Journal 2014 - # 805

Salam perpaduan salam perjuangan!

Komunikasi Berkesan - Contohi Khadijah

Assalamualaikum! Hi uols! Keperibadian Khadijah binti Khuwailid banyak meninggalkan contoh
teladan. Beliau menunjukkan kepada kita cara berbahasa apabila suami berhadapan dengan ujian, cubaan dan saat-saat yang mencemaskan dalam hidup.

Kebijaksanaan Khadijah berbahasa dan menggunakan kata-kata meninggalkan kesan yang mendalam pada jiwa Rasulullah s.a.w walaupun telah meninggalkan dunia, nama beliau sentiasa disebut. Sahabat-sahabat beliau pun masih dilayan dengan baik oleh Rasulullah s.a.w.

Mari kita perhatikan sikap Khadijah apabila mendapati suaminya pulang ke rumah dalam ketakutan, gementar dan kebimbangan. Bahasa yang keluar daripada bibir khadijah begittu indah. Beliau berjaya menimbulkan ketenangan dalam jiwa Rasulullah s.a.w. Kata-kata beliau meredakan perasaan gelisah dan ketakutan di hati baginda.

Kisah bermula apabila Rasulullah s.a.w menerima wahyu pertama daripada malaikat Jibrail di Gua Hira'. Baginda pulang ke rumah dalam keadaan penuh ketakutan dan kebimbangan. Apabila tiba di rumah Rasulullah s.a.w terus mengadu dan bercerita apa yang berlaku kepada Khadijah. Sebagai seorang isteri beliau telah berjaya menjadi pendengar yang setia sehingga Baginda selesai bercerita.

Melihat keadaan suami beliau dalam ketakutan, Khadijah terus menyelimuti Baginda. Beliau berkata
dengan penuh kasih sayang: "Wahai suamiku, janganlah kamu susah hati. Allah s.w.t tidak pernah menghina dan menjatuhkan air mukamu. Kamu seorang lelaki yang sentiasa menghubungkan silaturahim, memberi makan kepada orang susah, membantu orang miskin, memuliakan tetamu dan menegakkan kebenaran."

Bicara Khadijah tidak terhenti di situ. Beliau berterusan memujuk Rasulullah s.a.w sehingga Baginda menjadi tenang dan ceria semula. Selepas itu, Khadijah telah membawa Rasulullah s.a.w berjumpa dengan sepupu beliau yang bernama Waraqah bin Naufal. Waraqah merupakan seorang pendeta agama yang beramal dengan ajaran Nabi Isa a.s.

Khadijah telah menceritakan kepada Waraqah bin Naufal apa yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. Baginda mendengar sendiri jawapan daripada Waraqah bin Naufal. Menurut Waraqah cerita yang dibawa Rasulullah s.a.w itu benar. Baginda membawa kebenaran sebagaimana kebenaran yang pernah dibawa oleh para nabi sebelum ini.

Apa yang datang kepada Rasulullah s.a.w itu adalah wahyu daripada Allah s.w.t. Ia disampaikan melalui perantaraan malaikat Jibrail. Pengakuan Waraqah telah mengubah keadaan Rasulullah s.a.w. Baginda bukan lagi dalam keadaan ketakutan, malah merindui kedatangan wahyu seterusnya.

Keperibadian Khadijah bukan sahaja bijak bermain bahasa, malah menjadi tonggak dalam kerja-kerja dakwah Baginda s.a.w. Kita semua tahu keperitan Rasulullah s.a.w menyampaikan dakwah Islam. Baginda dihina, dituduh sebagai orang gila, tukang sihir, pemecah belah umat dan sebagainya.

Khadijah menjadi penawar ketika Baginda berduka kerana dakwah Baginda ditolak oleh kaum sendiri. Beliau tidak menambahkan beban suami dengan merengek meminta sesuatu.

Beliau melaksanakan tugas menjaga dan mendidik anak-anak dengan penuh keimanan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. Beliau berjaya membesarkan anak-anak mencintai Allah dan rasul. Berjuang dan berdakwah seperti Rasulullah s.a.w. Beliau telah berjaya mendidik Fatimah Sarat dengan ciri-ciri keibuan.

Seorang isteri boleh menjadi penyumbang utama kepada kejayaan suami dalam kerjaya dan kerja dakwah. Seorang isteri juga boleh menyumbang kepada kejatuhan suami dan kemusnahan kerjayanya. Pilihlah mana satu yang kita mahu. PILIHAN DI TANGAN KITA!
BERIKUT ADALAH BEBERAPA CONTOH KOMUNIKASI BERKESAN KHADIJAH DENGAN SUAMINYA:
  • Berbicara dengan nada yang lembut dan kasih sayang.
  • Menjadi pendengar yang baik dan setia.
  • Menghibur hat suaminya dengan kata-kata perangsang dan penuh motivasi.
  • Memujuk suami dengan bicara yang menghiburkan.
  • Bertanya orang yang pakar tentang persoalan yang dihadapi suami.
  • Membawa suami berjumpa dengan orang yang boleh membantu menjawab persoalannya.
  • Membantu meringankan bebanan tugas suami dengan mendidik anak-anak dengan baik.

No comments: