Journal 2014 - # 817

Salam perpaduan salam perjuangan!

GST Haram?

Assalamualaikum! Hi uols! Kerajaan mengumumkan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) bermula April 2015 nanti. Lalu pelbagai reaksi pro dan kontra timbul daripada aneka perspekstif; politik, sosial, ekonomi bahkan syariat. Hinggakan ada yang mendakwanya haram secara mutlak! Tulisan ini akan membawa ringkasan perbincangan ulama berkenaan hukum kerajaan mengenakan cukai.
Pendapat Pertama: Haram secara mutlak.
Mereka berhujah berdasarkan dalil:
  • Surah al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara batil. Justeru, pungutan cukai dikira pendapatan yang batil kerana dikutip tanpa rela dan tanpa keperluan mendesak.
  • Hadis "Tidak halal harta seseorang Muslim tanpa disertai rela dan izin daripada pemiliknya." (Riwayat Ahmad) Jadi, mengambil cukai daripada rakyat sedangkan rakyat tidak rela kerana kewangan kerajaan yang mewah, adalah tidak halal.
  • Hadis "Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Baginda bersabda, 'Demi jiwaku pada tangan Allah, sesungguhnya wanit itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat, juga akan diampuni.' (Riwayat Muslim)
  • Hadis "Sesungguhnya penguasa yang mengenakan 'maks' (sejenis kutipan) di dalam neraka." (Riwayat Ahmad)
Pendapat Kedua: Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu pada saat keperluan sahaja.
Antara hujah mereka:
  • Sabda Nabi: "Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat." (Riwayat al-Tirmizi)
  • Berlandaskan prinsip siyasah syari'iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Imam al-Qurtubi dalam Tafsirnya berkata: "sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum Muslimin dalam sesebuah negara, iaitu selepas digunakan wang zakat daripada baitulmal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (daripada cukai rakyat)."
Hal ini juga ditegaskan oleh Imam al-Syatibi dalam kitab al-I'tissam: "Apabila sudah kosong milikan negara daripada harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan lalu meninggalkan tugasan tentera, sekaligus dibimbangkan serangan musuh ke atas negara umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera." (Al-Mustasfa)

Pendapat ketiga: Harus sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.
Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Mahmud Syaltut (Al-Fatawa al-Kubra). Begitu juga Syeikh Abu A'la al-Mawdudi yang menyatakan harus dikenakan cukai jika kutipan cukai itu adalah bagi kemaslhatan awam. (Nazariyat al-Islam).

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam. Menurut beliau  المك س (al-maks) dalam hadis ancaman neraka itu merujuk kepada jenis cukai yang dikenakan pemerintah untuk kegunaan peribadi walaupun menyempitkan rakyat mereka." (Fiqh al-Zakat)

Pendapat Tepat?
Kaedah fiqah ada menyatakan "menolak keburukan lebih didahulukan daripada membawa kebaikan." Maka jika benar tanpa GST ekonomi dan kelangsungan negera menjadi terancam, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke masa.

Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan bahawa cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal dan kenaikan harga dalam kebanyakan barangan. Akhirnya menjejaskan majoriti rakyat.

Cukai seperti ini mungkin sangat relevan bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkan cukai seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baharu sedangkan kantung kewangan negara boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu hukumnya lebih cenderung kepada haram, kecuali jika pelaksanaannya bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Berbalik kepada isu asas iaitu hukum kerajaan mengenakan cukai. Perlu diketahui bahawa Malaysia telah melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan sejak sekian lama. Maka untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan negara. Dibimbangkan tindakan ini membawa lebih mudarat berbandng manfaat.

Jika hendak berpegang kepada pendapat pencukaian adalah haram secara mutlak, maka sejak dahulu lagi kempen memansuhkannya patut berjalan, bukanlah baru-baru ini sahaja.

Berbalik kepada GST, jika mampu dibuktikan bahawa GST sebagai penyusunan semual metode pencukaian yang lebih efisien, telus dan kurang membebankan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, maka saya rasakan GST boleh disokong.

Kita berpegang dengan kaedah fiqah "mengambil yang kurang mudarat antara dua kemudaratan".

Cadangan Pelaksanaan
Bagaimanapun keharusan pencukaian baharu ini sepatutnya beriringan dengan beberapa tindakan sebagai bukti komitmen antaranya:
  • Kadar 6% patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3% lebih sesuai sebagai permulaan.
  • Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tidakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbiran awam dan ahli politik yang berkuasa.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan lebih berkesan agar tidak peniaga yang mampu lari daripada GST atau tidak pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
  • Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
  • Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang belum digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka 'terpaksa' menghabiskannya kepada perkara yang sia-sia dan merugikan raksyat serta pecah amanah.
Pada waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan negara dan rakyatnya. Hal itu tdak lain membawa kepada dosa dan pengabaian amanah.
Oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Muamalat)

No comments: