Journal 2014 - # 553

Hi uols!! Salam perpaduan Salam perjuangan!!

Semalam aku telah bercerita tentang White Water Rafting yang terletak di Sungai Padas, Sabah. Now hari ini aku juga ingin bercerita berkenaan dengan sebuah lagi destinasi yang mungkin korang semua tak pernah dengar dan tak pernah tahu. Tempat ini sesuai kepada mereka-mereka yang sukakan aktiviti jungle tracking atau mereka-mereka yang cintakan alam semua jadi.

Ia pernah digelar The Lost World. Semuanya disebabkan misteri alam semula jadi yang dianggarkan berusia jutaan tahun yang masih belum terungkai sehingga kini. Itulah keistimewaan Lembangan Maliau atau lebih dikenali sebagai Maliau Basin yang sememangnya menjadi syurga kepada para penyelidik dan pencinta flora dan fauna di Sabah.

Berkeluasan 588 kilometer persegi iaitu menyamai keluasan Singapura, Maliau Basin turut dikenali sebagai THE LOST WORLD, Dunia Terasing ataupun Dunia Tersembunyi. Lokasinya yang terletak di ketinggian antara 1,500 hingga 1,900 meter dari paras laut menjadikannya sebagai kawasan yang sukar diterokai dan tidak didiami manusia.
 
Kerajaan Malaysia berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan daripada Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) agar Maliau Basin diwartakan sebagai Tapak Warisan Dunia. Beribu spesis flora dan fauna terdapat di sini dan banyak di antaranya tidak terdapat di tempat lain.
Maliau yang membawa maksud ‘susu atau kelam’ dalam bahasa suku kaum Murut merujuk kepada air Sungai Maliau yang berwarna gelap berikutan keadaan fosil batuannya. Maliau Basin terletak di pedalaman negeri Sabah antara daerah Keningau dan Tawau telah diwartakan sebagai kawasan Hutan Simpan Kelas 1 (perlindungan) di bawah perlindungan Yayasan Sabah sejak tahun 1981. Kawasan lembah Maliau ini kelihatan seperti "basin" atau mangkuk gergasi. Maliau Basin dianggap misteri dan unik kerana bentuknya yang menyerupai mangkuk iaitu melengkung ke bawah.

Terletak jauh di selatan Sabah, kira-kira 40 kilometer di utara sempadan Kalimantan, lembangan itu menceritakan segalanya mengenai flora dan fauna hidupan prasejarah yang wujud di dalamnya.
Hutan utamanya adalah daripada spesies pokok agathis megah, hutan rawa gunung dan hutan dipterokap bukit yang menjulang tinggi hingga 1,800 meter di atas paras laut.

Melalui beberapa ekspedisi utama yang dijalankan penyelidik telah menemui flora yang berbeza daripada lebih 1,800 spesies. Antaranya termasuk enam spesies periuk kera dan lebih 80 spesies orkid. Di samping itu, terdapat juga spesies rafflesia yang jarang dijumpai. 

Sementara itu, kepelbagaian fauna di Maliau Basin juga tidak kurang hebatnya kerana menyimpan pelbagai spesies hidupan liar terancam yang jarang ditemui. Badak sumbu Sumatera, orang utan, monyet proboscis, harimau dahan, beruang Malaya dan gajah paling kecil di dunia - borneo pygmy elephant adalah antara spesies haiwan yang boleh ditemui di situ.

Malah, kawasan itu juga menjadi habitat kepada 290 spesies burung termasuk bekia dan burung Jambul selain lebih 35 spesies amfibia, ikan, ketam dan kumbang air. Satu lagi keistimewaan lembangan itu adalah kawasan tadahan airnya yang besar yang dialir dari Sungai Maliau sebelum berakhir di Sungai Kinabatangan.

Maliau Basin juga merupakan kawasan paling banyak air terjun di negara ini. Sehingga kini lebih 40 buah air terjun telah ditemui termasuk yang paling terkenal iaitu air terjun tujuh tingkat setinggi 28 meter terletak di Sungai Maliau. Biarpun terletak jauh dari jalan utama, Maliau Basin juga lengkap dengan pelbagai kemudahan dan infrastruktur untuk kemudahan penyelidik dan pengunjung yang mahu menikmati kepelbagaian biodiversiti di dalamnya.

Pusat Pembelajaran Lembangan Maliau yang dibina pada tahun 1999 misalnya, dilengkapi dengan bangunan pejabat, bilik seminar, teater mini dan perpustakaan. Pada masa yang sama, ia turut mempunyai kemudahan asrama yang mampu menampung sehingga 64 orang pada satu-satu masa.

Selain ideal untuk penyelidikan dan pendidikan alam sekitar, Maliau Basin juga sesuai untuk pengunjung yang gemarkan meneroka kehidupan di tengah-tengah hutan belantara yang masih belum terusik sepenuhunya. Saat di sana, jangan ketinggalan mencuba pengalaman menggunakan jambatan gantung merentasi Sungai Maliau sambil merakamkan detik-detik indah melalui lensa kamera dari menara tinjau yang tersedia. Untuk ke kawasan ini  pelawat perlu mendapatkan kebenaran dari pihak Yayasan Sabah. Bagaimanapun melalui agent pelancongan (dalam bilangan terhad) anda masih boleh merancang untuk menikmati panorama indah ini. 


No comments: