Journal 2013 - # 459

Hi uols! Salam taqwa salam ilmu, hari ni 1st day masuk keja fuhh!! berlambak keja atas meja,  ni ler bahana cuti lama sgt hehe (^_^) mana x nya sibuk sgt nk cuti panjangkan now ambik nko!! haha..

Well arini aku nk share pasal satu artikel yg cukup berguna kpd kita sbg manusia hamba Allah SWT. Petikan artkel ini aku ambik kt drpd Facebook Dr. Juanda Jaya Jom kita baca artikel ini.

KHUTBAH JUMAAT NEGERI PERLIS (6 April 2012 M / 14 Jamadil Awal 1433 H) - HARAM PECAH AMANAH

HARAM  PECAH  AMANAH
6 April 2012 M / 14 Jamadil Awal 1433 H

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ، لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ، أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ، اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  
أَمَّا بَعْدُ. فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ 

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Saya mengingatkan diri saya dan para jemaah sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita berjaya menjadi insan yang beruntung di dunia dan akhirat. Mimbar Jumaat pada hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk:"Haram Pecah Amanah”.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Manusia ialah hamba Allah SWT yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas khalifah begitu luas yang meliputi segala aspek kehidupan umat manusia. Tugas ini adalah amanah. Bagi membolehkan kita melaksanakan amanah yang begitu berat, maka Allah SWT menurunkan Al-Quran dan Rasul-Nya agar dijadikan rujukan dan panduan untuk kita mentadbir alam ini. Justeru, sebagai khalifah, kita diwajibkan mentaati segala peraturan dan panduan yang telah ditetapkan demi kesejahteraan semua manusia dan seluruh alam.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 27:
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)”.

Ayat ini merupakan perintah larangan Allah SWT yang ditujukan  kepada  orang-orang  yang  beriman dan berilmu supaya jangan mengkhianati amanah Allah dan Rasul-Nya. Orang yang melakukan pecah amanah disifatkan sebagai seorang yang munafik, sepertimana sabda Rasulullah SAW bersabda dalam hadis riwayat Al-Bukhari, yang bermaksud : “Antara tanda orang munafik ialah apabila diberi amanah dia mengkhianatinya”.
Al-Imam Ibnu Kathir dalam kitab tafsirnya menyebut mereka yang pecah amanah sebagai bersifat munafik pada perbuatan dan merupakan dosa besar serta bakal mendapat kemurkaan Allah SWT .

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Ketahuilah bahawa Nabi Muhammad SAW telah menunaikan amanahnya sebagai penegak agama, penyelamat ummah, pembela orang-orang lemah, dan pendidik masyarakat. Baginda juga bertindak sebagai ketua keluarga, ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam.

Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggunjawab ke atas setiap amanah yang dipikul oleh setiap manusia, sebagaimana sabdanya:

Maksudnya: “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai orang yang kamu pimpin. Imam yakni ketua kerajaan ialah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Suami ialah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Wanita ialah pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya. Setiap kamu ialah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu”.
(Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Islam amat menitikberatkan aspek kepimpinan yang berkualiti dan menjadi contoh kepada seluruh masyarakat di dunia ini. Sesungguhnya umat Islam amat beruntung kerana mempunyai seorang tokoh maksum untuk  dijadikan panduan dan tauladan dalam merealisasikan asas kepimpinan ini iaitu baginda Rasulullah SAW. Baginda ialah contoh yang dikagumi oleh seluruh umat Islam, bahkan disanjung tinggi oleh para cendekiawan dunia. Hal ini kerana baginda telah menunjukkan kebolehan yang hebat dan luar biasa dalam memimpin negara, masyarakat dan keluarga.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah ,
Sesungguhnya menjadi seorang pemimpin bukanlah satu peluang untuk mendapatkan kuasa, pangkat, pengaruh politik, harta dan wang ringit semata-mata. Bahkan tugas memimpin merupakan amanah dan tanggungjawab kepada Allah SWT yang amat berat. Oleh itu, Rasulullah SAW melarang umatnya meminta-minta atau berebut-berebut untuk dipilih menjadi pemimpin kecuali kita dipilih dan dilantik. Sabda Rasulullah SAW  dalam hadis riwayat Muslim :

يَا عَبْدَ الرَّحْمَنِ لاَ تَسْأَلِ الإِمَارَةَ فَإِنَّكَ إِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ مَسْأَلَةٍ أُكِلْتَ إِلَيْهَا وَإِنْ أُعْطِيتَهَا عَنْ غَيْرِ مَسْأَلَةٍ أُعِنْتَ عَلَيْهَا

Maksudnya: Wahai Abdul Rahman bin Samurah! Janganlah engkau meminta-minta jawatan (hendak menjadi pemimpin) kerana  jika  engkau  menjadi  pemimpin kerana berminta-minta, maka tanggungjawabmu akan dibebankan ke atas bahu kamu seorang. Dan jika engkau dipilih tanpa permintaan, engkau akan dibantu dalam tugasmu.

Mengikut pemerhatian, tahap melaksanakan amanah dalam kalangan anggota masyarakat pada hari ini agak merisaukan. Banyak tanggungjawab diabaikan sama ada yang berkaitan dengan Allah SWT atau sesama manusia. Kita dapat melihat ramai dari kalangan individu kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, dan bakhil untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah. Ramai juga dalam kalangan kita, ibu bapa yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, hingga menyebabkan anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah yang dilaporkan oleh pihak berkuasa. Gejala sosial semakin menjadi-jadi, penagihan dadah, penyalahgunaan daun ketum, seks haram diluar nikah, dan kecurian berlaku di mana saja.

Amanah dalam menguruskan sektor awam dan  swasta pada masa kini juga perlukan perhatian mendalam. Banyak laporan berkaitan kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membuang masa, dan sebagainya. Begitu juga dilaporkan penyelewengan permit subsidi diesel dalam kalangan nelayan, penyelewengan petrol dan minyak masak yang diseludup serta dijual  kepada  warga luar yang tidak berhak.  Perbuatan yang terkutuk ini jika berleluasa akan merugikan rakyat dan negara. Demikian juga amanah dalam kalangan pemegang-pemegang jawatan yang lain dalam masyarakat, pertubuhan kebajikan, parti politik, masjid, surau, institusi dan sebagainya, jadikan jawatan itu sebagai peluang untuk menambah pahala dengan menunaikan amanahnya, bukannya jawatan itu menjadi punca menambah dosa dan menempah api neraka akibat amanah yang diabaikan.

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis riwayat Al-Bukhari, yang bermaksud ; "Apabila telah hilang amanah maka tunggulah saat kehancurannya. Baginda ditanya lagi ;Bagaimanakah amanah itu hilang?. Baginda menjawab; Apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya, maka tunggulah saat kehancurannya".
Justeru, mimbar menyeru semua jemaah, marilah sama-sama kita menghayati prinsip ikhlas, bertanggungjawab, sentiasa beramanah, jujur, berdisplin dan mengutamakan kualiti serta kesempurnaan dalam setiap tugasan yang diamanahkan.
Ingatlah jika kita mengkhianati amanah yang diberikan nescaya kita akan dimurkai Allah SWT serta sukar untuk mendapat kepercayaan orang lain. Jika sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram dan ia pasti menempah tempat di dalam neraka. Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa ayat 58:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan menyuruh kamu apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, hendaklah kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat”.

خطبه كدوا

الحَمْدُ للهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَهْدِيْهِ وَنَعُوذُ بِالله مِنْ شُرُورِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا، مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْهُ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَن لاَّ إِلِهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا أَيُّهَا الْمُسْلِمُوْنَ، اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوْتُنَّ إِلاَّ وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Sekali lagi saya berpesan kepada diri saya dan sidang Jumaat sekalian, marilah kita bertakwa kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah Sekalian,
Pada hakikatnya umat Islam ialah umat yang terbaik, umat wasatiyah dan ummat contoh di alam dunia ini, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 110, yang bermaksud :

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kerana kamu menyuruh segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah, serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)….”.


Namun perlu disedari, pra-syarat utama untuk menjadi umat terbaik dan berminda kelas pertama adalah berilmu pengetahuan.

Umat berminda kelas pertama ialah mereka yang memiliki pemikiran, sikap, tindakan, disiplin, dan wawasan yang berkualiti tinggi. Penguasaan ilmu pengetahuan yang syumul lagi mantap merupakan teras untuk membentuk masyarakat berminda kelas pertama. Firman Allah SWT dalam surah Al-Mujadalah ayat 11:

Yang bermaksud : “Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama daripada kalangan kamu dengan beberapa darjat. Dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”.

Soal sikap dan disiplin masyarakat berminda kelas pertama akan kelihatan dalam kehidupan mereka walaupun mungkin perkara itu nampak kecil dan remeh, seperti pentingnya mematuhi peraturan keselamatan jalanraya seperti memakai topi dan tali pinggang keledar sewaktu membawa kenderaan. Hal ini amat penting kerana ia membabitkan soal nyawa dan mematuhi undang-undang negara.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sesungguhnya, Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ahzab, ayat 56:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan para Malaikat berselawat ke atas Nabi, maka wahai orang-orang yang beriman hendaklah kamu berselawat dan salam ke atas nabi”.

اَللّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيْمَ فِى الْعَالَمِيْنَ إِنَّكَ حَمِيْدٌ مَجِيْدٌ.
اَللّهُمَّ اغْفِرْ لِلْمُسْلِمِيْنَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، الأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَالأَمْوَاتِ. إِنَّكَ سَمِيْعٌ قَرِيْبٌ مُجِيْبُ الدَّعْوَاتِ وَقَاضِىَ الْحَاجَاتِ. 

Ya Allah! Ampunilah seluruh kaum Muslimin sama ada yang hidup ataupun yang telah mati. Ya Allah! Berikan petunjuk hidayah serta rahmat-Mu kepada kami dan kepada para pemimpin kami terutamanya Raja Pemerintah Negeri Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamallullail dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail serta kaum kerabat Baginda, supaya sentiasa beramal dengan Kitab-Mu dan Sunnah Nabi-Mu.

Ya Allah! Kurniakan kepada kami segala rahmat dan nikmatmu, kukuhkan negeri Perlis ini sebagai negeri yang maju, makmur dan berkat. Bimbinglah masyarakat kami agar menjadi masyarakat berminda kelas pertama. Tetapkan iman dan amal kami, kukuhkan perpaduan kami, murahkan rezeki kami, kayakan kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkan jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikan generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungi kami daripada ujian-Mu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, kemiskinan dan persengketaan umat Islam.

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

رَبَّنَا اغْفِرْلَنَا وَلإِخْوَانِنَا الَّذِيْنَ سَبَقُوْنَا بِالإِيْمَانِ وَلاَ تَجْعَلْ فِىْ قُلُوْبِنَا غِلاًّ لِلَّذِيْنَ آمَنُوْا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوْفُ الرَّحِيْمُ.

عِبَادَ اللهِ! اِنَّ اللهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالاحْسَانِ وَاِيْتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ، يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُوْنَ.

 

No comments: