Journal 2014 - # 525

Hi uols!! Salam perpaduan salam perjuangan!! Detik bersejarah itu dirakamkan pada 16 September 1963 yang menyaksikan penggabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Singapura bagaimanapun keluar dari Malaysia pada tahun 1965.


Berkongsi pandangan mengenai sejarah itu, Pensyarah Kanan, Program Hubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial, Universiti Malaysia Sabah, Dr. Zaini Othman menyifatkan pembentukan sebuah negara bernama Malaysia ini merupakan nikmat besar bagi seluruh rakyat.

Katanya, selepas lima dekad pembentukan Persekutuan Malaysia, bukan sahaja Sabah, malah
kesemua entiti politik yang wujud dalam Persekutuan Malaysia telah menikmati semangat kerjasama seperti yang termaktub dalam Perlembangaan Malaysia. Keselamatan, pendidikan dan sumber manusia, umpamanya merupakan tanggungjawab bersama dalam kalangan entiti politik Persekutuan Malaysia. Jaminan itu adalah manfaat berharga yang dinikmati oleh setiap entiti politik dalam Persekutuan Malaysia, termasuk Sabah.

Tahun ini merupakan tahun ke-51 Sabah, Sarawak dan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) membentuk negara Persekutuan Malaysia. Hakikat sejarah yang tidak boleh kita nafikan Sabah tidak menyertai Malaysia, tetapi lebih tepat, Sabah, Sarawak, Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura (kemudiannya keluar dari Persekutuan Malaysia pada tahun 1965) telah membentuk Persekutuan Malaysia," jelasnya.

Bagi mantan Pengarah Arkib Negeri Sabah, Datuk Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin, penubuhan sebuah gagasan bernama Malaysia yang menggabungkan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura sehingga 1965 merupakan satu nikmat besar yang perlu disyukuri. Selepas Tanah Melayu bebas daripada penjajahan pada tahun 1957, Perdana Menteri ketika itu, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan mengenai penubuhan sebuah gagasan baharu menerusi gabungan bersama Singapura, Brunei, Borneo Utara (Sabah) dan Sarawak pada 27 Mei 1961 di Singapura.

Apa yang dilakukan oleh Tunku ketika itu adalah untuk mewujudkan satu kerjasama politik dan ekonomi yang lebih erat dalam kalangan wilayah-wilayah serumpun. Malah, penggabungan ini turut mengambil kira pandangan semua pihak termasuklah kalangan pemimpin dan rakyat setiap wilayah. Ketika itu, sikap tolak ansur dalam kalangan pemimpin begitu terserlah semata-mata untuk melihat rakyat bersatu di bawah satu payung negara.

Di sebalik kepelbagaian kaum dan etnik di negara ini, rakyat seharusnya bersyukur kerana dapat menjalin perpaduan erat selama lima dekad. Tidak banyak negara di luar yang mampu berdiri dan duduk bersama di bawah satu pemerintahan seperti yang dirasai oleh rakyat negara ini. Sekalipun banyak rintangan pada awal penubuhan gagasan ini termasuk campur tangan negara jiran dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun berbekalkan semangat persahabatan serantau, jalan penyelesaian berjaya dicapai.

Dalam pada itu, Penyelaras Unit Pengajian Kerajaan Tempatan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Kota Kinabalu, Prof. Datuk Dr. Chua Kim Hing menyifatkan penyertaan Sabah khususnya dalam pembentukan Malaysia telah memberi manfaat pembangunan yang ketara. Jika melihat kepada perubahan pembangunan, memang tidak dinafikan Sabah lebih baik berbanding sebelum ini. Pembangunan asas fizikal boleh dilihat di mana-mana dengan adanya hospital, sekolah-sekolah dan jalan raya.

Semua ini adalah hasil perkongsian kemerdekaan yang Sabah kecapi sejak 51 tahun lalu. Begitu juga dengan aspek insaniah diberi penekanan. Bagaimanapun, beliau mengakui agihan pembangunan di sesetengah tempat terutamanya di kawasan pendalaman dan luar bandar masih belum berada pada tahap yang dibanggakan. Kita boleh lihat pembangunan pesat di kawasan luar bandar di sesetengah negeri, tetapi Sabah masih terkebelakang. Mungkin disebabkan beberapa faktor termasuk bentuk muka bumi. Namun, usaha berterusan perlu dilakukan oleh pihak pentadbir bagi memastikan erti kemerdekaan yang dilaungkan selama ini dapat dirasai oleh segenap lapisan rakyat di negara ini.


Di sebalik semua itu, Kim Hing merasakan satu perkara yang perlu dibanggakan oleh rakyat negara ini khususnya di Sabah ialah perpaduan sesama kaum. Tegasnya, Sabah meskipun dikongsi oleh lebih 20 kaum dan etnik berbeza, namun masalah hubungan kaum tidak pernah berlaku. Krisis perkauman akan tercetus jika wujudnya pihak yang tidak bertanggungjawab. Maka dengan itu, semangat toleransi dan saling hormat menghormati sangat penting. Kita perlu hidup dengan acuan kita sendiri tanpa mencampuradukkan mekanisma luar yang boleh mengganggu keharmonian. Itu lebih penting jika kita mahu terus hidup sebagai sebuah bangsa merdeka.

No comments: