Journal 2014 - # 863

Salam Perpaduan Salam Perjuangan!

Perkahwinan Yang Diredhai Bukan Dilaknati (Bahagian 1)

Assalamualaikum! Hi uols! Musim cuti sekolah telah bermula, musim-musim beginilah banyak yang buat kenduri kendara, Alhamdulillah bertemu jodoh juga akhirnya. Sekalung Tahniah buat kalian moga perkahwinan yang dibina diredhai oleh Allah swt. dan berkekalan hingga Jannah.

Memulakan kehidupan baru dengan ikatan suci dan halal adalah dituntut dalam Islam itu sendiri. Oleh itu memulakan sesuatu yang baru itu menjadi impian dan cita-cita setiap pasangan menginginkan pernikahan yang dibina itu dirahmati dan diredhai oleh Allah swt. Pada masa kini, kita melihat banyak yang bermula dengan perkara yang dilaknati oleh Allah swt. tanpa kita sedari, dari segi persiapannya, pakaian pengantinnya, persolekan dan sebagainya yang pada mata kasar kita ia nampak sempurna tapi tidak pada Allah swt.


Perkahwinan Menurut Islam

Perkahwinan atau pernikahan dalam Islam adalah suatu perkara yang sangat dituntut. ‘Nikah’ menurut bahasa ialah bertemu, berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah ‘Ijab dan Qabul’ (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam.

Perkataan zawaj digunakan di dalam Al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah سبحانه وتعالىmenjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan perbuatan zina.


Keinginan untuk berkahwin adalah fitrah manusia, yang bererti sifat pembawaan manusia sebagai makhluk Allah سبحانه وتعالى. Setiap manusia yang sudah dewasa dan sehat fizikal dan rohaninya, pasti memerlukan teman hidup yang berlainan jenis. Teman hidup yang dapat memenuhi keperluan biologi yang boleh dicintai dan mencintai, yang dapat mengasihi dan dikasihi, yang boleh diajak bekerja sama untuk mewujudkan ketenteraman, ketenangan dan kesejahteraan hidup berumah tangga.
i) 10 Dalil Al-Quran Tentang Perkahwinan
Terdapat 10 ayat dalam Al-Quran menyatakan tentang pensyariatan perkahwinan :
  1. Surah An-Nisaa’ 4: ayat 1
  2. Surah An-Nisaa’ 4: ayat 3
  3. Surah An-Nahl 16: ayat 72
  4. Surah An-Nuur 24: ayat 32
  5. Surah Ar-Rum 30: ayat 21
  6. Surah Luqman 31: ayat 10
  7. Surah Yaasin 36: ayat 36
  8. Surah Asy-Syu’araa 42: ayat 7
  9. Surah Qaf 50: ayat 7
  10. Surah Adz-Dzariyaat 51: ayat 49.
ii) 5 Jenis Hukum Nikah
Sebahagian para ulama membahagikan hukum nikah kepada 5 hukum berikut:-
  1. Harus bagi orang yang tidak ada padanya galakan dan bantahan untuk berkahwin dan ini merupakan hukum asal perkahwinan.
  2. Wajib bagi orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjerumuskannya ke dalam kemaksiatan (perzinaan dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang berkemampuan untukberkahwin.
  3. Sunat bagi orang yang mampu tetapi dapat mengawal nafsunyadari godaan.
  4. Makruh bagi orang yang tidak berkemampuan dari segi nafkah batin dan zahir tetapi sekadar tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya atau tiada nafsu yang kuat atau orang yang mempunyai keinginan atau hasrat bernikah tetapi ia belum mempunyai bekalan untuk memberi nafkah dan menanggung isterinya.
  5. Haram bagi orang yang tidak berkempuan untuk memberi nafkah zahir dan batin serta ia sendiri tidak berkuasa (lemah) dan tiada keinginan berkahwin. Atau dia mempunyai niat yang buruk, seperti berniat menyakiti dan menganiaya perempuan yang bakal dikahwininya.
ii) Hukum-Hakam Perkahwinan Dalam Islam
Perkahwinan adalah suatu yang disarankan kepada orang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh memungkinkannya terjerumus ke lembah maksiat (rogol, zina, liwat dan sebagainya) sedangkan dia seorang yang telah berkemampuan iaitu dia berkemampuan membayar mahar (mas perkahwinan) dan mampu memberi nafkah kepada bakal isterinya.

Dalam permasalahan pemilihan di antara 2 ibadah wajib, boleh didahulukan perkahwinan daripada menunaikan ibadah haji kerana khuwatir akan berlaku penzinaan, tetapi jika dapat dikawal nafsu, maka ibadat haji yang wajib perlu didahulukan kerana beliau seorang yang berkemampuan dalam segala aspek.
iii) Tujuan Nikah
Secara umum tujuan perkahwinan dalam Islam adalah seperti berikut :
  1. Melaksanakan perintah Allah سبحانه وتعالى.
  2. Mengikuti sunah Rasulullah ﷺ .
  3. Membina rasa cinta dan kasih sayang.
  4. Bagi memperoleh keturunan yang sah.
  5. Bagi memperolehi kebahagiaan dan ketenangan hidup yang sakinah.
  6. Bagi memenuhi keperluan seksual yang sah dan diredhai Allah سبحانه وتعالى.
iv) Hikmah Pernikahan
  1. Menjaga keturunan
  2. Memelihara kesucian diri
  3. Melaksanakan tuntutan syariat
  4. Dapat mengeratkan silaturahim
  5. Mewujudkan kerjasama dan tanggungjawab
  6. Suatu cara yang halal untuk menyalurkan nafsu seks
  7. Perzinaan, pelacuran, liwat dan maksiat dapat dielakkan.
  8. Untuk memperoleh ketenangan hidup, kasih sayang dan ketenteraman.
Ajaran dan pendidikan Islam begitu teliti dalam menyediakan persekitaran yang sihat dalam membina keluarga dan membesarkan anak-anak. Kanak-kanak yang dibesarkan tanpa perhubungan ibu bapa akan memudahkan si anak terjerumus dalam kegiatan2 negetif dan perkara2 yang tidak bermoral. Oleh itu, perkahwinan dan institusi kekeluargaan yang disyorkan Islam, dilihat medium yang sesuai sebagai petunjuk dan pedoman mewujudkan keluarga sakinah, mawadah dan warahmah.

No comments: