Journal 2014 - # 706

Salam perpaduan salam perjuangan!

Mencari Mati Yang Sempurna

Allah menciptakan dunia yang meliputi alam dan manusia ini dengan sempurna. Sementara manusia
yang sempurna fizikalnya akan berusaha untuk mencari kesempurnaan dalam diri dan hidupnya agar dia berasa puas.

Tetapi kadang-kadang manusia lupa kewajipan untuk menjadikan kematiannya juga sempurna. Kealpaannya ini boleh memberikan kegagalan di akhirat kelak. Kematian ialah terminal menuju ke alam akhirat. Apa yang kita kerjakan semasa hidup, akan menjadi keputusan kepada kehidupan di akhirat. Oleh sebab itu, kita tidak boleh menangguhkan taubat dan menangguhkan berbuat baik.

Merancang Kematian
Kita hendaklah merancangan kematian, namun bukanlah bermakna kita menentukan kematian kita. Hakikatnya, kita tidak kuasa untuk menentukan bila dan di mana kematian akan menjemput. Itu semua kuasa Allah. Malah kita juga tidak boleh merancang kematian dengan menamatkan riwayat kita sendiri. 

Tetapi kita boleh merancang bagaimana kita hendak mati. Adakah kita mahu mati dalam keadaan yang baik atau sebaliknya. Rancanglah kematian dengan berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan dan mengelakkan diri daripada melakukan dosa.

Apabila kita merancang kematian yang baik, kita akan merancang seluruh kehidupan dengan melaksanakan semua perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Kita akan berusaha menjadi hamba yang terbaik dan memenuhkan bekalan untuk menuju hari akhirat. Rancangan ini perlu dimulakan dari awal kehidupan kita supaya perjalanan kehidupan kita diberkati Allah.

Kematian yang Sempurna
Mati yang sempurna ialah apabila roh dan jasad kita diterima sepenuhnya oleh Allah. Apabila tiba saat Malaikat Izrail menjemput kita, dia datang dengan wajah yang berseri-seri. Malaikat-malaikat langit akan datang membawa haruman dari syurga. Saat indah yang kita lihat ketika itu sangat menakjubkan.

Subhanallah! Kematian seolah-olah satu berita gembira. Malaikat Maut mencabut nyawa kita dengan begitu lemah lembut. Kedukaan di hati kerana meninggalkan orang yang disayangi hilang dalam sekelip mata.

Masya Allah! Indahnya tempat kita di syurga. Lalu kata-kata akhir yang keluar dari mulut kita ialah 'Lailahaillallah'. Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang pada akhir kalimahnya mengucapkan Lailahaillallah maka ia dimasukkan ke dalam syurga." (Riwayat al-Hakim) Itulah tandanya kematian yang sempurna.

Semak Diri
  • Apakah tujuan aku hidup didunia?
  • Apakah dunia ini segala-galanya untuk aku?
  • Belum cukupkah kemasyhuran dan kekayaan yang Allah kurniakan?
  • Adakah aku tamak dengan kehidupan dunia?
  • Adakah aku hamba yang bersyukur?
Semua jawapannya ada dalam diri kita. Jika yakin dengan Allah, kita akan meletakkan tujuan kehidupan kita untuk mencari keredaan Allah. Tetapi jika iman dalam hati tidak disapa, maka dunia yang sementara sahajalah yang menjadi tujuan.
sumber: Solusi Isu 67

No comments: