#MalaysiaAirlines, #MH370,
#PrayForMH370 #MengenangMH370
Inmarsat Rungkai Misteri
Syarikat telekomunikasi satelit Britain, Inmarsat
akhirnya membantu merungkai misteri kehilangan pesawat Malaysia
Airlines MH370 selama 17 hari, selepas data-data yang disalurkan oleh
satelit itu mengesahkan kapal terbang itu berakhir di selatan Lautan
Hindi.
Data-data yang disalurkan oleh Inmarsat memberi petunjuk kedudukan
terakhir pesawat itu adalah di tengah-tengah Lautan Hindi di barat
Perth.
Dengan menggunakan analisis yang tidak pernah digunakan sebelum ini
dalam mana-mana siasatan melibatkan kehilangan dan kemalangan pesawat,
satelit Inmarsat dan Badan Penyiasatan Kemalangan Penerbangan (AAIB)
United Kingdom mengesahkan pesawat MH370 terbang sepanjang laluan ke
koridor selatan dan mengesahkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di
tengah-tengah Lautan Hindi.
Berdasarkan maklumat data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom
itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan perasaan penuh
sedih dan terharu malam ini mengumumkan di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC) di sini bahawa pesawat MH370 telah berakhir di selatan Lautan
Hindi di barat Perth, Australia.
Satelit Inmarsat telah memainkan peranan penting bagi membantu
mengesan kehilangan pesawat MH370 sejak berita kehilangan MH370
dilaporkan pada 8 Mac lalu.
Tujuh hari selepas pesawat MAS itu hilang, satelit Inmarsat dilapor
menerima isyarat 'ping' daripada pesawat MH370 lima jam selepas kapal
terbang itu hilang dari radar.
Sebuah satelit Inmarsat turut mengesan isyarat 'jabat tangan'
(handshake) daripada MH370 selama beberapa jam, sebelum syarikat itu
mengeluarkan satu kiraan berdasarkan datanya, menunjukkan pesawat
tersebut kemungkinan terbang menuju koridor utara sehingga ke
Turkmenistan dan koridor selatan menjangkau Lautan Hindi.
Data itu turut mengalih tumpuan operasi mencari dan menyelamat dari
Laut China Selatan ke Lautan Hindi dan bahagian daratan sehingga ke
Turkmenistan dalam satu operasi mencari yang dilancarkan secara
besar-besaran melibatkan 26 buah negara.
Inmarsat ditubuhkan pada 1979 oleh Pertubuhan Maritim Antarabangsa
(IMO) yang juga merupakan sebuah agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu
(PBB).
Pada masa ini, Inmarsat memiliki 10 buah satelit terletak pada
ketinggian 35,786 kilometer dari paras bumi termasuk satelit Inmarsat-5,
Alphasat, I-3, I-4 dan Inmarsat-2.
No comments:
Post a Comment