Hi uols! Salam perpaduan salam perjuangan!! Selama mana kita hidup selama mana pegangan hidup seseorang itu terutama dalam beragama adalah kepercayaan dan juga panduan hidup sesorang. Namun sejak kebelakangan ini isu penghinaan sesuatu agama tak kiralah penghinaan terhadap mana-mana agama semakin berleluasa. Apatah lagi makin banyak page dalam laman sosial atau milik individu semakin berani menghina agama orang lain. Sebagai seorang islam aku memandang serius hal ini dan cukup memalukan bila ada umat islam terlibat dalam hal ini.

Aku dilahirkan di Malaysia Timur dalam kelompok masyarakat berbilang kaum, keturunan dan agama. Arwah datuk aku adalah seorang mualaf yang pada asalnya tidak mempunyai agama dari keturunan Dusun Latud. Walaupun telah berhijrah dan mempunyai pegangan kehidupan, arwah cukup berpesan dan selalu mengingatkan aku tentang perpaduan. Boleh dikatakan aku cucu yang agak rapat dengan arwah berbanding dgn arwah nenek aku, kerana suka mendengar dia bercerita soal zaman british atau jepun.
Memandangkan aku dilahirkan dalam suasana keluarga yang berbilang bangsa dan keturunan dalam darah keturunan aku punya darah Dusun, Pakistan, Brunei & Bajau yang beragama islam. Aku ingin nyatakan kehidupan kami masih lagi bersaudara walaupun ada saudara yang masih belum islam atau non muslim. Arwah datuk aku selalu pesan kita ini tetap bersaudara kerana kita keturunan Nabi Adam. Tanpa Adam & Hawa maka manusia tak akan lahir sehingga hari ini. Seorang mualaf boleh berkata sedemikian namun apatah lagi kita yang memang sah lahir sebagai muslim tidak memikirkannya.
Persekitaran aku membesar bersama kawan yang berbilang keturunan dan bangsa dan pelbagai agama membuat aku rasa unik hidup di dunia Sabah. Oleh itu aku ingin berkongsi suatu Khutbah Jumaat pada 16 Oktober 2009 bersamaan 27 Syawal 1430H yang dikeluarkan oleh JAKIM berkenaan dengan 'Toleransi Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah'
TOLERANSI DENGAN ORANG BUKAN ISLAM SUATU TUNTUTAN DAKWAH
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan
kita kepada Allah SWT dengan memperbanyakkan amal ibadah dan meninggalkan
perbuatan yang tidak bermanfaat. Sesungguhnya amal ibadah adalah salah satu kayu
pengukur kualiti keimanan seorang hamba. Semakin tinggi tingkat keimanan, maka semakin
banyak pula amal ibadahnya dan sedikit maksiatnya. Demikian pula sebaliknya. Pada hari
ini, mimbar Jumaat akan memperkatakan khutbah mengenai tajuk: “Toleransi
Dengan Orang Bukan Islam Suatu Tuntutan Dakwah”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati
Allah,
Sebagai agama yang sempurna,
Islam telah mengatur prinsip-prinsip dasar semua bidang kehidupan umat manusia.
Termasuk di dalamnya adalah konsep toleransi dan cara hidup dalam masyarakat
majmuk. Allah SWT menciptakan manusia di muka bumi ini dengan berbagai macam
suku bangsa, ras, agama dan etnik. Untuk itu pula Allah SWT mengajarkan konsep
toleransi, dengan tujuan wujudnya perdamaian umat manusia di muka bumi ini.
Allah SWT berfirman dalam Surah
Al-An’aam ayat 108:
Maksudnya : “Dan janganlah kamu caci benda yang mereka sembah selain
dari Allah, kerana mereka kelak akan mencaci Allah secara melampaui batas tanpa
pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan
amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka,
lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”
Berdasarkan
ayat tadi, jelas bahawa umat Islam wajib menghormati masyarakat bukan Islam. Kita
ditegah mencemuh atau mengejek mereka, kerana mereka akan membalas penghinaan
tersebut. Inilah konsep toleransi yang diajarkan Islam.
Perbezaan
agama sebenarnya bukan penghalang terjalinnya kerukunan dan kedamaian di antara
sesama manusia. Meskipun kita bergaul dengan orang yang berbeza iktikad keyakinan,
tetapi kedamaian hidup tetap menjadi keutamaan. Allah SWT mengizinkan umat-Nya untuk
menjalin kerjasama dan berbuat baik kepada orang yang berbeza akidah sekalipun.
Sidang
Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Allah SWT
mengajar kita bagaimana untuk menghormati dan melindungi hak penganut agama
lain. Pengajaran paling penting adalah kita dilarang berlaku tidak adil
terhadap mereka hanya disebabkan perbezaan akidah. Sebaliknya jika hak Islam
digugat, maka baharulah Islam mengizinkan tindakan yang lebih keras. Ini
disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Mumtahanah ayat 8-9:
Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku
adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang
yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada
menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan
mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain)
untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat,
maka mereka itulah orang-orang yang zalim”.
Berdasarkan
ayat tadi, jelas bahawa Islam menyuruh umatnya menghormati penganut agama lain.
Oleh yang
demikian, sebarang tindakan kekerasan terhadap masyarakat bukan Islam dengan alasan
berbeza agama adalah tidak dibenarkan secara syariat.
Sememangnya al-Quran ada menyebutkan
tentang prinsip orang Yahudi dan Nasrani yang tidak akan menerima dan terus
membenci umat Islam sehingga kita mengikut agama mereka. Namun, sebagai
pengikut Nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat sekalian alam, kita tidak
dibenarkan memusuhi dan memerangi mereka tanpa alasan yang dibenarkan oleh
syara’.
Penghormatan terhadap masyarakat bukan
Islam juga telah dibuktikan oleh Rasulullah SAW, tatkala baginda membuat Piagam
Madinah. Baginda secara jelas menyebut bahawa orang Yahudi sebagai satu umat.
Di antara butir-butir kesepakatan yang terkandung dalam Piagam Madinah ialah sesiapa
yang hidup dan tinggal di wilayah Madinah, baik Islam atau pun bukan Islam,
dengan syarat tidak berbuat zalim (makar), hendaklah dilindungi dan
diberi keamanan.
Dalam sebuah hadith yang
diriwayatkan oleh Abu Daud menyatakan bahawa:
“Barangsiapa menyakiti orang bukan
Islam yang berada di bawah perlindungan Islam, maka ia telah menyakiti saya,
dan barangsiapa yang menyakiti saya, maka ia telah menyakiti Tuhan”.(Riwayat Abu
Daud)
Sebagai umat Islam, kita dilarang
menghakimi mereka. Tetapi kita hendaklah tegas dalam menyatakan keesaan Allah
SWT. Toleransi bukan bererti kita mengakui kebenaran keyakinan mereka. Islam
menetapkan bahawa persoalan iman dan ibadat tidak ada toleransi.
Sidang
Jumaat Yang Di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah hari ini, mimbar
menyeru marilah kita merenung kembali pemahaman agama kita. Semoga dengan itu, kita
mampu mencapai misi Islam sebagai agama “Rahmatan lil ‘Alamin” yang tersebar
ke seluruh penjuru dunia dan bersesuaian dengan penghayatan konsep Satu Malaysia.
Pemahaman ajaran Islam secara lengkap
dan bijaksana akan mempengaruhi strategi dakwah yang berkesan dan teratur,
sehingga masyarakat di luar Islam akan tertarik dengan Islam, bukan benci
kepada Islam. Kita perlu ingat bahawa kira-kira 40 peratus penduduk negara ini
terdiri daripada bukan Islam. Oleh itu, menghormati mereka memberi peluang
besar kepada kita untuk berdakwah.
Bersempena dengan kemeriahan bulan
Syawal ini kita dapati ada sebahagian umat Islam mengadakan rumah terbuka. Justeru,
mimbar menyeru sidang Jumaat sekalian, marilah kita sama-sama mengambil peluang
ini untuk mengeratkan silaturrahim sesama Islam dan bukan Islam.
Maksudnya : “Katakanlah wahai Muhammad: Hai orang kafir! Aku tidak akan
menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku
sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak
mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku. (Surah Al-Kaafirun: 1-6)