Journal 2014 - # 796

Salam perpaduan salam perjuangan!

Allah Maha Dekat

Assalamualaikum! Hi uols! Andainya hati ingin bertaubat, yakinlah Allah Maha Dekat. Andainya nafsu mendorong maksiat, ingatlah Allah Maha Melihat. Andainya doa dan permintaan dipanjat, ketahuilah Allah Maha Memperkenan setiap  hajat. Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa Allah s.w.t sentiasa dekat dan bersama orang-orang yang beriman kepada-Nya. Al-Quran menjelaskan bahawa Allah s.w.t sentiasa bersama dengan orang-orang yang beriman, bertakwa dan bersabar.

Menurut Imam al-Khazin, dekatnya Allah s.w.t bermaksud pengetahuan dan pemliharaan-Nya meliputi setiap hamba-Nya pada setiap masa. Ini menunjukkan betapa mudahnya bagi Allah s.w.t untuk memperkenankan setiap doa dan permintaan hamba-hamba-Nya. Oleh itu, taatilah Allah s.w.t, laksanakanlah segala perintah-Nya, kerana sesungguhnya Allah Maha Mendengar dan Melihat setiap amal perbuatan hamba-hamba-Nya.

Berdoalah kerana Allah Maha Dekat
Diriwayatkan daripada Imam al-Tabari bahawa pernah suatu ketka dahulu, para sahabat Rasulullah
s.a.w bertanya kepada Baginda: Di manakah Tuhan kami? Lalu Allah s.w.t menurunkan sepotong ayat yang bermaksud: "Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (beritahu kepada mereka): 'Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku'." (Surah al-Baqarah: 186)

Menurut Imam al-Qurtubi di dalam kitab tafsirnya berjudul al-Jami' Li Ahkam al-Quran, apabila seseorang bertanya tentang Allah, maka katakanlah: "Sesungguhnya Allah s.w.t sentiasa dekat. Justeru, Allah s.w.t akan memberikan pahala kepada sesiapa sahaja yang melakukan ketaatan. Allah s.w.t juga akan mengabulkan setiap doa dan hajat yang dipanjatkan. Oleh itu perbanyakkanlah doa kerana sesungguhnya setiap doa yang didengari oleh Allah s.w.t akan diperkenan oleh-Nya.

Berdoalah kerana Allah Maha Mendengar
Dalam sebuah perjalanan ke Khaibar, para sahabat r.a meninggikan suara ketia menuruni lembah dan mendaki bukit dengan bertakbir dan bertahlil. Melihatperbuat mereka Rasulullah s.a.w mendekati mereka dan bersabda: "Wahai manusia! kasihanilah diri kamu. Sesungguhnya kamu bukanlah berdoa kepada yang pekak dan jauh, namun sebenarnya  kamu menyeru kepada Tahun yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat dan Allah s.w.t sentiasa bersama-sama dengan kamu." (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari).

Menurut Imam al-Khazin, hadis ini menunjukkan agar kita merendahkan suara ketika berdoa kepada Allah s.w.t kerana sesungguhnya Allah s.w.t Maha Mendengar dan Maha Dekat. Para ulama turut menjelaskan bahawa meninggikan suara hanyalah ketika berbicara dan jarak yang jauh sedangkan apabila seseorang sedang berdoa kepada Allah s.w.t, sebenarnya Allah s.w.t sangat hampir dengannya. Justeru, para ulama menganjurkan agar doa yang dipanjatkan haruslah menggunakan nada yang rendah agar timbul rasa khusyuk dan keinsafan. Mudah-mudahan dikabulkan setiap hajat dan permintaan.

Berdoalah pada bila-bila masa
Menurut Imam al-Tabari, ketika turunnya firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Dan Tuhanmu berfirman: 'Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.' (Surah Ghafir: 60), Orang-orang pun berkata: '(Alangkah baiknya) Andainya kita mengetahui bilakah waktu mustajab untuk berdoa.' Lalu Allah s.w.t menurunkan firman-Nya yang bermaksud: 'Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku'." (Surah al-Baqarah: 186)

Penurunan ayat ini merupakan suatu galakan agar setiap umat Islam sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t tanpa mengira tempat dan masa. Sesungguhnya Allah sentiasa dekat kepada hamba-hamba-Nya dan akan memperkenankan setiap doa yang dipanjatkan kepada-Nya pada bila-bila masa sahaja. Oleh itum berdoalah kepada Allah ketika bersendirian atau bersama keluarga, berdoalah kepada Allah ketika berada dalam ruah atau kereta, berdoalah kepada Allah ketika belajar atau bekerja, berdoalah kepada Allah ketika berada dalam ruah atau kereta, berdoalah kepada Allah ketika sedang senang atau derita. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Kenalilah (ingatlah) Allah ketika dirimu senang, nescaya Allah akan mengenalimu ketika dirimu susah. (Hadis Riwayat al-Tabarani)

Teruskan berdoa andai doa belum diterima
Andainya doa yang dipanjatkan belum lagi diterima, maka janganlah sekali-kali berputus asa, kerana sesungguhnya pasti ada hikmah di sebaliknya, hanya kita sahaja yang barangkali tidak mengetahuinya. Yakinlah bahawa Allah s.w.t pasti mendengarnya.

Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda: "Tiadalah seorang Muslim yang berdoa kepada Allah, sedangkan dirinya tidak melakukan dosa dan memutuskan silaturahim, melainkan Allah s.w.t akan memberikan kepadanya salah satu daripada tiga perkara iaitu sama ada:
  • Allah segerakan permintaannya di dunia; atau
  • Melewatkannya (dengan balasan baik) di akhirat; atau
  • Memeliharanya daripada kejahatan.
Lalu seseorang telah berkata: 'Kalaulah demikian, kami akan perbanyakkan (berdoa)' Baginda s.a.w menjawab: 'Allah lebih banyak (pemberiannya)'." (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari)

Dalam menjelaskan ayat di atas, Imam al-Suddi pernah berkata: "Setiap hamba yang berdoa kepada Allah s.w.t  pasti akan diperkanankannya. Sekiranya perkara yang diminta merupakan rezekinya di dunia, maka Allah akan berikannya (di dunia). Sekiranya di akhirat, maka Allah akan tangguhnkannya sehingga hari Kiamat serta memelihara hamba tersebut daripada perkara-perkara yang tidak disukai."

8 Penghalang Doa
Bagi memastikan doa yang dipanjatkan dikabulkan oleh Allah s.w.t, sewajarnya kita mengetahui dan mengelakkan diri daripada lapan perkara yang boleh menyekat dan menghalang doa daripada dimakbulkan. Lapan perkara yang pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:
  • Hati yang lalai ketika berdoa.
  • Tidak yakin doa akan dimakbulkan.
  • Memutuskan silaturahim.
  • Melakukan dosa dan maksiat.
  • Putus harapan terhadap Allah.
  • Memperoleh sumber pencarian yang haram.
  • Tidak memulakan doa dengan pujian kepada Allah dan Selawat.
  • Tergesa-gesa mengharapkan doa dimakbulkan sehingga berputus asa.
6 Waktu Mustajab Untuk Berdoa
Menerusi ayat yang disebutkan, ramai ulama memetik hadis-hadis Rasulullah s.a.w sebagai panduan untuk menentukan waktu mustajab berdoa. Antara waktu-waktu mustajab yang pernah disebut oleh Rasulullah s.a.w adalah seperti berikut:
  • Sepertiga malam terakhir.
  • Antara azan dan iqamah.
  • Ketika sedang sujud di dalam solat.
  • Selepas menunaikan solat fardu.
  • Ketika sedang berpuasa.
  • Pada malam lailatulqadar dan hari Arafah. 
 
Sesungguhnya, setiap kali kita menadahkan tangan dan berdoa kepada Allah, ini membuktikan bahawa kita sebenarnya yakin dengan kewujudan-Nya, kita yakin dengan kewujudan-Nya, kita yakin Allah mendengarnya, kita yakin Allah akan memakbulkannya. Kerana kita yakin bahawa Allah tidak jauh daripada kita, bahkan Allah sentiasa dekat dengan kita. Oleh itu, marilah kita sama-sama perbanyakkan marilah kita sama-sama perbanyakkan doa dan beramal salih. Carilah masa-masa yang mustajab untuk berdoa dan elakkanlah daripada amalan-amalan yang boleh menyekat doa Allah s.w.t. Mudah-mudahan Allah s.w.t menambahkan lagi keimanan segala urusan kita di dunia dan di akhirat juga.

No comments: