Syubhah Membinasakan Akidah
Assalamualaikum! Hi uols! Kalau sebelum ini aku telah share topik 'Bisnes dah Halal Tapi Sumbernya Bagaimana?'. Dalam tempoh kehidupan ini,
kita tidak dapat lari daripada persoalan halal dan haram kerana
segalanya tertakluk kepada penilaian Allah SWT terhadap segala amalan
dan perbuatan yang kita lakukan. Sebagai panduan, setiap perkara dari
segi hukum halal dan haramnya telah diperjelaskan oleh Allah SWT di
dalam al-Quran disamping hadis-hadis Rasulullah SAW menghuraikan lagi
persoalan tersebut. Hukum halal dan haram yang mewarnai kehidupan
manusia di dunia ini adalah suatu persoalan yang berkaitan dengan
kepercayaan dan keimanan kita kepada Allah SWT ianya melibatkan suruhan
serta tegahan, galakkan dan amaran.
Allah
SWT tidak meninggalkan persoalan asas dan pokok yang melibatkan halal
dan haram yang dibicarakan di dalam al-Quran mengenai urusan akidah,
ibadah, syariah dan akhlak yang mulia tanpa ada jawapan serta panduan
untuk melaksanakannya. Walaubagaimana pun di antara segala perkara yang
jelas halal dan haram tersebut, ada perkara-perkara yang syubhah
iaitu perkara yang samar-samar hukumnya di antara yang halal atau haram
sebagai ujian untuk orang yang beriman. Justeru, orang mukmin yang
benar dan bersifat warak akan meninggalkan perkara-perkara syubhah
ini sebagai lambang kesempurnaan iman kerana dikhuatiri tanpa disedari
ianya boleh terjatuh kepada perkara yang haram dan dimurkai Allah SWT.
Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nukman bin Basyir r.a
katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, (sambil Nukman memegang
kedua belah telinganya):
"Sesungguhnya perkara halal itu jelas dan perkara haram itu pun jelas. Manakala di antara kedua-duanya terdapat perkara-perkara syubhat yang tidak diketahui oleh orang ramai. Oleh itu, sesiapa menjaga dirinya daripada perkara syubhat, maka dia telah bebas (dari kecaman) untuk agamanya dan kehormatannya dan sesiapa yang terjerumus ke dalam syubhat, bererti dia telah terjerumus ke dalam perkara haram.”
Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua perkara yang telah Allah SWT
dan Rasulullah SAW nyatakan dalam al-Quran dan hadis, jelas dari segi
hukumnya sama ada halal ataupun haram. Namun begitu ianya tidak bermakna
apabila Allah SWT dan Rasul-Nya tidak mengatakan mengenainya, lantas
perkara itu boleh dianggap halal!
Rasulullah SAW telah menjelaskan di dalam hadis di atas bahawa antara
halal dan haram, terdapat perkara syubhah. Syubhah merupakan sesuatu
perkara atau keadaan yang tidak pasti akan hukumnya. Syubhah juga boleh
juga ditakrifkan sebagai perasaan was-was akan sesuatu perkara. Walaupun
syubhah bukanlah halal dan tidak juga haram, tetapi ianya tidak
bermakna perkara syubhah itu boleh dilakukan sesuka hati.
Pengertian daripada hadis di atas juga jelas menyatakan, syubhah
bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan ataupun dibuat main-main.
Ini adalah kerana Rasulullah SAW menegaskan sesiapa yang menjauhkan
perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan akidahnya serta
memelihara kehormatannya. Akan tetapi jika sesiapa mengamalkan amalan
syubhah, bermakna ia mengamalkan perkara yang haram dengan membelakang
arahan dan perintah Allah SWT malah tidak berhati-hati dalam urusan
tersebut. Bukankah itu satu penekanan dan penegasan yang berat?
Di dalam sebuah riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:
“Barangsiapa yang menjauhi syubhah, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhah, ia seolah telah jatuh dalam yang haram” ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)
Ingatan Rasulullah SAW dalam hadis ini membuatkan kita mesti berwaspada
dalam setiap tindakan dan perkara yang bakal dilakukan dalam kehidupan
seharian. Lebih-lebih lagi apabila segala aktiviti kita melibatkan
urusan sesama manusia khususnya golongan yang tidak beriman. Malah
mereka langsung tidak mengetahui apa itu halal dan haram yang telah
ditetapkan oleh Allah SWT.
- Makanan dan minuman daripada luar negara (walaupun daripada negara Islam) yang tidak ada pegesahan tanda halal oleh negara tersebut atau daripada JAKIM. Di khuatiri makanan tersebut dicemari oleh unsur-unsur haram walaupun sedikit.
- Makan dan minum di hotel, restoren, cafeteria atau kopitiam yang tidak ada kelulusan JAKIM, kelulusan halal daripada luar negara boleh dipertikaikan sebab tidak ada siapa yang boleh mengesahkan dan pantau kehalalannya.
- Makanan dan minuman yang dikeluarkan oleh syarikat bukan muslim yang tidak ada kelulusan halal oleh JAKIM atau Jabatan Agama negeri-negeri.
- Menerima hadiah atau hamper oleh kakitangan kerajaan (yang menguruskan tender atau pembekalan barang-barang) daripada syarikat-syarikat pemborong yang ada kepentingan perniagaan. Di khuatiri ada unsur-unsur rasuah.
- Apa sahaja samaada pekerjaan, makanan, minuman, perkhidmatan yang mana di situ ada keraguan dan boleh menimbulkan fitnah atau kesangsian ianya boleh dikategorikan sebagai perkara syubahah.
- Melabur di dalam pelaburan internet yang tidak jelas skimnya dan menyerupai skim cepat kaya. Tidak ada perjanjian dan muamalah yang jelas mengikut sistem Islam.
- Membeli, menjual, membuat dan menghisab rokok. Sesetengah ulama mengatakan ia haram (dengan huraian yang terkini) manakala yang lain mengatakan makruh. Jabatan Fatwa Perak sebulat suara mengatakan rokok itu haram di sokong oleh Jabatan Agama Islam di Selangor. Walaupun majlis fatwa negeri-negeri tidak 100% mengatakan ia haram, bukankah perbuatan ini syubhat dan menurut hadis di atas dan boleh terjerumus ke dalam perkara yang haram. Ini kerana Rasulullah SAW telah bersabda bahawa mengamalkan perkara syubhat itu merosakkan kehomatan diri sendiri. Marilah kita cuba berhenti beramai-ramai. Memang tidak dapat dinafikan untuk berhenti itu sukar. Tetapi ingat Allah ada berfirman di dalam al-Quran surah al-Talaaq ayat 3 yang bermaksud: “Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya).”
- Membeli lembu, kambing atau ayam daripada tuan binatang ternak yang tidak menjaga binatang belaan mereka. Binatang tersebut dilepaskan dengan bebas. Kita khuatir binatang tersebut telah memakan tanaman orang lain dan tuannya membiarkannya saja. Oleh itu binatang seperti ini termasuk di dalam perkara syubahat. Belilah binatang-binatang ternak yang jelas makanannya daripada sumber yang halal.
Oleh itu, sesiapa yang menjaga dirinya daripada melakukan perkara
syubhat, bererti dia telah bebas (dari kecaman) untuk akidah dan
kehormatannya. Manakala sesiapa yang terjerumus ke dalam perkara
syubhat, bererti dia telah terdedah untuk terjerumus ke dalam perkara
yang haram, seperti penggembala yang menggembala di sekitar kawasan
larangan, maka kemungkinan besar binatangnya akan memasuki kawasan
tersebut. Sabda Rasulullah SAW:
“Ingatlah! Sesungguhnya setiap penguasa (kerajaan), memiliki daerah terlarang. Ingatlah! Sesungguhnya daerah yang terlarang milik Allah adalah apa saja yang diharamkan-Nya. Ingatlah! Sesungguhnya di dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging, apabila ia baik maka baiklah seluruh tubuhnya dan jikalau ia rosak, maka rosaklah seluruh tubuhnya, tidak lain dan tidak bukan itulah yang dikatakan hati.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Wallahu’alam
No comments:
Post a Comment