Journal 2014 - # 800

Salam perpaduan salam perjuangan!

Kekayaan adalah yang Kaya Jiwanya

Assalamualaikum! Hi uols! Terlalu banyak jalan dan cara untuk mencari kekayaan dunia dan harta benda. Akan tetapi semua tahu bahawa pencarian kekayaan dunia tidak akan berhenti pada mana-mana batas. Baginda s.a.w sendiri ada menyatakan tentang sikap manusia; bahawa sekiranya anak-anak Adam itu mempunyai dua wadi emas, dia akan mencari yang ketiganya. Sememangnya manusia tidak pernah puas dengan apa yang telah Allah kurniakan.

Kerana itulah Baginda s.a.w menunjukkan dan melakarkan jalan yang sepatutnya kita ikuti agar kekayaan yang kita cari adalah kekayaan hakiki. Daripada Abu Hurairah r.a: "Bukanlah kekayaan itu yang banyak hartanya... akan tetapi kekayaan itu adalah yang kaya jiwanya." (Sahih Muslim, Kitab az-Zakat, no. 1051)

Di dalam hadis ini Baginda s.a.w menegaskan bahawa kekayaan hakiki bukanlah diukur pada banyaknya harta di dunia akan tetapi kaya yang sebenar ialah apabila seorang hamba itu berasa cukup dengan apa yang Allah kurniakan, dan berasa redha dengan apa yang Allah beri. Merekalah yang dipanggil sebagai yang kaya jiwanya.

Jiwa yang kaya
Jiwa yang kaya adalah lahir daripada rasa redha dengan ketentuan Allah dan menyerahkan segala urusan hanya kepada-Nya. Kerana ia tahu bahawa apa yang daripada Allah adalah lebih kekal dan lebih baik. Dan kerana dia tahu pilihan dan ketentuan Allah adalah yang terbaik buatnya. Dia juga redha dengan apa yang Allah berikan kepadanya kerana dia yakin rezeki Allah tidak akan pernah habis.

Jiwa yang kaya juga adalah yang lebih mengutamakan syariat dalam pengurusan hartanya. a lebih mengutamakan harta yang halal walaupun sedikit berbanding harta yang melimpah-limpah, tetapi tidak pasti halal haramnya. Kerana ia lebih yakin bahawa harta yang halal dan dicari mengikut syariat adalah lebih berkat.

Maka saat itu, ia akan hidup dengan hati yang tenang dan jiwa yang bahagia. Pada ketika yang diterima adalah jauh lebih berharga daripada segala perhiasan dan kekayaan di dunia.

Jiwa yang miskin
Jiwa yang miskin adalah jiwa yang tidak redha dengan ketentuan Allah, tidak pernah berasa cukup dengan apa yang Allah berikan. Bahkan sering saja meminta tambah dan mana sahaja yang ia boleh. Dan sekiranya apa yang dicari itu hilang atau tidak diperolehi, ia akan bersedih dan berduka cita. Maka mereka itu bukan setakat miskin harta malah miskin juga hatinya.

Jiwa yang miskin juga adalah jiwa yang tidak perna bersyukur dengan nikmat yang Allah beri. Tidak pernah berasa puas dengan kesenangan yang diterima. Sentiasa sibuk untuk memenuhi nafsu dan mencari perhiasan dunia. Mereka kaya harta tetapi miskin jiwanya.

Jiwa yang miskin juga ialah yang sanggup menggadaikan iman dan mendahulukan kekayaan berbandingan larangan Tuhan. Kerana ia lupa bahawa yang memegang rezeki ialah Allah. Ia juga lupa bahawa kelak ia akan ditanya tentang hartanya. Ke mana ia dibelanjakan dan dari mana ia mendapatkannya.
 
Neraca yang betul
Di dalam hadis ini Baginda s.w.a mengajak kita umatnya supaya mempunyai neraca pemikiran yang betul. Baginda mahu supaya kita memikirkan hakikat sebenar sesuatuperkara. Kejar nikmat yang kekal abadi dan tinggalkan nikmat yang sementara.

Baginda juga ingin menekankan bahawa dalam segala hal dan perkara, iman dan akhlak adalah yang paling utama. Nilai itulah sebenarnya yang akan menentukan kehidupan kita di alam abadi kelak.

Lihatlah mereka di bawahmu
Sekiranya manusia hanya melihat kepada mereka yang lebih kaya dan berharta darinya, maka ia akan menyebabkan hatinya sentiasa berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada padanya. Oleh sebab itu Allah melarang kita daripada melihat-ihat apa yang ada ditangan manusia dalam perkara keduniaan.

"Dan janganlah Engkau menujukan pandangan kedua-dua matamu dengan keinginan kepada apa yang telah Kami berikan kepada beberapa golongan daripada mereka yang kafir itu menikmatinya, yang merupakan keindahan kehidupan dunia ini, untuk Kami menguji mereka padanya; sedang limpah kurnia Tuhanmu di akhirat lebih baik dan lebih kekal."

Kerana itulah Baginda s.a.w berpesan kepada kita: "Lihatlah kepada mereka yang lebih rendah daripadamu dan janganlah kamu melihat kepada mereka yang lebih tinggi daripadamu. Maka sesungguhnya ia sangat penting supaya kamu tidak mempertikaikan nikmat Allah ke atasmu." (Tirmizi, Kitab Sifat al-Qiyamah, no. 2513)

Maka dengan itu, redhalah dengan nikmat Allah kerana Rasulullah s.a.w mengatakan: "Redhalah dengan apa yang telah Allah beri nescaya kamu akan menjadi manusia yang paling kaya." (Tirmizi, Kitab az-Zuhdi, no 2305)

Mereka yang redha ialah mereka yang punyai sifat qanaah. Qanaah ialah berasa cukup dengan pemberian Allah. Ia tidak mahu hartanya menjauhkannya daripada Tahun. Ia tahu bahawa Allah tahu apa yang terbaik untuknya. Maka ia, bersyukur dengan nikmat Tuhannya.


No comments: