Journal 2014 - # 701

Salam perpaduan salam perjuangan!

BELAJARLAH TANPA MENGENAL WAKTU DAN SEMPADAN


Manusia tidak boleh hidup tanpa ilmu. Ilmu mendorong kehidupan manusia dari sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Untuk menikmati makanan pun perlu kepada ilmu, iaitu bagaimana untuk mengetahui sama ada sesuatu itu boleh dimakan atau tidak, menyuapkan makanan ke mulut dan mengunyahnya sehingga lumat, dan seterusnya menelan makanan tersebut tanpa ragu-ragu apabila sudah diyakini berdasarkan ilmu bahawa makanan tersebut tidak memudaratkan. Apatah lagi dalam sesuatu perkara yang menentukan halatuju manusia, ilmu amat diperlukan untuk mengetahui tentang falsafah, prinsip dan matlamat kehidupan di atas dunia ini.

Ilmu ialah pengetahuan sebenar terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang berilmu akan mencapai kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu kerana dengan ilmulah manusia dapat mengenal penciptanya iaitu Allah. Di samping itu, ilmu dapat membantu manusia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah yang menegakkan agama dan memakmurkan dunia. Justeru, Imam Syafei telah berkata: 


"sesiapa yang berkehendakkan dunia, dia mestilah mempunyai ilmu,
 sesiapa yang berkehendakkan akhirat, dia mestilah mempunyai ilmu, 
dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat, 
maka hendaklah dia mempunyai ilmu".

Islam datang dengan mengubah segala-galanya pada masyarakat Arab. Ilmu pengetahuan merupakan asas terpenting dalam pembinaan masyarakat. Buktinya ialah ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah saw menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Firman Allah bermaksud:

 “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. 
Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.
 Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah 
yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. 
Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahui oleh mereka 
(al-‘Alaq 1-5).



Dalam Islam, ilmu hendaklah dituntut sejak 'dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad'. Apabila
seseorang bayi dilahirkan, dia segera diperdengarkan dengan ilmu iaitu suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya. Amalan ini sebenarnya menegaskan hakikat bahawa roh dalam bayi perlu "digerakkan" dan "diperingatkan" tentang perkara yang memang telah diketahuinya di alam rohani. Apabila seseorang individu muslim akan meninggal dunia, dia akan diperingatkan lagi tentang Allah s.w.t seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.: "Ajarkan orang yang akan meninggal dunia di kalangan kamu dengan ucapan Lailahaillallah".

Budaya ilmu yang diberi penekanan oleh Islam, sewajarnya kembali diambil perhatian serius oleh umat Islam di zaman ini. Setiap individu muslim sepatutnya sudah mempersiapkan diri sama ada dari sudut fizikal mahupun mental untuk mendalami ilmu merangkumi ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Amat malang sekali sekiranya umat Islam lebih selesa dengan konsep taqlid dengan mengabaikan kewajipan mendalami ilmu sedangkan agama Islam yang mulia ini merupakan agama ilmu!.

Antara kelebihan ilmu dan kekurangan harta.
  1. Ilmu itu pusaka ataupun warisan para Nabi. Sebaliknya harta itu pusaka Qarun.
  2. Ilmu itu menjaga dan memelihara kita. Tetapi harta, kita pula yang terpaksa menjaga dan memeliharanya. 
  3. Orang yang berharta banyak musuhnya seperti pencuri dan penyamun, dan sentiasa pula bimbang akan hartanya itu. Sebaliknya orang yang berilmu ramai sahabat dan sentiasa selamat. 
  4. Harta jika selalu digunakan akan berkurangan. Sebaliknya ilmu jika selalu digunakan akan bertambah. 
  5. Orang berharta kerap dipanggil dengan gelaran bakhil atau cela. Tetapi orang berilmu sering dipanggil dengan nama yang baik dan mulia. 
  6. Harta perlu dijaga supaya tidak dicuri tetapi ilmu tidak perlu menjaganya daripada kecurian. 
  7. Harta akan dihisab kelak tetapi ilmu akan memberi syafaat di akhirat kelak. 
  8. Harta akan rosak sekiranya disimpan tetapi ilmu tidak akan rosak walau selama manapun disimpan. 
  9. Harta mengeraskan hati tetapi ilmu melembutkan hati. 
  10. Pemilik harta selalu merasakan dirinya hebat, malah ada yang merasakan dirinya Tuhan seperti Qarun. Tetapi pemilik ilmu selalu merasakan dirinya lemah dan hamba Allah. 

Ayuh, marilah kita terus berjuang menuntut ilmu. Sesungguhnya semakin banyak yang dipelajari semakin banyak yang tidak diketahui. Maha Luas dan Maha Tinggi ilmu yang dimilikiMu Ya Allah.

No comments: