Journal 2014 - # 812

Salam perpaduan salam perjuangan!

Besarkan Puasa daripada Hari Raya

Assalamualaikum! Hi uols! Apabila menyebut Ramadan, anak-anak memikirkan baju baharu, kasut baharu dan bakal 'mengumpul' seberapa banyak duit raya. Jika begini situasinya, memang jauhlah generasi kita daripada mencontohi cara Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyambut Ramadan.

Yang kita mahu, di minda anak-anak terbayang kemeriahan berpuasa pada bulan Ramadan. Kita
mahu mereka teruja dan berlumba-lumba untuk merebut pahala berganda. Kita juga ingin melihat anak-anak kepingin bertemu malam lailatulqadar di malam terakhir Ramdan.

Ke Arah Generasi Cinta Ramadan
Apakah anak-anak kita sudah dididik ke arah itu? Marilah kita membimbing anak-anak menjadi generasi cinta akan ibadah Ramadan sebagai jalan menuju Allah.
  • Set minda
    Setkan minda anak-anak, puasa bukan satu deraan tetapi hadiah daripada Allah. Katakan, 'Apakah kamu ingin melihat wajah Allah?'

    Rasulullah bersabda: "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan; pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim)
  • Fahami tujuan berpuasa.
    Jelaskan kepada anak-anak puasa latihan untuk berlapar kerana Allah. Latihan untuk merasai bagaimana jika perut berlapar lebih sepanjang siang. Dengan berlapar ini anak-anak boleh belajar sesuatu.

    Katakan kepada mereka, inilah rasa yang dialami oleh fakir miskin. Di dunia ini ramai orang miskin dan hidup susah. Bukannya mereka malas berusaha. Ada yang kuat bekerja tetapi masih miskin. Rasulullah juga pernah mengalami ketiadaan apa-apa untuk dimakan, akhirnya Baginda berkata kepada Sayidatina Aisyah: "Jika begitu Aisyah, berpuasalah kita."

  • Gunakan logik akal.
    Berikan penerangan atau analogi yang mudah difahami anak-anak. Contohnya,
    Ibu: Anakku, kalau pengisar ini kita kisar makanan lama-lama, apa akan jadi?
    Anak: Tentulah rosak.
    Ibu: Begitulah perut kita, kita berpuasa Ramadan supaya perut yang telah setahun bekerja direhatkan. Tetapi bukan terus berlapar. Malamnya kita akan makan semula.
  • Kira detik Ramadan.
    Latihlah anak-anak supaya dapat melafazkan niat puasa sebelum memasuki bulan Ramadan. Kemudian tuliskan di papan putih, jumlah hari hampirnya bulan Ramadan supaya debarannya terasa seolah-olah hari peperiksaan besar bakal menjelma. Kelak anak-anak akan lebih peka dan lebih terarah untuk mengerjakan puasa dengan sebaiknya.

  • Bersihkan alat ibadah.
    Sebagai persedihan, tunjukkan kepada anak-anak bahawa kita amat mementingkan kebersihan
    alat-alat ibadah. Cuci peralatan ibdah seperti tikar sejadah, jubah, telekung, pelikat dan sebagainya. Begitu juga utamakan kebersihan dalam rumah, ada sudut untuk solat berjemaah. Carilah peluang untuk berjemaah supaya Allah memperkukuhkan ikatan kekeluargaan.

  • Kali Pertama Anakku Berpuasa.
    Anak-anak berumur empat atau lima tahun boleh mula belajar berpuasa. Dorong mereka berpuasa bukan memaksa. Oleh itu, tanamkan nilai akidah dalam diri mereka. "Anakku, kita mengerjakan puasa ini kerana Allah. Mahukan kamu melihat wajah Allah? Nabi Muhammad berkata sesiapa yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan melihat wajah Allah."

  • Lewatkan bersahur.
    Berilah penerangan awal mengapa perlu bersahur. Paling baik, bangunkan mereka pada hujung sahur. Hidangkan makanan yang disukai, ini akan memotivasikan anak-anak untuk bangun sahur.

    Jangan biarkan anak tidur semula selepas sahur. Bangun sahur ini juga melatih anak-anak untuk bersedia awal untuk solat subuh. Ajak anak-anak yang lelai khususnya, solat Subuh berjemaah di masjid.

  • Latihan bertahap.
    Kita perlu melatih anak-anak kecil berpuasa secara bertahap. Tahap pertama, menahan makan dari waktu selepas bersahur hingga waktu tenghari. Jika anak-anak mengadu lapar; benarkan mereka berbuka puasa. Keesokan hari, beri latihan yang sama. Jika mampu bertahan, lanjutkan berpuasa sehingga ke petang.

    Jika mampu bertahan lagi, lanjutkan sehinggawaktu berbuka puasa. Imam Auza'imengatakan: "Jika dia mampu menunaikan puasa pada tiga hari pertama secara berturut-turut dan tidak berasa lemah, maka perintahlah untuk berpuasa selanjutnya."

  • Alihkan perhatian.
    Alihkan perhatian anak-anak daripada memikirkan soal makan. Lekakan mereka dengan bermain permainan yang berfaedah, membaca atau menontn cerita yang memberi didikan moral atau aktiviti yang digemari atau melayn hobi. Sedikit sebanyak praktis ini akan berlangsung selama sebulan, maka mereka akan terbiasa tanpa makan di waktu siang.

  • Jauhi perkara membatalkan.
    Sentiasa ingatkan anak-anak bahawa mereka perlu menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa. Inilah ujian dalam berpuasa dan ramai yang kalah kerana mengikuti hawa nafsunya. Misalnya mudah marah, mengumpat, mencari gaduh, merungut, mencuri dan sebagainya.

    Apabila selalu diingat-ingatkan, kelak mereka sendiri akan memberi ingatan antara adik-beradik atau kawna-kawan. Jika ada yang mencuri makan atau minum, ada yang akan memberi nasihat.

  • Hadiah dan ganjaran.
    Kita boleh memberikan ganjaran kepada anak-anak yang berjaya berpuasa. Misalnya jika dapat berpuasa penuh, mereka akan dibawa melancong ke tempat peranginan yang menarik. Namun hadiah ini tidak besar berbading dengan hadiah dapat melihat wajah Allah. Tidak perlu memberi hadiah bagi anak-anak yang sudah baligh, kerana mereka tidak boleh meninggalkan puasa kecuali uzur syarii atau sakit

  • Uzur jangan pamerkan.
    Bagi para ibu dan anak perempuan yang uzur, tidak mengapa memberitahu anak-anak bahawa mereka tidak berpuasa. Katakan kepada mereka: "Ibu tidak boleh berpuasa dan solat. Tetapi lepas hari Raya, Ibu perlu mengganti sebanyak hari puasa yang ditinggalkan. Tidak seronok jika kita berpuasa pada waktu orang lain tidak berpuasa. Mahukah kami begitu?" Elakkan daripada makan di hadapan anak-anak yang berpuasa.

No comments: