk yakin dan mengimani aqidah Islam. Dan sesiapa yang dikehendaki Allah akan kesesatannya, nescaya Allah menjadi dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang yang tidak beriman." (Surah al-An'am 6: 125)
Ibn 'Abbas r.a. mentafsirkan ayat ini dengan maksud, sesungguhnya Allah akan meluaskan dan melapangkan dada sesorang yang diredai-Nya kepada mentauhidkan Allah dan beriman kepada-Nya. (Tafsir Ibnu Kathir, jil. 2, hlm 175)

Antara tanda kasih dan reda Allah terhadap hamba-Nya juga adalah Allah akan menggerakkan hati insan-insan yang lain untuk mengasihi sesorang yang dikasihi dan diredai-Nya.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud:
"Apabila Allah mengasihi sesorang hamba-Nya Allah akan menyeru Malaikat Jibril a.s. dan menyatakan bahawa Dia mengasihi akan hamba-Nya itu, maka kasihilah dia. Lalu Jibril pun mengasihinya dan menyeru penduduk langit dan menyatakan bahawa Allah mengasihi hamba tersebut maka kasihilah dia. Lalu penduduk langit pun mengasihinya. Kemudian hamba tersebut akan dikasihi dan diterima pula di sisi penduduk bumi." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata al-Imam al-Nawawi rhm. daripada kata-kata Nabi s.a.w. yang bermaksud "Kemudian hamba tersebut akan dikasihi dan diterima pula di sisi penduduk bumi" ialah seseorang itu akan dikasihi dan diredai oleh orang ramai yang berada di bumi. Hati-hati manusia akan mudah cenderung untuk menyukai, mengasihi dan menredainya.

No comments: