Journal 2014 - # 810

Salam perpaduan salam perjuangan!

Adab Menikmati Rezeki

Assalamualaikum! Hi uols! Salah satu bentuk rezeki yang dikurniai Allah s.w.t adalah makanan dan minuman. Apabila menghadap rezeki ini, eloklah kita mengamalkan adab-adabnya seperti diamalkan Rasulullah s.a.w. Adab ini meliputi tiga perkara, iaitu sebelum makan, ketika makan dan sesudahnya.
Sebelum makan
  1. Makanan yang halal
    Hendaklah berusaha mendapatkan makanan yang halal dan baik serta tidak mengundang unsur-unsur yang haram dan diragui, ini berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu..." (Al-Baqarah: 172)

  2. Betulkan niat
    Niatkan tujuan makan dan minum untuk menguatkan badan, agar dapat melakukan ibadah dan hal-hal lain yang berguna

  3. Mencuci tangan
    Mencuci kedua-dua tangan sebelum makan, ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w hendak tidur sedangkan Baginda dalam keadaan junub, maka Baginda berwuduk terlebih dahulu, dan apabila hendak makan, Baginda mencuci kedua-dua tangannya terlebih dahulu." (HR Ahmad)

  4. Duduk dengan tertib
    Hendaklah duduk dengan tawaduk, iaitu duduk di atas kedua-dua lututnya atau duduk di aras
    punggung kedua-dua kaki atau berposisi dengan kaki kanan ditegakkan dan duduk di atas kaki kiri. Sebagaimana sabda Baginda. "Aku tidak pernah makan sambil bersandar, aku hanyalah seorang hamba, aku makan sebagaimana layaknya seorang hamba makan dan aku pun duduk sebagaimana layaknya seorang hamba duduk." (HR Bukhari)

  5. Bersyukur dengan apa yang dihidangkan
    Berasa syukur dan redha dengan apa saja makanan yang telah dihidangkan dan tidak mencela makanan.

  6. Makan berteman
    Makan bersama-sama dengan orang lain, baik tetamu, keluarga, kerabat, anak-anak atau pembantu, sebagaimana hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Berkumpullah kalian dalam menyentap makanan kalian (bersama-sama), kerana di dalam makan bersama itu akan memberikan berkah kepada kalian." (HR Abu Daud)
Ketika Makan
  1. Mulakan dengan ucapan 'bismillah'
    Ini berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w daripada Aisyah r.a yang bermaksud: "Apabila salah
    seorang di antara kalian hendak makan, maka ucapkanlah 'bismillah' dan jika ia lupa untuk mengucapkan 'bismillah' di awal makan, maka hendaknya ia mengucapkan 'bismillah awwaluhu wa akhirahu'." (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

  2. Gunakan tangan kanan
    Daripada Jabir r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Jangan engkau makan dengan (tangan) kirimu, sesungguhnya syaitan itu makan dan minum dengan (tangan) kirinya." (HR Muslim)

    Jika makan dengan tangan, gunakan tiga jari tangan kanan, menyedikitkan suapan, dan memperbanyak kunyahan. Daripada Ka'ab bin Malik r.a: "Aku melihat Rasulullah s.a.w makan menggunakan tiga jari... (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah)." (HR Muslim)

  3. Makan yang berhampiran
    Daripada Umar bin Abi Salamah r.a berkata, aku merupakan hamba di rumah Rasulullah s.a.w dan pernah tanganku menjalar-jalar ke serta hidangan (ketika hendak makan). Maka Rasulullah s.a.w berkata: "Wahai budak, ucapkan 'bismillah', makanlah dengan tangan kananmu dan makanlah apa yang hampir denganmu." (HR Bukhari dan Muslim)

  4. Mula makan dari tepi (pinggir)
    Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda, "Keberkatan terdapat di tengah-tengah makanan, maka mulakan makan dari tepi dan jangan mulakan makan dari tengah." (HR Abu Daud dan at-Tirmidzi)

  5. Larangan mencela makanan
    Daripada Abu Hurairah r.a berkata: "Tidak sekali-kali Rasulullah s.a.w mencela makanan. Jika
    Baginda menyukainya, maka Baginda makan. Jika Baginda tidak menggemarinya, maka Baginda tidak makan." (HR Bukhari dan Muslim)

  6. Tidak meniup makanan dan minuman
    Tidak meniup pada makanan yang masih panas dan tidak memakannya hingga menjadi lebih dingin. Apabila hendak bernafas ketika minum, maa dianjurkan bernafas di luar gelas sebanyak tiga kali. Riwayat Anas bin Malik r.a: "Ketika Rasulullah s.a.w minum Baginda mengambil nafas di luar wadah air minum sebanyak tiga kali." Dan Baginda bersabda, "Hal itu lebih segar, lebih selesa dan lebih nikmat..." (HR Bukhari dan Muslim) - Rasulullah s.a.w juga bersabda, dariada Abu Said al-Khudri r.a, yang bermaksud, "Rasulullah s.a.w melarang untuk meniup (dalam gelas) ketika minum." (HR at-Tirmidzi)

  7. Tidak bersandar ketika makan
    Daripada Abi Juhaifah Wahb bin Abdullah r.a berkata, Rasulullah s.a.w bersabda: "Aku tidak makan sambil bersandar." (HR Bukhari)
Sesudah makan
  1. Memuji dan berdoa Kepada Allah
    Hendaklah memuji Allah s.w.t setelah makan dan minum, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w
    yang bermaksud: "Barang siapa sesudah selesai makan berdoa: 'Alhamdulillaahillazi ath'amani haadzaa wa razaqaniii min ghoiri haulin minni walaa quwwatin', nescaya akan diampuni dosanya yang telah lalu." (HR Abu Daud)

  2. Berkumur atau bersugi
    Membersihkan sisa-sisa makanan yang ada di celah-celah gigi dan berkumur untuk membersihkan mulut.
MAKAN SEKADAR MEMBERI TENAGA
HINDARILAH daripada terlalu kenyang. Berhenti makan dan minum sebelum kenyang. Hal ini semata-mata meneladani Rasulullah s.a.w yang menghindari diri daripada kekenyangan yang menyebabkan sakit perut, dan menghilangkan kecerdasan.
 
Daripada Miqdam bin Ma'di Karib, beliau mengeaskan bahawasahnya beliau mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Tidak ada bejana yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya, cukuplah baginya memakan beberapa suapan sekadar dapat menegakkan tulang punggungnya (memberikan tenaga). Maka jika tidak mahu (jika tidak ada pilihan lain), maka ia dapat memenuhi perutnya, sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minum, sepertiga lagi untuk nafasnya." (HR Ahmad dan Ibnu Majah)

No comments: