Journal 2014 - # 652



#MalaysiaAirlines, #MH370, #PrayForMH370

 Perspektif IKIM: Kehilangan MH370 uji ketabahan ummah


Usaha pencarian juga dicemari unsur syirik
Malaysia, pemimpin dan rakyatnya sedang diuji dengan permasalahan cuaca yang menggugat kesejahteraan hidup dan kehilangan pesawat MH370. Sebelumnya, umat Islam diuji kemelut yang secara langsung menyentuh akidah dan kedaulatan agama.

Antaranya termasuklah kedegilan golongan antihadis, perbicaraan kes kalimah Allah yang belum selesai, penyebaran fahaman Syiah dan sebagainya. Rentetan ujian yang menimpa, sewajarnya menimbulkan keinsafan dan keazaman untuk mengambil pengajaran supaya memperbaiki keadaan.


Jika musibah yang menimpa tidak sama sekali mengetuk pintu hati untuk menginsafi diri, pastinya terdapat sesuatu yang tidak kena.

Kehilangan misteri pesawat MH370 kekal membelenggu negara dan rakyat, begitu juga masyarakat dunia sehingga insiden itu diungkap sebagai ‘mystery of the year’ oleh Washington Post.


Rahsia Allah
Setiap yang berlaku dan ditimpakan oleh Allah SWT bukan tanpa tujuan. Segala-galanya ditentukan dengan hikmah sama ada dapat disaksikan oleh manusia atau sebaliknya kekal menjadi rahsia Allah SWT. Hikmah terbesar ialah kekuasaan Allah SWT.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang beriman bertawakal.” (Surah al-Taubah, ayat 51)

Bagi kepemimpinan negara, penyelesaian kemelut besar lagi rumit ini jelas menguji kebijaksanaan, ketahanan, ketulusan serta ketangkasan dalam bertindak. Begitu juga dalam menyusun keutamaan, pada masa sama terpaksa mengorbankan hal diketahui kepentingan seperti keselamatan negara.

Hal seumpama itu pastinya memerlukan pertimbangan berat terhadap kesan atau akibatnya dan penyusunan langkah yang rapi menanganinya. Tambahan penyelarasan usaha mencari dan menyelamat (SAR) kini membabitkan lebih banyak pihak serta negara.

Kejadian pertama seumpama pasti mendedahkan kelemahan dan kekurangan dalam aspek tertentu. Lantas semuanya amat berguna untuk dimanfaatkan bagi memastikan aspek itu diatasi dan diperbaiki.

Keluarga mangsa perlukan sokongan
Bagi masyarakat awam, sokongan padu amat perlu khususnya terhadap keluarga penumpang yang terbabit. Usaha mulia seperti ibadah dan amal soleh tertentu pastinya dapat meringankan bebanan kesedihan serta kerunsingan yang menyelubungi jiwa.

Tiadalah yang lebih bermakna bagi insan dilanda kesulitan melainkan bantuan bagi meleraikan kekusutan dan kedukaan menyelubungi mereka.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang melepaskan saudara Muslimnya daripada salah satu kesulitan dunia, Allah akan melepaskannya daripada kesulitan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan saudaranya, Allah akan memudahkan urusan dunia dan akhiratnya. Sesiapa yang menutup keaiban saudaranya, Allah akan menutup keaibannya di dunia dan akhirat. Allah sentiasa membantu hamba-Nya selagi hamba-Nya itu membantu saudaranya.” (Riwayat Muslim)

Bantuan yang dihulurkan semua pihak bagi menyelesaikan misteri kehilangan pesawat MH370 perlu dipastikan seiring matlamat dan caranya. Kaedah perbomohan yang bertentangan dengan ajaran Islam sehingga menimbulkan keaiban serta fitnah kepada agama dan umat Islam wajib ditolak.

Pihak yang melakukan perbuatan sedemikian perlu diadili dan diambil tindakan setimpal supaya menjadi pengajaran yang lain. Tindakan itu juga bagi menjernihkan kembali nama baik negara dan umat Islam yang telah tercalar.

Menyedari usaha pencarian pesawat yang hilang semakin berliku cabarannya, manakala ujian lain masih belum reda mahupun menghilang, maka seharusnya kita terus berharap dan tidak sekali-kali berputus asa daripada rahmat-Nya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa, sesungguhnya Dialah juga Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Zumar, ayat 53) - Penulis ialah Felo Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

No comments: