Journal 2014 - # 695

Hi uols!! Salam perpaduan salam perjuangan!! Bila dalam kesedihan yang melanda diri ini tiba-tiba aku rindu akan surah Ar-Rahman, lalu aku mencapai Al-Quran dan membacanya dengan terjemahannya sekali, tiba-tiba sebak betapa aku bertuah dilahirkan dimuka bumi ini. Terus-terang ku katakan bahawa surah ini sangat istimewa di hati ku dan ayat yang diulang sebanyak 31 kali ini benar-benar menggentarkan jiwa ku. Sebelum aku menceritakan lebih lanjut mengenai Surah Ar-Rahman ini, teringin sekali aku merungkap kembali saat pertama aku mula mengenali dan jatuh cinta dengan surah ini. Ternyata surah ini benar-benar membawaku untuk memahami ayat-ayatnya. Setelah ku fahaminya, aku mula sedar bahawa sesungguhnya Kalam Ilahi itu begitu indah. Terasa begitu rugi kerana sebelum ini aku hanya membaca Al-Quran tanpa memahami dan mendalami ayat-ayatnya. 
 
Ar-Rahman, Yang Maha Pemurah telah membuka pintu hatiku untuk lebih dekat dengan kazanah suci tersebut. Surah Ar-Rahman seindah namaNya. Terasa damai dan tenang memahami ayat-ayat dalam surah ini yang menceritakan pelbagai nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada umat manusia. Allah telah menciptakan aku dengan sebaik-baik kejadian dan Dialah juga yang melimpahkan ilmu-ilmu duniawi dan ukhrawi kepadaku sehingga aku mampu berada di tahap ini. Allah telah menciptakan langit yang di hiasi bintang dan bulan serta matahari agar dapat memberi cahaya kepada kita. Allah juga menciptakan bumi yang padanya ada tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan agar kita tidak kelaparan dan dapat menjalani kehidupan yang sempurna agar dapat beribadah dengan baik. Subhanallah, aku menangis setiap kali membaca ayat-ayat dalam surah ini kerana terlalu banyak nikmat yang telah aku kecapi di dunia ini. Maka nikmat Tuhan yang manakah yang aku mampu dustakan kerana segala kenikmatan itu adalah datangnya dari Allah. Sedangkan aku masih kufur dengan nikmatnya dan tidak putus-putus melakukan dosa. Astagfirullahalazim...

Dalam surah ini juga terkandung tentang ancaman Allah terhadap perbuatan derhaka. Bergetar jiwaku membayangkan hari pembalasan yang bakal tiba dimana semua yang ada di bumi ini akan binasa dan apa yang tetap kekal adalah Wajah Tuhanku yang mempunyai kebesaran dan kemuliaan yang tiada tandingannya. Bayangkan semua yang ada di langit dan di bumi selalu meminta-minta kepada Allah dan sesungguhnya setiap waktu Allah dalam kesibukan tetapi Dia tidak pernah sekejap pun abaikan aku dan sekalian ciptaannya. Sungguh, Maha Pemurahnya Tuhanku. Tetapi manusia apabila dihimpit dengan kesibukan, dihujani dengan kemewahan dan didendangkan dengan hilai tawa kegembiraan maka mereka lupa untuk beribadah kepada Allah, lupa untuk bersyukur dan meninggalkan solat sesuka hati tanpa rasa bersalah sedangkan itu adalah kewajipan kita pada Allah. Inilah salah satu bentuk kekufuran yang sering dilakukan oleh manusia tanpa mereka sedari atau dengan kata lain tak sedar diri. Tunggulah saatnya apabila langit telah terbelah dan menjadi merah mawar dan ketika itu tidak ada seorang dan sesuatu apapun yang dapat lari darinya. Pada hari perhitungan nanti tidak lagi didengar alasan-alasan yang dikemukakan oleh manusia-manusia tersebut dan neraka jahannam yang sering didustakan oleh orang yang berdosa adalah tempatnya. Mereka akan dikelilingi air yang mendidih dan memuncak panasnya.

Surah ini juga menceritakan tentang pahala bagi orang-orang yang bertaqwa dimana mereka takut terhadap Tuhannya dan akan disediakan syurga bagi mereka. Tidak dapat digambarkan betapa indahnya syurga tersebut dengan pohonan yang merimbun yang mengeluarkan buah yang banyak dan mudah dipetik. Terdapat juga mata air yang mengalir tenang. Mereka akan bertelekan pada bantal-bantal yang hijau dan permaidani-permaidan dari sutera yang indah. Subhanallah..... MAKA NIKMAT TUHAN KAMU YANG MANAKAH YANG KAMU DUSTAKAN?? Wallahua'lam.

No comments: