Journal 2014 - # 787

Salam perpaduan salam perjuangan!

Tiada Solat Yang Tidak Berguna

Assalamualaikum! Hi uols! Saya mendengar sebuah hadis lebih kurang maksudnya: "Sesiapa yang
solatnya tidak menegahnya daripada perbuatan keji dan mungkar, maka ia tidak menambah melainkan semakin jauh daripada Allah."

Namun saya perhatikan ramai orang mengerakan solat tetapi masih menipu dan menganiyai orang lain. Bolehkah kita katakan kepada mereka: "Janganlah kamu solat. Selama ini pun solat kamu itu tidak berguna!"?

Jawapan:
Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Ankabut ayat 45, yang bermaksud: "...dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.."

Maknanya, jika solat itu ditunaikan secara sempurna rukun, syarat dan khusyuknya, maka ia menguatkan iman keada Allah s.w.t., diri menjadi takut melakukan maksiat kepada-Nya, dan akhlaknya menjadi baik.

Namun jika sebaliknya, maka ia tidak memberi manfaat keada orang yang mengerjakannya. Tidak kepada akidah dan akhlaknya.

Setinggi mana kualiti solatnya, maka sebesar itulah pahala dan kesan solat yang diperolehnya. Hal ini disebut dalam hadis Abu Daud, al-Nasa'i dan Ibn Hibban bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sebaik seseorang itu selesai mengerjakan solat, tidak dicatatkan baginya melainkan 1/10 daripada solatnya, 1/9, 1/8, 1/7, 1/6, 1/5, 1/4, 1/3 atau 1/2."

Justeru kita hendaklah berusaha menunaikan solat dengan semua rukun serta syarat yang sempurna dan yang paling pentingnya ialah ikhlas dan khusyuk.

Status Hadis
Hadis yang dinyatakan dalam soalan itu ialah hadis mawquf (kata-kata yang diucapkan oleh sahabat) kepada Ibn Mas'ud. Ia bukan hadis daripada Nabi s.a.w. sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad-nya.
Hadis ini juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dan Ibn Mardawaih dengan isnad (rantaian perawi) yang tidak kuat sepertimana yang disebut dalam takhrij al-iIraqi yang mentakhrij hadis-hadis yang ada dalam kitab Ihya' Ulum al-Din.

Maksud Sebenar Hadis
Hadis mawquf tersebut bukannya bermaksud kita tidak perlu lagi mendirikan solat jika solat dilakukan tidak boleh membaiki akhlak kita. Ia juga bukan bermaksud solat itu tidak sah. Kita juga tidak boleh menetapkan bahawa Allah s.w.t. tidak menerima solat itu. Soal penerimaan amalan itu diserahkan kepada Allah s.w.t. semata-mata.

Tanggungjawab kita ialah terus menunaikan solat sambil berusaha dan bermujahadah menyempurnakan solat sepanjang masa. Mana tahu Allah akan buka hati disebabkan usaha tanpa jemu itu. Tetap berhubung dengan Allah walau sekecil mana pun caranya, lebih baik daripada terputus terus daripada-Nya.
Syeikh 'Atiyyah Saqr (1914-2006)

No comments: