Journal 2014 - # 714

Salam perpaduan salam perjuangan!

Memahami Hukum Hudud (Bahagian Akhir)

Hudud adalah Adil dan Menyelamatkan
Hukum hudud sangat dibimbangi oleh non muslim kerana perlaksanaannya dianggap kejam
serta  ketinggalan zaman. Apakah benar tanggapan tersebut ?

Islam adalah agama wahyu yang diutus oleh Tuhan Yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana. Tuhan yang mencipta manusia, Tuhan yang menjadikan langit dan bumi malah seluruh alam ini. Realiti ini sangat difahami dan diterima oleh non muslim. Firman Allah swt :
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ وَسَخَّرَ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ فَأَنَّىٰ يُؤْفَكُونَ

Dan sesungguhnya jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang menciptakan langit dan bumi, dan yang memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya)?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Maka bagaimana mereka tergamak dipalingkan (oleh hawa nafsunya daripada mengakui keesaan Allah dan mematuhi perintahNya)?
Surah Al Ankabut : 61
Oleh kerana Islam adalah agama yang datang dari Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak, maka ia adalah agama yang membawa sinar keadilan buat ummat manusia melalui syariat atau peraturannya serta menyelesaikan masaalah ummat manusia dengan penuh kebijaksanaan yang akhirnya membawa ummat manusia menjadi ummat yang sejahtera, tenang, selamat, aman dan bahagia bersama agama ini. Firman Allah swt :
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَىٰ لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا يَعْبُدُونَنِي لَا يُشْرِكُونَ بِي شَيْئًا وَمَن كَفَرَ بَعْدَ ذَٰلِكَ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
Surah An Nuur : 55
Selain janji Allah bahawa syariatnya adalah adil dan membawa kebaikan kepada ummat manusia, semua dari kalangan kita samaada muslim atau non muslim dapat menyaksikan sendiri bagaimana hukum Allah swt ini benar - benar adil melalui kaedah  dan hikmah perlaksanaannya. Namun ianya mestilah dilihat dan diteliti dengan jujur tanpa sebarang sceptical terhadap hukum Allah swt [ hudud] Tuhan yang Maha Mencipta ini.

Hudud adalah suatu hukum yang mengandungi 2 elemen utama iaitu balasan setimpal ke atas penjenayah dan sistem tegah kawal dari Allah swt.

Ertinya hukum hudud adalah hukum yang hanya dijatuhkan atau dikenakan ke atas penjenayah yang telah sabit kes agar segala perbuatannya dibalas setimpal dan menimbulkan kesedaran atau keinsafan pada dirinya agar tidak lagi mengulangi perbuatan jenayah tersebut dan ia juga menjadi sistem yang menegah pihak lain dari melakukan jenayah sepertinya.

Perlaksanaan hukum hudud ini tidak perlu ditakuti atau dibimbangi lagi jika inilah prinsip dan kaedah perlaksanaannya. Bahkan semua pihak samaada muslim atau non muslim akan mendapat faedah yang baik dan positif dari perlaksanaannya.

Antara yang boleh saya nyatakan sebagai contoh positifnya kesan perlaksanaan hukum hudud  ialah :

a) Hudud tidak menjejaskan FDI negara kerana apa saja bentuk sistem perundangan di mana-mana Negara, sekiranya undang-undang yg dilaksanakan itu memelihara hak, mencegah penganiayaan dan menghindar jenayah, maka pelabur akan lebih yakin justeru negara tersebut terhindar dari korupsi dan penindasan. [Hudud merupakan suatu undang-undang pencegahan dan mendidik.]

b) Hudud tidak akan menjejaskan pelancongan sekiranya pelancong datang  bercuti untuk mencari ketenangan, melawat untuk menikmati keindahan alam  serta sopan santun penduduknya dan shopping untuk mendapatkan barang keperluan mereka dengan harga yang berpatutan. Kecuali pelancong itu datang untuk melakukan maksiat dan mungkar yang boleh merosakkan dirinya dan menularkan budaya keji itu dalam negara kita. Negara kita tidak perlu pelancung maksiat sebagaimana kita tidak mahu Malaysia menjadi seperti Thailand (pusat percutian seks) atau Macau (pusat percutian judi).

c) Hudud membenarkan kemaafan dan menggalakkan reconciliation serta mencari sebab mengapa kesalahan dilakukan. Kes bunuh umpamanya, saudara yang kena bunuh boleh memaafkan pembunuhnya.  Pencuri yang mencuri kerana sebab darurat seperti lapar yang amat, maka ia tidak akan dipotong tangan. Sebaliknya menurut ajaran Islam, kerajaan mesti menyalurkan wang zakat kepadanya atau menyediakan peluang  pekerjaan kepadanya.

d) Perlaksanaan hukuman hudud memerlukan penelitian dan saksi yang cukup dan ia dilaksanakan dengan berhati hati dengan berpaksi kepada prinsip keadilan dan ketelusan.

e) Hudud juga adalah undang - undang yang sangat berpotensi mencegah jenayah dan mungkar. Malah ia menyelamatkan masyarakat dari terjebak dalah pengaruh jenayah dan budaya mungkar yang merosakkan tamadun atau peradaban manusia itu sendiri. Dalam erti kata lain, hudud mampu melahirkan negara yang aman, masyarakat yang sejahtera dan keluarga yang bahagia kerana mereka bebas dari ancaman jenayah, mungkar dan maksiat. Bahkan non muslim turut menikmati suasana ini.

Bayangkan apabila tiada lagi mabuk - mabuk, kesempitan wang akibat kalah judi dan jenayah seksual, maka rakyat akan selamat dan terasa aman serta bahagia. Justeru sebahagian besar jenayah yang berlaku hari ini adalah akibat mabuk, kalah judi dan kegagalan mengawal syahwat. Dari sinilah berlakunya rompak, samun, culik, rogol, bunuh dan sebagainya.


Hukum hudud tidak di sebut di dalam al-Quran? Statement “Hukum hudud tidak disebut di dalam al-Quran” adalah tidak benar sama sekali. Jika dilihat kepada kalimah “Hudud”, ia disebut oleh al-Quran dalam 9 ayat.

Walaupun penggunaan kalimah “Hudud’  di dalam al-Quran itu tidak merujuk secara khusus kepada hukuman-hukuman bagi kesalahan Hudud dalam Undang-Undang Jenayah Islam, tetapi pengertian amnya merangkumi hukuman-hukuman tersebut.

Pengertian kalimah “Hudud” dalam al-Quran berlegar antara makna “Batasan-batasan Syariat Allah” atau “Aturan-aturan hukum Allah”.Tiada siapa dapat menafikan bahawa hukuman-hukuman yang termaktub di dalam al-Quran (dan juga as-Sunnah) bagi kesalahan zina, qazaf, mencuri, murtad dan sebagainya adalah merupakan “Aturan-aturan hukum Allah” dan perbuatan zina, qazaf, mencuri dan sebagainya (yang ditegah dalam undang-undang jenayah Hudud) merupakan “Batasan-batasan larangan dalam Syariat Allah”.

Kerana itu tidak salah apabila para Fuqahak memakai istilah “Hudud” bagi hukuman-hukuman tersebut. Apatah lagi penggunaan istilah tersebut menepati penggunaan dalam hadis Nabi s.a.w. sendiri antaranya sabda baginda s.a.w.;
حَدُّ يُعْمَلُ فِي الأَرْضِ خَيْرٌ لِأَهْلِ الأَرْضِ مِنْ أَنْ يُمْطَرُوْا أَرْبَعِيْنَ صَبَاْحًا

“Satu hukum hudud yang dilaksanakan di atas muka bumi lebih baik bagi penduduk bumi daripada mereka disimbahi hujan selama empat puluh pagi”
(Riwayat Imam Ahmad, an-Nasai dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini adalah soheh. Lihat; al-Jami’ as-Saghir, Imam as-Suyuti, no. 3689)‏.
Jika dilihat kepada hukuman hudud pula, lagi-lagilah tidak benar jika didakwa hukuman-hukuman hudud tidak disebut di dalam al-Quran. Dakwaan ini menggambarkan kejahilan si pendakwa. Menurut Fuqahak, Kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam Jenayah Hudud ada 7 iaitu:
  1. Zina
  2. Minum Arak
  3. Qazaf (menuduh orang beriman melakukan zina)
  4. Mencuri
  5. Hirabah atau merompak
  6. Murtad
  7. Bughah (derhaka atau keluar memerangi pemerintah yang adil)
Dari 7 kesalahan di atas, empat darinya dinyatakan hukumannya oleh al-Quran, iaitu:
  1. Zina (ayat 2, surah an-Nur)
  2. Qazaf (ayat 4, surah an-Nur)
  3. Mencuri (ayat 38, surah al-Maidah)
  4. Hirabah (ayat 33-34, surah al-Maidah)
Adapun selebihnya, dinyatakan hukumannya oleh hadis-hadis Nabi. Al-Quran dan al-Hadis (atau as-Sunnah) kedua-duanya merupakan rujukan muktamad kaum muslimin. Wajib ke atas setiap individu menerima ketetapan dan hukuman yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah yang soheh. Ini sebagai beramal dengan perintah Allah:

فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ

“Maka jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat”.
(Surah an-Nisa’, ayat 59)

Membangkitkan pertikaian “Hukum Hudud tidak disebut di dalam al-Quran” seolah-olah hanya hukum al-Quran sahaja yang wajib dipatuhi, sedang hukum dari Hadis boleh ditolak ketepi. Sesungguhnya jika ada orang Islam beriktikad sedemikian, ia tidak lain merupakan golongan anti hadis dan mereka telah difatwakan sesat oleh semua Institusi Fatwa di seluruh dunia Islam.

Ada 9 ayat al-Quran menyebutkan kalimah “Hudud”, iaitu:
1. Surah al-Baqarah, ayat 187 (disebut 1 kali, beri makna; batas-batas larangan Allah).
2. Surah al-Baqarah, ayat 229 (disebut 3 kali, beri makna; aturan-aturan hukum Allah).
3. Surah al-Baqarah, ayat 230 (disebut 1 kali, beri makna; aturan-aturan hukum Allah).
4. Surah an-Nisa’, ayat 13 (Disebut 1 kali, memberi makna; batas-batas Syariat Allah).
5.  Surah an-Nisa’, ayat 14 (Disebut 1 kali, memberi makna; batas-batas Syariat Allah).
6.  Surah at-Taubah, ayat 97 (disebut 1 kali, beri makna; batas-batas hukum Allah).
7.  Surah at-Taubah, ayat 111-112 (Disebut 1 kali, beri makna; batas-batas hukum Allah).
8. Surah al-Mujadilah, ayat 4 (Disebut 1 kali, memberi makna; batas-batas hukum Allah).
9. Surah at-Talaq, ayat 1 (Disebut 1 kali, memberi makna; aturan-aturan hukum Allah).

No comments: