Journal 2014 - # 818

Salam perpaduan salam perjuangan!

7 Peringatan Elak Perpecahan

Assalamualaikum! Hi uols! Berikut adalah 7 Peringatan Elak daripada Perpecahan:-
  1. Ikut jalan Allah
    Firman Allah s.w.t: "Janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain nanti kamu akan berpecah-belah dari jalan-Nya (Allah), itulah kamu diingatkan mudah-mudahan kamu bertakwa." (Al-An'am: 153)

    Nyata ada dua jalan sahaja bagi manusia; jalan Allah dan jalan syaitan. Bila manusia
    meninggalkan jalan Allah maka sudah pasti akan menjejaki jalan syaitan yang memecahbelahkan mereka.

  2. Ingat yang benar dan hak
    Firman Allah s.w.t: "Tetapi mereka melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka, sebab itu Kami timbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan mereka sehingga hari kiamat." (Al-Maaidah: 14)

    Meninggalkan kebenaran yang disepakati dan tidak bersetuju dengan satu jalan yang hak adalah tidak bersetuju dengan satu jalan yang hak adalah penyelewengan. Begitu juga lupa kepada sebahagian kebenaran akan mendedahkan kepada perpecahan.

  3. Hindari hasad dengki
    Firman Allah s.w.t: "Dan tidaklah mereka itu berpecah-belah sesudah datang kepada mereka pengetahuan melainkan kedengkian sesama mereka." (As-Syuura, 42: 14)

    Sabda Rasulullah s.a.w: "Perlahan-lahan masuk di kalangan kamu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu hasad dan dengki yang mencukur. Aku maksudkan bukan (pisau) mencukur rambut, tapi pisau yang mencukur din." (HR Ahmad dan Tarmizi)

    Hasad dengki adalah sebahagian daripada sifat kekufuran dan perpecahan. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya keimanan dan hasad dengki tidak akan lamanya."

    Orang Islam diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu badan. Tidak terjadi antara tubuh badan itu dengki mendengki antara satu anggota dengan anggota lain, bahkan setiap anggota saling menyempurnakan. Setiap anggota tidak pula bercita-cita untuk mengatasi antara satu dengan lain.

  4. Jadi orang berakal
    Firman Allah s.w.t: "Engkau menyangka mereka bersatu, sedangkan hati mereka berpecah-belah, itu kerana mereka adalah kaum yang tidak berakal." (Al-Hasyr: 14)

    Perpecahan berlaku kerana manusia tidak mahu menjadi orang yang berakal. Berakal yang dimaksudkan ialah kembali kepada Kitabullah sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab, mudah-mudahaan kamu berfikir." (Yusuf: 2)

    Kembali kepada al-Quran bermakna menerima, membaca, memahami, tilawah (membaca dengan teliti dan melaksanakan al-Quran dalam kehidupan.

  5. Cintai akhirat
    Firman Allah s.w.t: "Sehingga bila kamu menjadi lemah, berselisih dalam urusan dan melanggar perintah, setelah diperlihatkan Tuhan kepada kamu apa yang kamu suka, di antara kamu ada yang suka kepada dunia dan ada yang mencintai akhirat." (Ali Imran: 152)

    Berdasarkan ayat di atas, perpecahan boleh berlaku apabila orang beriman tidak zuhud kepada dunia.

    Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak dibuka dunia ke atas seseorang itu melainkan dicampakkan oleh Allah di antara mereka permusuhan dan kebencian sehingga hari akhirat." (Riwayat Imam Ahmad dan Bazzar)

  6. Rebutlah rahmat daripada Allah s.w.t
    Firman Allah s.w.t: "Jikalau Rabmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Rabmu. (Hud: 118-119)

    Oleh itu perselisihan berlaku kerana tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Mereka yang layak mendapat rahmat Allah ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri sebagaimana firman Allah s.w.t: "Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan mereka
    • Saling pimpin memimpin antara satu dengan lain.
    • Mereka menyuruh mengerjakan makruf,
    • Melarang yang mungkar,
    • Mereka tetap mengerjakan sembahyang dan
    • Mengeluarkan zakat,
    • Mereka patuh kepada Allah dan Rasul-Nya.
    Itulah orang-orang diberi rahmat oleh Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah: 71)

  7. Istiqamah dalam amal makruf nahi mungkar
    Tarmizi dan Abu Daud meriwayatkan daripada Abu tha'labah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Kamu menuruh mereka itu dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran hingga kamu melihat mereka menurut kebakhilan, hawa nafsu ditaati, dunia mempengaruhi dan merasa kagum dengan pandangan sendiri, ketika itu kamu dengan diri kamu, dan tinggalkanlah mereka. Sesungguhnya di belakang kamu hari-hari kesabaran, bagi mereka itu seperti orang yang memegang bara api, pada mereka ganjaran pahala lima puluh orang yang beramal seperti kamu." Lalu bertanya salah seorang daripada mereka: "Lima puluh orang daripada mereka atau kami wahai Rasulullah?" Sabda Baginda: "Bahkan lima puluh ganharan pahala daripada kamu." 
     

No comments: