Journal 2014 - # 802

Salam perpaduan salam perjuangan!

Di Sebalik Musibah Terselindung Hikmah

Assalamualaikum! Hi uols! Akhir-akhir ini dunia sering dikejutkan dengan pelbagai musibah atau bala bencana. Bencana alam yang sering melanda seperti banjir besar, tanah runtuh, gempa bumi, jerebuh dan tsunami adalah antara kejadian fenomena alam yang amat digeruni kerana boleh megakibatkan kerosakan dan kemusnahan yang besar.

Kita perlu sentiasa beringat bahawa ini adalah hamba Allah s.w.t dan wujud di dunia ini kerana diciptakan oleh-Nya, dan dibekalkan dengan pelbagai anugerah, kemudahan dan nikmat yang tidak terhingga banyaknya. Sebagai makhluk yang dibekalkan dengan akal yang boleh berfikir, maka kita dilantik sebagai khalifah untuk mentadbir bumi dan akan dipertanggungjawabkan di atas apa jua perbuatan it di muka bumi.

Jika kita bijak mengurus dan menggunakan segala sumber yang ada di muka bumi ini, pasti kehidupan akan jadi aman dan sejahtera. Jika sebaliknya, kita akan ditimpa kesusahan dan kemusnahan akibat daripada perbuatan kita sendiri yang silap mengurus dan mentadbir kehidupan di dunia ini mengikut undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Ini jelas dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui firman-Nya dalam surah an-Nisaa': 79 yang bermaksud: "Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati, maka ia adalah daripada Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu, maka ia adalah daripada (kesalahan) dirimu sendiri. Dan kami mengutuskan engkau (wahai Muhamad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini)."

Bebas dari bencana
Untuk membebaskan kehidupan manusia daripada pelbagai bencana dan kesulitan, tidak cukup
dengan sekadr memerah tenaga, menggunakan seluruh kemahiran dan kepakaran ilmu, tetapi setiap individu masyarakat seharusnya sentiasa menghormati syariat Allah s.w.t tidak melakukan kemungkaran dan kemusnahan di atas muka bumi dan perlu banyak bertaubat dan kembali kepada-Nya.

Jagalah hubungan kita dengan Allah s.w.t Ibnu Abbas r.a., ketika mengulas tentang isu bencana ini menyatakan: "Bahawa sesungguhnya setiap kesalahan dan dosa yang dilakukan oleh seseorang manusia, tidak kira sama ada ia manusia biasa atau seorang pemimpin yang berkuasa, yang cerdik pandai mahupun seorang ulama yang berwibawa, jika terus menerus dalam dosa kemungkaran, akan menyebabkan datangnya bala dan bencana. Dan sesungguhnya bala dan bencana itu tidak akan hilang jika orang yang bersalah dan berdosa itu tidak bertaubat."

Hakikatnya, segala fenomena bencana alam yang menimpa manusia secara tersiratnya mempunyai hikmah dan pengajaran tersendiri. Ia memberi pengajaran untuk melatih manusi supaya bersabar di atas setiap musibah yang menimpa agar akan lahir keinsafan serta kesedaran. Penderitaan manusia juga mengingatkan mereka tentang kesilapan yang dilakukan dan sebagai kafarah (penebus dosa) di atas kesalahan yang dilakukan; dengan harapan apabila ita kembali menghadap Allah s.w.t kelak, dia kembali dengan jiwa yang bersih yang dinamakan jiwa mutmainnah.

Bala bencana dan malapetaka telah berlaku ke atas manusia sejak dahulu lagi, cuma bezanya, umat-umat terdahulu, apabila ditimpa bala, hanya akan menimpa mereka yang kufur ingkar, dan menolak ajaran yang dibawa oleh para rasul. Ini berlaku kepada umat Nabi Nuh a.s, mereka yang kufur ingkar ditenggelamkan oleh banjir besar yang tinggi menggunung. Umat Nabi Musa a.s yang telah diturunkan bala dalam bentuk ribut taufan, begitu juga yang terjadi kepada kaum 'Aad dan Tsamud yang kufur ingkar, mereka dilenyapkan dari muka bumi ini.

Bencana akhir zaman
Tetapi bala atau bencana yang menimpa umat akhir zaman ini tidak hanya ditimpakan kepada orang-orang yang kufur dan ingkar sahaja. Sebaliknya bala dan bencana yang berlaku turut juga menimpa orang-orang yang beriman dan bertakwa. Oleh itu, marilah kita memperbanyakkan bertaubat kepada Allah s.w.t agar tidak mengikuti jejak langkah kaum-kaum yang ingkar dan kufur kepada Allah s.w.t.

Bagaimanakah pula bala atau musibah yang menimpa seseorang mukmin dapat menghapuskan dosa dan dapat pula menambahkan pahala jika ia menerimanya dengan penuh redha dan sabar? Persoalan ini  telah pun dijawab oleh Allah s.w.t dalam firman-Nya dalam surah al-Baqarah: 156 & 157 yang bermaksud: "(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 'Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan daripada Tuhan mereka serta rahmat-Nya dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk dan hidayah-Nya.

Nabi s.a.w. juga memberikan panduan kepada kita apa yang harus diucapkan ketika ditimpa musibah sama ada besar atau kecil dengan mengucapkan kalimat istirja' - innalillahi wainaa ilaihi raji'un.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a,bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Hendaklah salah seorang di antara kamu mengucapkan istirja' dalam segala hal (musibah) meskipun yang terjadi pada tali seliparnya (putus talinya), kerana perkara sedemikian adalah dikira sebagai musibah."

Bencana dan dosa
Kalaulah setiap kali kesalahan dilakukan oleh seseorang manusia pasti Allah s.w.t balas dengan serta merta, sudah tentu setiap waktu dan saat akan berlaku bencana di muka bumi ini berpunca daripada kesalahan manusia. Sesungguhnya Allah s.w.t itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Walaupun banyak kesalahan dan dosa yang telah dilakukan oleh hamba-hamba-Nya. Allah tidak sesekali menzalimi hamba-Nya melainkan mereka sendiri yang menzalimi diri mereka.

Sehinggalah sesetengah ulama mengatakan, sekiranya sesebuah negeri yang sedang mengalami kemarau berpanjangan, secara tiba-tiba ditimpa hujan lebat, sepatutnya penduduk di negeri itu bersyukur kepada Allah s.w.t, dan berterima kasih kepada makhluk haiwan, kerana merekalah, turunya rahmat Allah, iaitu hujan.

Berpandulah kepada pendapat para ulama, Allah s.w.t menimpakan sesuatu bencana besar untuk membersihkan tempat tersebut daripada dosa akibat perlakuan maksiat. Allah telah menetapkan undang-undang dan peraturan yang mesti diikuti. Jika undang-undang dan peraturan buatan manusia kita langgar, ada akibatnya, apatah lagi melanggar undang-undang dan peraturan Allah s.w.t, sudah tentulah ada akibat dan balasannya yang lebih buruk sama ada di dunia atau di akhirat.

Apabila ditimpa bala dan musibah janganlah begitu cepat kita melenting, marah dan hilang pertimbangan, sebaliknya bersikaplah dengan redha dan menghadapi segala musibah dengan sabar, istiqamah dan mengharapkan pahala serta keampunan daripada Allah s.w.t.

Hanya kepada Allah s.w.t tempat kita merayu keampunan, dan merintih dosa. Kesalahan yang pernah kita lakukan. Allah s.w.t tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya. Jangan ada perasaan buruk sangka terhadap Allah s.w.t apabila musibah atau bencana menimpa diri, sebaliknya kita perlu renungi hikmah di sebalik musibah yang melanda mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang bersyukur.

Menurut teori sains geologi, terdapat tiga faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena bencana alam ini:
Pertama: Kejadian bencana ini berlaku akibat faktor-faktor semula jadi seperti banjir, kemarau, jerebu, tanah runtuh, hempa bumi, tsunami dan sebagainya.
Kedua: Faktor biologi turut menyebabkan bencana ini berlaku seperti kejadian wabak penyakit yang menular dan menjangkiti haiwan serta manusia.
Ketiga: Musibah ini berlaku akibat daripada kecuaian dan kesilapan manusia sendiri, akibat tidak terancang. Contohnya pembangunan dilakukan di kawasan-kawasan berisiko, penjagaan alam sekitar yang tidak mampan, kurang penyelenggaraan infrastruktur dan sebagainya.

Namun jika ditinjau dari sudut Islam, fenomena dan setiap bencana alam yang berlaku sebenarnya ada hikmah di sebaliknya dan memberi pengajaran kepada manusia sejagat.

No comments: