Hi uols!! Salam kedamaian, salam keamanan, masihkah anda ingat dengan sejarah buruk bencana Alam yang melanda negara kita suatu ketika dahulu sebelum Tsunami?? Ribu Tropika Greg, Masa tu aku masih ingat lagi aku berusia 12 tahun baru balik dari kampung pada petang 25 Disember 1996. Masyallah Maha Hebat Ujian dripd Allah SWT. Jom kita imbas kembali peristiwa n sejarah tersebut.
Ribut Tropika Greg (kod JTWC: 43W) merupakan siklon tropika terakhir yang terbentuk dalam musim taufan Lautan Pasifik bagi tahun 1996. Dikesan mula terbentuk daripada lekukan tropika di Laut China Selatan pada 24 Disember 2.00 petang (waktu Malaysia), ribut ini membadai Sabah pada 26 Disember, dengan korban 238 nyawa, manakala 102 orang lagi dilaporkan hilang.[1] Ribut ini juga mengakibatkan kemusnahan harta yang besar di negeri Sabah. Ribut telah melenyap pada 28 Disember di Laut Sulawesi. Bencana ini merupakan antara bencara yang terburuk dalam sejarah negara.
Sejarah ribut
Suatu kelompok awan terbentuk pada malam 20 Disember di Laut China Selatan, di tengah-tengah Vietnam dan berdekatan dengan kawasan laut di barat laut Sabah.[2] Gangguan tropika ini dilaporkan oleh JWTC dalam Nasihat Penting Cuaca Tropika pada 21 Disember jam 2.00 petang waktu Malaysia.[3] Pada 23 Disember, gangguan cuaca ini terus berkembang dengan proses perolakan yang berterusan.[3]
Pada 24 Disember jam 12.00 tengah hari, JTWC telah mengeluarkan
Amaran Pembentukan Siklon Tropika apabila imej satelit tampak dan
gelombang mikro menandakan susunan perolakan sistem ini bertambah padu.[3] Sistem cuaca ini diberikan status sebagai suatu lekukan tropika oleh JTWC pada 24 Disember jam 2.00 petang.
Jabatan Kaji Cuaca Malaysia pada 25 Disember jam 1.00 pagi
mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang yang dijangkakan
memberi kesan terhadap Labuan dan barat Sabah selama 24 jam.[4]
Pada jam 8.00 pagi, lekukan tropika ini mencapai status ribut
tropika, apabila tindakbalas monsun barat laut menambah kelajuan
anginnya.[2][3] Pada saat ini kelajuan angin Greg yang tertinggi dicatatkan iaitu 45 knot (23 ms-1; 83 km/j) dan kelajuan ini dikekalkan sehingga ribut tropika ini bertemu daratan di Sabah.[3] Awal pagi 26 Disember antara jam 3.00 hingga 4.00 pagi, ribut itu betul-betul melanda keseluruhan bahagian Kudat sebelum membadai Sandakan.[1]
Setelah itu, ribut memasuki Laut Sulu, dan agensi JTWC mula menurunkan status ribut itu menjadi lekukan tropika pada koordinat 6.05°U 118.80°T
pada 26 Disember, jam 2.00 petang. Angin selaju 40 knot (75 km/j)
direkodkan. Kelajuan angin bagi lekukan tropika ini kian lemah apabila
merentasi perairan Laut Sulu dan memasuki kawasan Laut Sulawesi. Amaran
cuaca terakhir dikeluarkan oleh JWTC pada 27 Disember jam 2.00 petang
apabila struktur perolakan dalam ribut ini mula merosot.[3] Akhirnya pada 28 Disember, jam 2.00 petang, sistem cuaca itu kali terakhir dikesan pada koordinat 3.1°U 131.2°T, dengan kelajuan angin kira-kira 20 knot (37 km/j), sebelum dikesan telah lenyap di kawasan timur Laut Sulawesi.[5]
Dalam analisis terkemudian JWTC terhadap cerapan data satelit, agensi
ini mendapati bahawa Lekukan Tropika 43W berkembang menjadi Ribut
Tropika Greg pada 24 Disember jam 8.00 malam. Hal ini demikian kerana
imej gelombang mikro daripada satelit Defense Meteorological Satellite Program (DMSP) pada 24 Disember jam 10.52 malam menunjukkan jalur perolakan padu yang tersusun mengiringi pusat peredaran aras rendah.[3]
Fenomena luar biasa
Siklon tropika amat-amat jarang melanda Malaysia. Sebarang sistem
siklon tropika di Laut China Selatan akan lazimnya bergerak menghala
kawasan Indochina. Selain itu juga, pergerakan ribut ini dari 8°U 110°T ke 3°U 126°T
yang berterusan juga sungguh luar biasa. Dalam pertimbangan JWTC,
pengaruh putaran Taufan Fern yang besar, yang berada di timur Filipina,
mempengaruhi pergerakan ribut ini [4][6]
JTWC mengandaikan tindakbalas monsun timur laut menghalang pergerakan
ribut ke arah barat serta angin baratan yang kuat di kawasan selatan
ribut menyebabkan pergerakan yang sedemikian.[3]
Tindakan
Pada 26 Disember jam 5.30 pagi, apabila polis menerima laporan
mengenai ribut ini dan menjumpai korban pertama, operasi mencari dan
menyelamat dengan kekuatan kira-kira 300 orang daripada pelbagai badan
dilancarkan.[7] Mereka termasuklah 24 orang ahli SMART dengan dilengkapi anjing pengesan, pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja, dan Tentera Udara Diraja Malaysia.[8][9]
Ketua Menteri Sabah pada waktu itu, Datuk Yong Teck Lee
menggerakkan Jawatankuasa Bencana Alam Negeri. Manakala tindakan yang
serupa bagi peringkat daerah di pantai barat diarahkan oleh Setiausaha
Kerajaan Negeri, Datuk Datu Khalil Datu Jamalul.[10][11]
Badan swasta juga menyalurkan bantuan, seperti Sabah Air yang
menyumbangkan empat buah helikopter untuk operasi mencari dan
menyelamat, manakala TV3 turut membantu dalam menyumbang dana tabung bantuan.[12]
Manakala badan sukarelawan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
(PBSM) Keningau dan Kota Kinabalu memberi seliaan kepada tiga buah
pusat pemindahan mangsa yang menempatkan sejumlah 1900 orang mangsa di
Keningau, selain daripada menyedia dan menghantar bantuan makanan.[13]
Pada pagi 27 Disember, pasukan SMART dikerahkan ke Keningau
bersama-sama 25 orang anggota polis tugas am, 60 anggota Pasukan Polis
Hutan, 10 Pengakap Sempadan dan 109 anggota Tentera Darat Diraja Malaysia.[14]

Bantuan antarabangsa juga diterima dengan Indonesia menghantarkan barang-barang bantuan. Manakala Jepun menyumbangkan geran wang bilateral sebanyak $AS100,000 dan barangan bantuan sejumlah $AS170,190 (nilai 1996).[16]
Negara lain yang turut memberikan bantuan termasuklah Korea Selatan,
Brunei, New Zealand, Filipina, Thailand, dan Amerika Syarikat.[17][18]
Pengumuman penghentian gerakan mencari dan menyelamat mangsa dibuat
oleh Pembantu Menteri Perkhidmatan Sosial Sabah, Datuk Markus Majihi
pada 17 Januari 1997 walaupun 102 orang mangsa yang dilaporkan hilang
masih tidak ditemui.[1] Ahli Jawatankuasa Bencana Alam Negara, Datuk Mohamed bin Rahmat
yang juga Menteri Penerangan Malaysia pula mengumumkan bahawa pengiraan
mangsa hilang akan dilancarkan pada 23 Januari 1997. Proses ini
dilaksanakan oleh Pejabat Daerah Keningau dengan kerjasama polis dan
tentera. Dalam masa yang sama, beliau menggesa supaya ketua masyarakat
Indonesia dan Filipina turut bekerjasama dalam proses ini.[19]
Tabung bantuan juga dibuka oleh kerajaan negeri sehingga 28 Februari
1997. Sumbangan yang diterima selain daripada wang termasuklah bekalan
makanan, pakaian dan alat permainan kanak-kanak.[17]
Pada 5 April 1997, akhbar Sabah Daily Express melaporkan
jumlah sumbangan yang didermakan kepada Tabung Bantuan Bencana Ribut
Tropika Greg sebanyak RM 6.2 juta termasuklah bantuan antarabangsa.
Manakala peruntukan kerajaan negeri Sabah pula ialah sebanyak RM 9 juta.[20]
Impak
Daerah | Mangsa | Kediaman rosak |
Kematian |
---|---|---|---|
Kota Kinabalu | 8,730 | 4,717 | 4 |
Tuaran | 8,136 | 1,697 | 5 |
Papar | 772 | 45 | 2 |
Penampang | 324 | 40 | – |
Keningau | 5,040 | 500 | 227 |
Sipitang | 131 | 25 | – |
Tenom | 3,500 | 26 | – |
Telupid | 7 | – | – |
Beaufort | 12,867 | – | – |
Jumlah | 39,687 | 7,280 | 238 |
Akibat ribut ini, kerajaan negeri Sabah mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM 130 juta.[1].
Banyak prasarana mengalami kemusnahan, sama ada bumbung bangunan
dipuput angin atau terus ranap dihempap pokok atau tiang elektrik.
Mangsa ribut juga dipindahkan ke pusat-pusat pemindahan yang ditetapkan.
Pada 28 Disember, amaran ancaman wabak taun dikeluarkan terhadap tujuh
buah daerah. [20]
Di Kota Kinabalu, Tenom dan Sandakan sahaja, kerosakan jalan dan
jambatan mencecah RM 21 juta, manakala kos untuk pembaikan dermaga dan
pelabuhan ialah sebanyak RM 10 juta. Pemulihan bekalan air memerlukan
kos kira-kira RM 6 juta, dan pembaikan landasan kereta api berkos RM 1
juta. [22] Jalan-jalan dinaiki air atau terputus disebabkan tanah runtuh atau jambatan dihanyutkan.
Petempatan berdekatan banjaran Crocker dihanyutkan arus deras
daripada lereng akibat hujan lebat yang dibawa oleh ribut tropika ini.
Kejadian ini diburukkan lagi dengan tiupan angin kencang yang berlaku
serentak dengan hujan, pada dinihari 26 Disember. Mangsa-mangsa ribut
yang sedang tidur dihanyutkan oleh arus banjir kilat ini.
Sekolah-sekolah juga mengalami kerosakan. Jabatan Pendidikan Sabah
menganggarkan jumlah kemusnahan sebanyak RM 1.5 juta. Kemusnahan yang
dilaporkan berupa bumbung tercabut ditiup ribut, dan kerosakan
melibatkan dinding bangunan dan peralatan sekolah. Ini menimbulkan
masalah kerana sesi persekolahan baharu bagi tahun 1997 bakal bermula
pada 6 Januari 1997, kira-kira 11 hari selepas tarikh kejadian. Untuk
mengatasi masalah kekurangan dan ketiadaan kelas, sekolah diadakan dalam
dua sesi buat sementara waktu. [23]
Korban nyawa yang dicatatkan akibat ribut ini ialah seramai 238 orang
(bilangan termasuk jumlah mangsa yang dilaporkan hilang). Walau
bagaimanapun, hanya lima belas orang mangsa ialah warga tempatan
manakala yang selebihnya ialah warga asing.[24]
Umumnya mangsa yang terselamat juga mengalami trauma apabila
mana-mana ribut tropika atau taufan merentasi Filipina, bimbang tragedi
seperti ini berulang lagi.
Bahagian Pantai Barat
Kota Kinabalu
Di ibu negeri Sabah ini, dilaporkan bahawa terdapat bumbung serta
atap beratus-ratus buah rumah, pokok-pokok dan papan-papan iklan yang
ranap diterbangkan angin. Sampah sarap berupa potongan beluti dan papan
bertaburan merata-rata tempat.[10] Salah satu daripada lampu limpah Stadium Likas tumbang. Akibatnya,
separuh daripada jalan berdekatan terhalang. Selain itu, bumbung stadium
ini juga diterbangkan angin. [20]
Bangunan Yayasan Sabah terpaksa ditutup pada 26 Disember akibat
kerosakan serius pada beberapa bahagian bangunan terbabit. Semua
kakitangan Jabatan Ketua Menteri dan Yayasan Sabah yang berpejabat di
situ diarahkan supaya bercuti ada hari itu. Struktur yang terjejas ialah
tingkat bawah yang menempatkan pintu masuk ke lif. Hal ini disebabkan
oleh bahagian silingnya hampir musnah serta sebahagian dinding cermin
pecah dan tercabut.[25]
Tingkat 7 yang menempatkan Jabatan Ketua Menteri dan tingkat 19 yang
dijadikan pejabat-pejabat bagi yayasan tersebut, juga mengalami
kerosakan apabila tingkap-tingkap di bahagian menara itu pecah. [20]
Di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, tiga tingkat bangunan
yang mempunyai empat tingkat itu mengalami kerosakan teruk. Antara yang
terjejas ialah dewan persidangan DUN. Di situ, tempat duduk Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Tambunan, Datuk Joseph Pairin Kitingan; ADUN
Langkon, Dr Maximus Ongkili; ADUN Dilantik, Datuk Lawrence Gimbang dan
Chong Ket Wah; serta ADUN Karamunting, Datuk Lau Pui Keong, mengalami
kerosakan. Selain itu, dua tempat duduk Timbalan Speaker dan Setiausaha
DUN juga terjejas. Barisan kerusi ADUN lain tidak terjejas kecuali
bahagian Kabinet negeri. Kerosakan pada bahagian itu disebabkan oleh
serpihan atap cermin jatuh dari jarak kira-kira lapan meter, serta
beberapa dinding kaca berhampiran eskalator.[25]
Sekolah-sekolah di Kota Kinabalu juga binasa. Antaranya SK Pulau
Sepangar, SK Gentiasan, SK Kebagu Menggatal, SK Rampayan Menggatal, SK
Tobobon Menggatal, SK Karambunai Telipok, SK Melawa Telipok, SK Lapasan
Telipok, SMK Menggatal, SMK Pulau Gaya, SMK Inanam, SMK Agama Inanam,
SMK Likas dan SMK Perempuan Likas. [23] Atap bangunan Sekolah Kebangsaan Darau yang baru dibina pada tahun itu telah diterbangkan angin ribut. [26]
Daerah Tuaran
Di daerah ini, sebanyak 35 buah kampung melaporkan kes kemusnahan.[23]
Selain itu, perhubungan jalan raya antara Tuaran dan Kota Kinabalu juga
terputus akibat pokok yang tumbang, di samping ketiadaan bekalan
elektrik ke seluruh daerah kerana kabel yang terputus atau tiang
elektrik yang tumbang. Ini mengakibatkan urusan kerajaan dan pihak
swasta tidak dapat dijalankan. Bekalan air juga mengalami masalah.[27]
Lima belas buah sekolah rendah dilaporkan mengalami kerosakan, dan
juga tiga buah surau, sebuah gereja dan dua buah penginapan resort juga
mengalami kerosakan teruk.[23][28]
Di pekan Tamparuli, SK Saradan, SK Pekan Tamparuli, SK Rungus, SK
Lingga Baru, SK Guakon dan SMK Pekan Tamparuli merupakan sekolah yang
melaporkan kes kerosakan. [23]
Kampung Tanjung Aru
Stesen mencatat cuaca di sini mengalami kerosakan akibat banjir.[29]Manakala bot-bot nelayan di situ ada yang tenggelam, dan ada yang terdampar di darat.[11]
Pulau Gaya
Bumbung sebuah masjid di situ dilaporkan runtuh.[11]
Semua blok bangunan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya dan Sekolah
Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya mengalami kerosakan teruk, malah
sebuah blok SK Pulau Gaya runtuh dan tidak boleh digunakan sama-sekali. [23]
Kawasan perairan
Taman Tunku Abdul Rahman mengalami kerosakan di samping kemusnahan kawasan terumbu karang [30] di pulau Manukan, Sapi dan Sulug.[31]
Da;am satu kertas kerja yang diterbitkan pada tahun 2005, terumbu
karang di Pulau Baik juga dipostulasikan mengalami kerosakan akibat
ribut ini.[32]
Bahagian Pedalaman
Keningau
Daerah Keningau merupakan daerah yang paling teruk terjejas akibat
ribut ini akibat arus deras daripada arus banjaran Crocker yang
menyebabkan Sungai Pampang yang cetek melimpahi tebingnya.[8][20]
Siasatan mendapati arus deras ini mula menuruni cerun pada jam 3.00
pagi dan 4.00 pagi ketika penduduk sedang tidur. Kejadian ini juga
berlaku sangat pantas, maka tidak banyak yang sempat menyelamatkan diri.
Kebanyakan mangsa yang ditemui dalam timbunan lumpur dan sampah
merupakan keturunan Bugis dan Tanah Toraja (Tator) yang bekerja di
kilang-kilang papan berhampiran.[33]
Majoriti kaum Tator yang beragama Kristian pula baru sahaja menyambut
Hari Krismas pada hari sebelumnya, iaitu 25 Disember. Penempatan mereka
dibina di Kampung Baru dan Kampung Contoh, rata-ratanya dibina
betul-betul di tebing sungai.[8]
Kampung-kampung yang terjejas akibat banjir di daerah ini ialah
Kampung Pampang, Bulu Silou, Motou, Liawan Ulu, Bingkor Lama, Minonsod,
Bangulad, Limbawan dan Bakiau. Selain itu, dua jambatan utama di Sungai
Liawan dan Pegalan dihanyutkan arus deras. Ini menyebabkan perhubungan
utama ke daerah itu terputus.[34] Jambatan di Sungai Bayayo yang runtuh menyebabkan hubungan Keningau dengan Kota Kinabalu terputus.[8] Memburukkan keadaan lagi apabila hubungan telekomunikasi yang tidak memuaskan menyukarkan penyaluran maklumat dengan pantas.[10]
Sipitang
Sederet gerai milik Majlis Daerah Sipitang di pesisir pantai Sipitang
menjadi condong akibat dipukul ombak besar. Daerah ini juga terputus
hubungan dengan daerah Beaufort akibat banjir di Kampung Pantai dan
Kampung Sungai Baular. [35]
Beaufort
Tiga per empat Pekan Beaufort ditenggelami banjir sedalam setengah
meter. Hanya kenderaan berat yang boleh merentasi pekan itu. Selain itu
perkhidmatan kereta api ke Tenom juga dihentikan akibat banjir.[35]
Tambunan
Jalan raya yang merentasi bukit-bukit berdekatan Gunung Emas ditutup akibat tanah runtuh.[34]
No comments:
Post a Comment