Journal 2014 - # 826

Salam perpaduan salam perjuangan!

10 Malam Terakhir Ramadan

Assalamualaikum! Hi uols! Masa berlalu begitu pantas. Sedar ataupun tidak, hari ini genaplah 19 hari kita menjalani ibadah puasa. Dalam tempoh tersebut, sudahkah kita berjuang habis-habisan untuk mencapai tahap takwa dalam erti kata yang sebenar atau sebaliknya? Jika tempoh tersebut belum mampu memperlengkapkan diri kita dengan takwa, masih belum terlambat untuk kita berusaha ke arah itu. Justeru, saki baki hari-hari terakhir Ramadhan perlu kita rebut dan gunakan dengan sebaik-baiknya agar kita tidak ketinggalan mendapat manfaat yang berganda dalam meniti pemergiannya.        

Jika sepuluh hari terakhir Ramadhan merupakan saat di mana Rasulullah SAW memperbanyakkan amalan  dengan berjaga malam, beriktikaf, dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya melaksanakan ibadah-ibadah sunat, bagaimanakah pula dengan kita? Sewajarnya contoh yang ditunjukkan oleh Baginda dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadhan dijadikan teladan kepada seluruh umat Islam pada hari ini.

Sesungguhnya pedoman yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW jelas mencerminkan kepada kita betapa tinggi dan bernilainya detik-detik terakhir Ramadhan yang sedang kita lalui saat ini. Alangkah malangnya jika kita semakin alpa dan lalai dalam melaksanakan ibadah kita pada saat-saat Ramadhan yang kian melabuhkan tirainya. 

Sedangkan kita seharusnya menghidupkannya dengan meningkatkan lagi amalan-amalan sunat bagi meraih pahala berlipat ganda yang telah dijanjikan oleh Allah SWT. Lebih manis lagi apabila Allah SWT turut menjanjikan kehadiran malam Lailatulqadar (yakni malam yang lebih baik daripada seribu bulan) pada sepuluh malam terakhir Ramadhan. 

Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Qadr (ayat 1-5) yang bermaksud: "Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam Lailatulqadar, dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatulqadar? Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan.Pada malam itu, turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!"

Dalam ayat di atas, Allah SWT menerangkan bahawa Dia telah menurunkan al-Quran al-Karim pada malam al-Qadar. Ini adalah bukti yang jelas tentang keutamaan, kemuliaan, keberkatan dan keistimewaan malam Lailatulqadar. Malah, jika dihitung; seribu bulan adalah bersamaan dengan 83 tahun dan empat bulan, ini bermakna bahawa satu malam ini sahaja adalah lebih baik daripada seluruh umur seseorang. Ia secara jelas menunjukkam bahawa keistimewaan malam tersebut tiada tolok bandingannya.

Malam Lailatulqadar merupakan malam yang sengaja dirahsiakan oleh Allah SWT sebagai satu ujian kepada umat Islam dalam mencari rahmat dan kasih sayang-Nya. Oleh yang demikian, bagi mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT, maka mereka akan lebih ghairah dan teruja mencari keredhaan dengan memperbanyakkan amalan dalam meraih ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah SWT di penghujung Ramadhan.

Justeru, umat Islam dianjurkan agar mencari dan merebut Lailatulqadar. Hal ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Carilah malam Lailatulqadar pada 10 malam terakhir" (hadis riwayat al-Bukhari). Dalam salah satu riwayat yang lain, dinyatakan juga bahawa Rasulullah SAW melakukan solat pada malam Ramadan dan membaca al-Quran dengan tertib. Baginda tidak akan melalui ayat rahmat kecuali berharap agar Allah memberikan rahmat itu dan tidak melalui ayat azab kecuali memohon perlindungan daripada Allah daripada azab itu. 

Solat berjemaah juga sangat diutamakan pada malam-malam terakhir Ramadan. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh secara berjemaah pada waktu malam,maka  dia juga telah menghidupkan seluruh malam itu" (hadis riwayat Abu Dawud). Di sini bermaksud, sesiapa yang mengerjakan solat Isyak dan Subuh sahaja dianggap telah mendapat sebahagian daripada apa yang dimaksudkan dengan Lailatulqadar. 

Apatah lagi jika mengisinya dengan amalan-amalan lain sepanjang malam itu. Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadhan ialah menghidupkan malam-malam tersebut dengan memperbanyakkan solat sunat seperti tahajjud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah SWT. 

Selain itu, amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadhan yakni dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadah kepada Allah SWT. Iktikaf merupakan sunnah yang dianjurkan oleh Baginda SAW demi memperolehi kelebihan dan ganjaran Lailatulqadar. 

Malah, menjelang 10 akhir Ramadan secara rutinnya Rasulullah SAW mengisi waktu-waktunya dengan beriktikaf di masjid. Pelakuan baginda ini adalah berdasarkan hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim yang diriwayatkan daripada Aisyah r.a, bahawa Rasulullah SAW beritikaf pada 10 akhir Ramadan sehingga baginda diwafatkan oleh Allah SWT, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepas kewafatannya oleh para isterinya. 

Dalam sebuah hadis yang lain Abu Hurairah berkata: "Rasulullah SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap sepuluh hari terakhir Ramadan, manakala pada tahun Baginda diwafatkan, Baginda beriktikaf selama 20 hari"(hadis riwayat Ahmad, Abu Dawud, al-Tirmidzi dan dinilai sahih oleh al-Tirmidzi).

Di samping itu, kita juga turut dianjurkan untuk memperbanyakkan doa, khasnya dengan memohon keampunan kepada Allah SWT. Dalam konteks ini, para Ulama telah bersepakat bahawa doa yang paling utama pada malam Lailatulqadar adalah doa memohon keampunan atau maghfirah daripada Allah SWT.

Dalam satu hadis sahih yang diriwayatkan daripada Aisyah dan dikeluarkan oleh al-Tirmidzi, Aisyah diajar oleh Rasulullah SAW membaca doa pada malam Lailatulqadar yang bermaksud: "Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah Tuhan Yang Maha Pengampun, yang suka mengampun, maka ampunilah aku" (hadis riwayat al-Tirmidzi, 5:535). 

Rasulullah SAW turut berdoa yang bermaksud: "Ya Allah, jadikan sebaik-baik umurku adalah penghujungnya. Dan jadikan sebaik-baik amalku adalah penutupnya. Dan jadikan sebaik-baik hari-hariku adalah hari di mana aku bertemu dengan-Mu kelak" (Musannaf Ibn Abi Syaibah 6: 65).

Begitulah teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW kepada seluruh umat Islam dalam menjalani ibadah puasa. Namun persoalannya, sejauh manakah kita mencontohi keperibadian Baginda dalam melaksanakan ibadah puasa dan menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan? 

Mudah-mudahan, dalam menghitung hari-hari terakhir Ramadhan kita dapat bermuhasabah diri dan merenung kembali pengisian yang telah kita laksanakan sepanjang tempoh 19 hari yang telah berlalu. Jika, masih terdapat banyak lagi kelemahan dalam kita melunaskan puasa kita sebelum ini, maka masih belum terlewat untuk kita memperbaiki kelemahan tersebut agar kita mampu mencapai takwa dalam erti kata sebenar.

Journal 2014 - # 825

Salam perpaduan salam perjuangan!

Nuzul Quran Dan Lailatul Qadar

 
Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran
Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan
Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:
  1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
  2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
  3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.
Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.
Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah. Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT.
 
Kesimpulan     
Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan.

Journal 2014 - # 824

Salam perpaduan salam perjuangan!

Aku Islam!?

Assalamualaikum! Hi uols! Merungkai persoalan Islamkah Aku!? Pasti ramai tertanya-tanya kenapakah persoalan sedemikian muncul dari buah fikiran aku. Mari kita review atau semak diri kita apakah kita memahami Islam itu dengan betul atau kita hanya mengambil tahu sekadar begitu saja.

Sering kali kita mendengar ada yang mengatakan Islam hanya pada nama atau Islam hanya pada kad pengenalan. Mungkin ada kebenarannya manusia sering terlupa dan ambil ringan tentang hal ini. Sedangkan kita sedar bahawa ada perkara yang kita terlepas pandang. Banyak perkara yang kita abaikan daripada sekecil-kecil zarah sehinggalah sebesar-besar gunung namun kita masih lagi melakukan kesilapan.

Ramai orang telah berpuas hati dengan mengakui menganut Islam. Persoalan yang kita perlu fikirkan, apakah telah memadai dengan pengakuan sahaja? Jawapannya, apabila kita menganut Deen Islam  tidaklah memadai dengan pengakuan sahaja tanpa memenuhi tuntutan-tuntutannya.

Ramai juga orang yang menganggap bahawa apabila ibubapa mereka Islam maka mereka pun terus menjadi Islam sebenar walau pun tidak melaksanakan hak-haknya. Sesungguhnya, Islam itu bukanlah suatu warisan. Juga, Al-Quran bukanlah suatu warisan daripada Rasulullah SAW semata-mata. Al Quran merupakan kitab Allah SWT yang diturunkan kepada Rasulullah SAW untuk difahami dan dijadikan panduan hidup ummat manusia.
 
Ramai juga orang yang memeluk Islam seperti suatu hobi atau suatu fesyen yang mempamerkan diri secara zahir sahaja melalui pakaian atau beberapa amal ibadah seperti solah.
 
Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam. Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.
 
Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah SWT Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT,:
Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al-Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barangsiapa yang kafir  terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya.“ (Surah ali ‘Imran ayat 19)
Sesungguhnya apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah menganut Islam sepenuhnya, iaitu dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup. Apa sahaja yang dilakukannya samada berfikir, bercakap dan bertindak mestilah mengikut cara Islam. Begitu juga, daripada urusan peribadi hinggalah urusan pemerintahan mestilah mengikut cara Islam. Dengan kata lain, semua tingkahlakunya hendaklah tidak terkeluar daripada Islam. Apabila seseorang memeluk Islam, dia mestilah berpegang teguh dengannya dalam apa keadaan sekali pun. Rasulullah SAW pernah menggambarkan bahawa di akhir zaman seorang muslim mesti berpegang dengan sunnah baginda walau pun hingga terpaksa menggigitnya dengan geraham sampai mati.

Tugas kita saat ini adalah besar dan penting. Kita perlu memenangkan Islam dalam setiap masa dan tindakan. Kita perlu berkeyakinan penuh bahawa Islam mempunyai masa depan yang cemerlang. Masa depan adalah untuk Islam, bukan untuk sistem hidup yang lain. 
 
ISLAM, suatu perkataan yg mudah disebut dan dilafazkan. Alhamdulillah, Allah kurniakan kita merasai nikmat Iman dan Islam itu, tetapi adakah kita benar-benar menghayati dan faham, apakah itu Islam? Islam itu ialah selamat, sejahtera, aman, damai dan tenang. Secara istilahnya pula Islam adalah "Ketaatan dan penyerahan diri kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala apa yang diperintah-Nya dan meninggalkan segala apa yang dilarang-Nya". Islam ialah ad-din dan cara hidup.

Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah :3
"Pada hari ini, aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu. Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan aku telah redhakan ISLAM itu menjadi agama kamu. Maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedangkan ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (makabolehlah ia memakannya) kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani"
Mari sama-sama kita refresh kembali mengenai 5 rukun Islam:
  1. Mengucap dua kalimah syahadah
  2. Menunaikan solat lima waktu sehari semalam
  3. Berpuasa di bulan Ramadhan
  4. Menunaikan zakat
  5. Menunaikan haji di Mekah
Kita sedar bahawa kalimah la ilaha illallah muhammadur rasulullah adalah perkara asas bagi umat isla. Kalimah tauhid yang wajid di ucap bagi umat Islam.
ilaha illallah.. bermaksud tiada Tuhan yang disembah Selain Allah
muhammadur rasulullah.. dan Muhammad itu pesuruh Allah
Sering kali kita terlupa akan kalimah tauhid ini, oleh itu haruslah kita sentiasa mengucap kalimah tauhid ini sepanjang masa sebagai zikirullah di bibir kita.

Takala aku duduk sendirian mengimbas kembali zaman-zaman yang pernah aku lalui terlalu kerdil dan jahilnya aku suatu ketika dahulu. Hanya mengaku Islam namun aku hampir terlupa menjaga solat 5 waktu ku, Ya Allah aku telah meruntuhkan sebuah masjid! Masya Allah takutnya aku ketika itu. Lalu aku mulakan solat 5 waktu perlahan demi perlahan.. Memang sukar terutama sekali untuk bangkit waktu subuh! Namun aku berdoa mohon Allah permudahkan urusan asas itu untuk aku bangkit menegakkan tiang agama itu. Alhamdulillah perlahan-lahan aku berjaya untuk menjaga solatku, Aku sedar zaman sekolah dulu.. Puasa aku buat namun solat aku tinggal.. so Puasa aku terasa sia-sia, Alhamdulillah tahap kesedaran melalui pembelajaran dari hari ke hari, berguru dan mengikuti kelas-kelas agama semua itu di tempuhi dengan mudah walaupun ada teman-teman mula menjauhkan diri daripada aku, ala tak kisahlah asalkan Allah swt tidak pernah jauh atau meninggalkan aku seorang diri.

Sama-sama kita muhasabah, kita yang dilahirkan beragama Islam ini, adakah kita benar-benar menghayati Islam itu sendiri. Solat kita, adakah diterima oleh Allah SWT? cukup lima waktu sehari semalam? moga-moga Allah terima solat kita selama ini, kerana Solatlah yang paling utama dinilai disisiNya.. moga-moga kita semua ditempatkan dikalangan orang yang beriman dan hati ini sentiasa kuat menunaikan tanggungjawab sebagai hambaMU.

Firman Allah SWT lagi dalam Surah al-Baqarah : 208
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan.Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata"
Jelas Allah menunjukkan bahawa Islam tidak boleh diambil atau dilaksanakan separuh-separuh. Pengamalan dan penghayatan Islam mestilah secara menyeluruh merangkumi seluruh aspek kehidupan. Bukan hanya ketika hendak bersolat sahaja kita mengamalkan Islam, tetapi dalam sudut pakaiannya, pergaulannya, permakanannya dan segala2nya. Salah satu sifat khusus Islam juga ialah Syumuliyyah iaitu Islam bersifat lengkap merangkumi semua aspek, dari sekecil-kecil benda hingga sebesar-besar benda. Dari adab makannya, cara beristinjaknya sehinggalah kepada sistem perundangan dan sistem keselamatan.Sesungguhnya Islam itu lengkap. Maka kita semua wajib beramal dengan islam berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. 
 
Kalau dulu pakaian aku cukup mengaibkan diri aku sendiri, bertudung tapi masih nampak telanjang. Maklumlah kononya ikut fesyen! Namun aku silap seharusnya fesyen atau trend kena ikut Islam, perlahan-lahan mana yang ketat aku longgarkan mana yang singkat aku labuh-labuhkan dan aku terus istiqama dalam berpakaian, yang penting aku selesa dan pakaian aku boleh dibawa solat tanpa membawa telekung kemana-mana.

Adab adalah satu perkara yang amat dititk beratkan oleh Islam. Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah cermin seseorang itu Muslim sebenar.
ISLAM tidak menetapkan bentuk atau warna pakaian untuk dipakai, baik ketika beribadah atau di luar ibadat. Islam hanya menetapkan bahawa pakaian itu mestilah bersih, menutup aurat, sopan dan sesuai dengan akhlak seorang Muslim.

Di dalam Islam ada garis panduan tersendiri mengenai adab berpakaian (untuk lelaki dan wanita) iaitu:
Menutup aurat
AURAT lelaki menurut ahli hukum ialah daripada pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula ialah seluruh anggota badannya, kecuali wajah, tapak tangan dan tapak kakinya. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Paha itu adalah aurat.” (Bukhari) 
Tidak menampakkan tubuh
PAKAIAN yang jarang sehingga menampakkan aurat tidak memenuhi syarat menutup aurat. Pakaian jarang bukan saja menampak warna kulit, malah boleh merangsang nafsu orang yang melihatnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. 
Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.” (Muslim) 
Pakaian tidak ketat
TUJUANNYA adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan
Tidak menimbulkan riak
RASULULLAH SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.” (Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’iy dan Ibnu Majah) 
Lelaki, wanita berbeza
MAKSUDNYA pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (Bukhari dan Muslim)
Baginda juga bersabda bermaksud: “Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.” ・(Abu Daud dan Al-Hakim). 
Larangan pakai sutera
ISLAM mengharamkan kaum lelaki memakai sutera. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Janganlah kamu memakai sutera, sesungguhnya orang yang memakainya di dunia tidak dapat memakainya di akhirat.” (Muttafaq ‘alaih) 
Melabuhkan pakaian
CONTOHNYA seperti tudung yang seharusnya dipakai sesuai kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada. Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” ・(al-Ahzab:59) 
Memilih warna sesuai
CONTOHNYA warna-warna lembut termasuk putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud: “Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih).” (an-Nasa’ie dan al-Hakim) 
Larangan memakai emas
TERMASUK dalam etika berpakaian di dalam Islam ialah barang-barang perhiasan emas seperti rantai, cincin dan sebagainya.
Bentuk perhiasan seperti ini umumnya dikaitkan dengan wanita namun pada hari ini ramai antara para lelaki cenderung untuk berhias seperti wanita sehingga ada yang sanggup bersubang dan berantai.
Semua ini amat bertentangan dengan hukum Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda bermaksud: “Haram kaum lelaki memakai sutera dan emas, dan dihalalkan (memakainya) kepada wanita.” 
Mulakan sebelah kanan
APABILA memakai baju, seluar atau seumpamanya, mulakan sebelah kanan. Imam Muslim meriwayatkan daripada Saidatina Aisyah bermaksud: “Rasulullah suka sebelah kanan dalam segala keadaan, seperti memakai kasut, berjalan kaki dan bersuci.”Apabila memakai kasut atau seumpamanya, mulakan dengan sebelah kanan dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Apabila seseorang memakai kasut, mulakan dengan sebelah kanan, dan apabila menanggalkannya, mulakan dengan sebelah kiri supaya yang kanan menjadi yang pertama memakai kasut dan yang terakhir menanggalkannya. ” (Riwayat Muslim). 
Selepas beli pakaian
APABILA memakai pakaian baru dibeli, ucapkanlah seperti yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan At-Tarmizi yang bermaksud:
“Ya Allah, segala puji bagi-Mu, Engkau yang memakainya kepadaku, aku memohon kebaikannya dan kebaikan apa-apa yang dibuat baginya, aku mohon perlindungan kepada-Mu daripada kejahatannya dan kejahatan apa-apa yang diperbuat untuknya. Demikian itu telah datang daripada Rasulullah”. 
Berdoa
KETIKA menanggalkan pakaian, lafaz- kanlah: “Pujian kepada Allah yang mengurniakan pakaian ini untuk menutupi auratku dan dapat mengindahkan diri dalam kehidupanku, dengan nama Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia.
“Sebagai seorang Islam, sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai menurut tuntutan agamanya kerana sesungguhnya pakaian yang sopan dan menutup aurat adalah cermin seorang Muslim yang sebenar. 
Kini karya-karya atau artikel dalam weblog aku mula aku warnai dengan ilmu dunia dan akhirat.. lebih baik berkongsi ilmu yang boleh mengajak orang lain berubah ke arah kebaikan daripada berkongsi cerita yang entah belum pasti orang suka untuk membaca.

Marilah sama-sama kita renung kembali ke dalam diri kita, adakah benar-benar kita menghayati ISLAM ini, ataukah hanya sekadar title di kad pengenalan ataukah hanya sekadar Islam kerana dilahirkan dalam keluarga Islam, sama-sama kita tingkatkan keimanan kepadaNya.. Ya Allah ampunkan dosa-dosa kami semua, tetapkan hati kami agar sentiasa taat dan patuh kepada perintahMu.

Islamkah Aku!?

Islamkah aku??
jika ilmu terselit di celahan buku,
jika amal seperti hidup segan mati tak mahu.

Islamkah aku??
jika hanya terpalit di kad biru,
tidak membenak di perilaku,
tidak tercermin dalm setiap madah bibir kaku.

Islamkah aku??
jika kubah menjelma hanya di mata,
jika mimbar tersergam megah hanya di jiwa
telapakku kepadanya hilang dek kerana nafsu,
kerana akal waras diimbang iman dungu,

Islamkah aku??
jika semangat memuncak di pintu maksiat
nafsu bergelodak iman terpalat
memancar kudrat di setiap urat,
melangkah kaki ke pintu maksiat.

Islamkah aku??
jika iman setebal debu,
jika ilmu di buku,
jika amal senipis kuku
jika doa sepanjang bulu.

Islamkah aku??
jika dara menjadi jajaan,
jika teruna menjadi rebutan,
jika agama menjadi cercaan,
hilang di celah kegelapan.

Islamkah aku??
satu bimbingan yang aku perlu,
dari insan yang berilmu,
bantulah aku,
berjalan di titi restu,
melangkah penuh syahdu,
mudik ke Islam alaf yang baru..

Journal 2014 - # 823

Salam perjuangan salam perpaduan!

Allah Menanti

Assalamualaikum! Hi uols! Pada setiap malam Tuhan kita turun ke langit dunia tatkala malam berbaki satu pertiga lagi. Lalu Dia menyeru:
"Siapa yang berdoa kepada-Ku maka akan Aku kabulkan. Sesiapa yang meminta kepada-Ku, akan Aku berikan. Sesiapa yang memoho keampunan kepada-Ku akan aku ampunkan." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Journal 2014 - # 822

Salam perpaduan salam perjuangan!

7 Kelebihan Melangkah Ke Masjid

Assalamualaikum! Hi uols! Ketahuilah oleh kita 7 kelebihan melangkah ke Masjid antaranya ialah:
  1. Mendapat Naungan Arasy Pada Hari Kiamat
    Rasulullah bersabda: "Tujuh orang yang akan berada dalam naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naungan-Nya; penguasa yang adil, pemuda yang membesar dalam ketaatan dan lelaki yang hatinya terpaut kepada masjid." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

  2. Allah Menyambutnya
    Sabda Rasulullah: "Tidaklah sesorang mendatangi masijd untuk melakukan solat, melainkan Allah bergembira menyambutnya semenjak ia keluar dari rumah, seperti gembiranya orang yang sedang menyambut tetamu yang telah lama tidak ditemui." (Riwayat Ibn Majah)

  3. Allah Menjamin Hidupnya
    Rasulullah bersabda: "Tiga orang yang berada dalam jaminan Allah: Jika hidup, ia akan diberikan rezeki dan kecukupan. Jika ia mati, ia akan dimasukkan ke dalam syurga. Pertama, sesiapa yang masuk ke rumah sambil mengucapkan salam, maka ia berada dalam jaminan Allah. Sesiapa yang keluar menuju masjid, maka ia berada dalam jaminan Allah. Sesiapa yang keluar berjihad di jalan Allah, maka ia berada dalam jaminan Allah." (Riwayat Ibn Hibban)

  4. Disediakan Rumah Di Syurga
    Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang keluar pada waktu pagi dan petang ke masjid, maka Allah telah menyediakan baginya sebuah rumah di syurga yang akan ia datangi setiap pagi dan petang." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

  5. Digugurkan Dosa dan Ditinggikan Darjat
    Sabda Rasulullah: "Mahukah aku beritahukan perkara yang dapat menghapuskan dosa dan meninggikan darjat? Menyempurnakan wuduk. Sering melangkah ke masjid dan menunggu solat selepas solat. Semua itu ialah ribat, semua itu ialah ribat, semua itu ialah ribat." (Riwayat Muslim)

  6. Setiap Langkah Diganjari Sepuluh Pahala
    Rasulullah bersabda: "Jika seseirang bersuci di rumahnya, lalu ia melangkah ke masjid untuk menunggu solat. maka dua malaikat menulis baginya bagi setiap langkah 10 kebaikan." (Riwayat Ibn Hibban)

  7. Cahaya Terang Pada Hari Kiamat
    Rasulullah bersabda: "Berikanlah khabar gembira kepada orang yang berjalan ke masjid bahawa ia akan mendapat cahaya yag sangat terang pada hari kiamat nanti." (Riwayat Abu Dawud)

Journal 2014 - # 820

Salam perpaduan salam perjuangan!

Kisah Palestin dalam Surah Al-Isra'

Assalamualaikum! Hi uols! Tika Ramadan yang penuh Barakah ini kita sambut dengan gembira ada saudara seislam kita menyambut dalam keadaan yang tidak aman. Allahu Akhbar! Apa yang aku maksudkan ialah saudara seislam kita di Bumi Palestin yang kini di serang oleh kaum Yahudi yang kejam! Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.. saban hari setiap kali aku melihat di paparan facebook aku tentang cerita mereka, melihat gambar anak-anak kecil yang cedera atau yang meninggal dunia air mataku pasti akan menitis. 

Dari Abi Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Tidak akan terjadi kiamat sehingga orang Islam berperang dengan Yahudi. Orang Islam akan membunuh orang Yahudi sehingga yahudi itu menyorok di belakang batu dan pokok. Maka batu dan pokok pun bercakap: Wahai Muslim, wahai hamba Allah, ini Yahudi di belakangku. Datanglah ke sini membunuhnya kecuali pokok Gharkad kerana itu adalah pokok Yahudi." (Riwayat Muslim)

Bukan itu saja dalam Surah Al-Isra' ayat 4-7 juga tercatat kisah Palestin.
Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. [4]
Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. [5]

Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. [6]

Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya) dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. [7]
Aku hanya mampu titipkan doa agar mereka akan menang dan sentiasa dilindungi oleh Allah s.w.t. Sebelum aku akhiri artikel ini. Jom amalkan doa ini untuk saudara kita di Bumi Palestin

Journal 2014 - # 821

Salam perpaduan salam perjuangan!

Palestin Peristiwa Akhir Zaman

 
Jika disebut kota suci ketiga setelah Mekah dan Madinah, maka dalam beberapa saat akan terlintas dalam benak kita bahawa yang dimaksudkan tiada lain kecuali Al-Quds. Benar, Al-Quds, atau Al-Aqsa, Palestin adalah kata yang tidak asing bagi majoriti kaum muslimin.

Al-Aqsa, atau Baitul Maqdis disebutkan dalam banyak riwayat hadis dan atsar. Tentang keagungan dan keutamaannya, Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa Masjidil Aqsa adalah masjid tertua kedua di dunia. Masjidil Aqsa juga merupakan kiblat pertama kaum muslimin. Baitul Maqdis sendiri merupakan salah satu daripada tiga kota suci yang dianjurkan untuk diziarahi dengan niat ibadah. Tentang keutamaan solat di Baitul Maqdis, Rasulullah shalallahu alaihi wasallam menyebutkan bahawa ia setara dengan 500 kali berbanding dengan masjid lain. Palestin sendiri termasuk wilayah yang didoakan agar mendapat berkat. Dan terakhir, Rasulullah pernah berkunjung ke Palestin dan solat di Masjidil Aqsa pada malam Isra '.

Secara geografi, Palestin mempunyai kedudukan yang sangat strategik di mata dunia antarabangsa. Tanah bukit Moria, sebuah dataran tinggi yang di atasnya berdiri Masjidil Aqsa dan Masjid Qubbatush Shahra, yang luasnya kurang dari 4 kali padang bola sepak, kini telah rebut lebih dari 3 juta umat manusia.

Di samping faktor geografi dan keutamaan lain, Palestin juga menyimpan banyak misteri di akhir zaman. Negara ini telah dikisahkan oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam sebagai negara yang paling unik. Realiti yang kita saksikan sehingga hari ini tentang Palestin merupakan gambaran kebenaran apa yang disabdakan oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Pergolakan politik dan pertikaian serta konflik antara umat Islam dengan Yahudi sebenarnya telah diberitakan oleh Rasulullah shalallahu alaihi wasallam. Ini juga merupakan penjelasan dari nabi tentang Palestin di akhir zaman.

1. Palestin Akan Menjadi Bumi Ribath Sehingga Akhir Zaman
Mu'awiyah bin Abi Sufyan berkata, "Saya mendengar Rasulullah shalallahu alaihi wasallam bersabda," Akan sentiasa ada sekelompok umatku yang menegakkan agama Allah, orang-orang yang memusuhi mereka dan tidak mahu menyokong mereka sama sekali tidak akan mampu menimpakan bahaya terhadap mereka. Demikianlah keadaannya hingga akhirnya datang urusan Allah. "Malik bin Yakhamir menyahut: Mu'adz bin Jabal mengatakan bahawa mereka berada di Syam." Mu'awiyah berkata, "Lihatlah, ini Malik menyebutkan bahawa ia telah mendengar Mu'adz bin Jabal mengatakan bahawa kumpulan tersebut berada di Syam"

Tentang negeri Syam yang disebutkan dalam hadis di atas, riwayat di bawah ini menjelaskan bahawa negeri Syam yang dimaksudkan adalah Palestin. Hal itu sebagaimana yang disebutkan dari Abu Umamah, dia berkata: Rasulullahshalallahu alaihi wasallam bersabda, "Akan sentiasa ada sekelompok umatku yang berada di atas kebenaran, mengalahkan musuh-musuhnya, dan orang-orang yang memusuhi mereka tidak akan mampu menimpakan bahaya terhadap mereka kecuali sedikit musibah semata. Demikianlah keadaannya hingga akhirnya datang urusan Allah. "" Wahai Rasulullah, di manakah kelompok tersebut? "Tanya para sahabat. "Mereka berada di Baitul Maqdis dan pelataran Baitul Maqdis."

Maka, pelbagai soalan yang terus menggelayuti benak setiap muslim; mengapa konflik di Palestin dan pertikaian antara umat Islam dan Yahudi tidak kunjung usai, barangkali bila dikesan dari sudut pandang takdir boleh dijawab dengan hadis ini. Sungguh, negeri Palestin tidak akan pernah sepi daripada peperangan antara kaum Muslimin dengan musuh-musuhnya. Dan, sebagaimana yang disebutkan dalam riwayat di atas, musibah apa pun yang ditimpakan oleh musuh-musuh Islam terhadap kaum muslimin di Palestin, hal itu tidak memberikan mudarat kecuali sedikit musibah. Maknanya, bahawa sehebat apapun gempuran musuh yang ditimpakan terhadap umat Islam di Palestin, maka hal itu tidak akan pernah membuat komuniti di negeri itu lenyap. Ada semacam jaminan bahawa umat Islam di negeri itu akan tetap wujud. Dan jihad di negeri itu akan terus berlanjutan hingga ke akhir zaman hingga kaum muslimin berjaya mengalahkan Dajjal.

Riwayat di atas juga boleh jadi menjadi isyarat tentang mustahilnya bagi umat Islam untuk berhijrah meninggalkan Palestin secara total, sedahsyat apapun serangan musuh keatas mereka. Janji Rasulullah shalallahu alaihi wasallam bahawa serangan musuh hanya akan menimpakan sedikit musibah atas mereka menjadi bisyarah (khabar gembira) bahawa negeri ini tidak akan pernah mampu ditawan oleh musuh. Pasti, akan selalu ada segelintir umat yang akan berjihad untuk mempertahankan negeri ini!

2. Palestin Akan Menjadi Bumi Hijrah di Akhir Zaman
Kisah lain yang juga menakjubkan adalah bahawa negeri Palestin ini akan menjadi bumi hijrah akhir zaman. Hal itu sebagaimana yang disebutkan dari Abdullah bin Amru bin Ash berkata: Saya mendengar Rasulullah shalallahu alaihi wasallam bersabda, "Akan berlaku hijrah sesudah hijrah, maka sebaik-baik penduduk bumi adalah orang-orang yang mendiami tempat hijrah Ibrahim, lalu yang tinggal di muka bumi hanyalah orang-orang yang jahat. Bumi menolak mereka, Allah menganggap mereka kotor, dan api akan mengiringi mereka bersama para kera dan babi. "

Jika riwayat tersebut dikorelasikan dengan hadis lain yang menceritakan perjalanan Imam Mahdi dan kaum muslimin dalam memerangi musuh-musuhnya, maka boleh jadi nubuwat di atas terjadi di masa Al-Mahdi. Hal itu Sebagaimana yang disebutkan dalam sebuah riwayat, Rasulullah shalallahu alaihi wasallambersabda: "Allah memberitahu kepada Nabi Isa dengan firman-Nya," Tiada seorang pun yang mampu melawannya, karena itu bawalah hamba-hamba-Ku (yang baik-baik) ke gunung Thur. "Lalu Allah membangkitkan (mengutus) Ya'juj dan Ma'juj, mereka akan datang dari seluruh tempat yang tinggi.

Gunung Thur, sebagaimana yang terkandung dalam riwayat di atas merupakan sebahagian daripada negeri Syam, walaupun ia tidak berada tepat di dalam Palestin. Tetapi kawasan tersebut masih masuk dalam bahagian negeri hijrahnya nabi Ibrahim as. (Syam). Wallahu A'lam.

3. Palestin Akan Menjadi Tempat Tegaknya Khilafah di Akhir Zaman
Hal itu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis Abdullah bin Hawalah Al-Azdi. Rasulullah shalallahu alaihi wasallam pernah bersabda kepadanya, "Wahai Ibnu Hawalah, jika engkau melihat kekhilafahan telah turun di bumi Al-Maqdis (Baitul Maqdis, Palestin), maka itu petanda telah dekatnya berbagai goncangan, kegundah-gulanaan, dan peristiwa-peristiwa besar. Bagi umat manusia, kiamat lebih dekat kepada mereka daripada dekatnya telapak tangan kepada kepalamu ini. "
Jika merujuk pada riwayat yang menyebutkan penaklukkan kaum muslimin di akhir zaman, maka kemungkinan tegaknya khilafah di bumi Baitul Maqdis itu berlaku di zaman Al-Mahdi. Sebagaimana disebutkan dalam banyak riwayat, bahawa di masa Al-Mahdi kelak Dajjal akan dikalahkan, dan tempat terbunuhnya Dajjal sendiri berada di Bab Ludd-Palestin. Setelah terbunuhnya Dajjal di tangan Nabi Isa as, maka kaum muslimin terus memburu Yahudi di mana mereka bersembunyi. Setiap benda, baik pokok, batu mahupun yang lain akan bercakap dan memberitahu di mana Yahudi yang bersembunyi. Hanya satu jenis pokok yang akan diam dan melindungi Yahudi, iaitu pohon Gharqad, sesungguhnya ia termasuk salah satu dari pohon Yahudi.

4. Palestin Akan Menjadi Tempat bertahannya Iman di Akhir Zaman
Ada beberapa riwayat yang menjelaskan tentang hal ini:
Dari Salamah bin Nufail Al Kindi ia berkata, 'Saya duduk di sisi Nabi shalallahu alaihi wasallam, maka seorang lelaki berkata, "Ya Rasulullah, manusia telah meninggalkan kuda perang dan meletakkan senjata. Mereka mengatakan, "Tidak ada jihad lagi, perang telah selesai." Maka Rasulullah shalallahu alaihi wasallammenghadapkan wajahnya dan besabda, "Mereka berdusta!!! Sekarang, sekarang, perang telah tiba. Akan sentiasa ada dari umatku, umat yang berperang di atas kebenaran. Allah menyesatkan hati-hati sebahagian manusia dan memberi rezeki umat tersebut dari hamba-hambanya yang tersesat (ghanimah). Begitulah sampai tegaknya kiamat, dan sampai datangya janji Allah. Kebaikan sentiasa tertambat dalam ubun-ubun kuda perang sampai hari kiamat. Dan Allah telah mewahyukan kepadaku bahawa aku akan diwafatkan. Aku tidak akan kekal di dunia ini, dan kamu akan saling menyusulku, sebahagian kamu memerangi sebahagian yang lain. Dan kampung halaman kaum beriman adalah Syam. "

Dari Abdullah bin Amru, ia berkata: Rasulullah shalallahu alaihi wasallam telah bersabda: "Sesungguhnya saya melihat seakan-akan tonggak Al-Kitab telah tercabut dari bawah bantalku. Maka aku mengikuti pemergiannya dengan pandangan mataku. Tiba-tiba muncul seberkas cahaya yang terang-benderang mengarah ke Syam. Ketahuilah, sesungguhnya iman pada saat terjadi pelbagai fitnah berada di Syam. "

5. Palestin Menjadi Salah Satu Tempat Berlindung Dari Dajjal
Rasulullah shalallahu alaihi wasallam telah bersabda:
"Aku peringatkan kamu tentang Dajjal. Aku peringatkan kamu tentang Dajjal. Aku peringatkan kamu tentang Dajjal. Dia menetap di bumi selama empat puluh hari. Dia boleh mencapai setiap jengkal muka bumi kecuali empat masjid iaitu masjidil Haram, masjidi Madinah, masjid At-Thur dan Masjidil Aqsa. Dia tidak akan samar-samar lagi bagi kalian, kerana Rabb kalian tidaklah buta mata sebelah (sementara Dajjal buta sebelah matanya).

Journal 2014 - # 819

Salam perpaduan salam perjuangan!

Ramadan Bukan Bulan Makan

Assalamualaikum! Hi uols! Muslim yang mendambakan rahmat dan ganjaran Allah yang melimpah-ruah pada bulan Ramadan sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untukk berusaha gigih dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan sebanyak mungkin ganjaran daripada Allah dengan melaksanakan ketaatan dan ibadah.
Namun, masyarakat kita kelihatan seolah-olah terpedaya dengan syaitan, lalu bulan Ramadan tetap dicemari dengan perkara-perkara yang merosakkan pahala ibadah. Mahu atau tidak, ini realiti yang masih belum berjaya kita ubah.

Bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan latihan mengawal nafsu bertukar menjadi "bulan makan" yang dipenuhi pembaziran semata-mata untuk memenuhi kehendak nafsu. Pembaziran berlaku dengan begitu ketara semasa berbuka puasa. Maka tidak hairanlah jika perbelanjaan pada bulan Ramadan meningkat berlipat ganda sekiranya dibandingkan dengan perbelanjaan pada bulan-bulan lain.

Sesuatu yang perlu disedari bahawa tabiat pembaziran yang berlaku dalam bulan Ramadan menyebabkan puasa yang dilakukan menjadi sia-sia kerana sebagaimana yang diharapkan.

Masyarakat Islam perlu sedar bahawa puasa adalah ibadat yang memainkan peranan penting dalam
membentuk peribadi, sahsiah dan akhlak hingga mencapai tahap takwa kepada Allah. Antra ciri-ciri insan bertakwa ialah mereka berjaya mengawal nafsu makan. Maka sepatutnya umat Islam menghindari amalan menjadikan Ramadan bulan pesta makan secara berlebihan.

Pembaziran merupakan satu sifat yang dilarang keras dalam Islam. Firman Allah: "Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu sangat ingkar kepada Tuhannya." (Surah al-Isra': 27)

Menurut Ibn Mas'ud dan Ibn Abbas, pembaziran ialah berbelanja kepada tempat yang tidak wajar iaitu secara yang tidak diharuskan oleh Allah. Berbelanja berlebihan juga merupakan suatu tindakan pembaziran.

Sepatutnya pada bulan Ramadan, umat Islam memfokuskan jiwanya kepada ibadah serta beritiqamah dengannya. Namun, apabila sambutan Ramadan dijadikan sebagai adat semata-mata, maka mereka yang berduyun-duyun ke masjid pada minggu pertama Ramadan akan berkurangan dari hari ke hari. Natijahnya, minggu terakhir Ramadan iaitu waktu paling pentng untuk mendapatkan anugerah lailatulqadar, masjid-masjid dan surau-surau pula semakin sepi.

Sedinya, minggu terakhir Ramadan umat Islam lebih ramai mengunjungi pasar raya, bazar dan seumpamanya berbanding beriktikaf di masjid. Kelebihan dan keutamaan bulan Ramadan diabaikan, diganti pula dengan kesibukan persiapan menyambut hari raya.

Journal 2014 - # 818

Salam perpaduan salam perjuangan!

7 Peringatan Elak Perpecahan

Assalamualaikum! Hi uols! Berikut adalah 7 Peringatan Elak daripada Perpecahan:-
  1. Ikut jalan Allah
    Firman Allah s.w.t: "Janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain nanti kamu akan berpecah-belah dari jalan-Nya (Allah), itulah kamu diingatkan mudah-mudahan kamu bertakwa." (Al-An'am: 153)

    Nyata ada dua jalan sahaja bagi manusia; jalan Allah dan jalan syaitan. Bila manusia
    meninggalkan jalan Allah maka sudah pasti akan menjejaki jalan syaitan yang memecahbelahkan mereka.

  2. Ingat yang benar dan hak
    Firman Allah s.w.t: "Tetapi mereka melupakan sebahagian daripada apa yang diperingatkan kepada mereka, sebab itu Kami timbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan mereka sehingga hari kiamat." (Al-Maaidah: 14)

    Meninggalkan kebenaran yang disepakati dan tidak bersetuju dengan satu jalan yang hak adalah tidak bersetuju dengan satu jalan yang hak adalah penyelewengan. Begitu juga lupa kepada sebahagian kebenaran akan mendedahkan kepada perpecahan.

  3. Hindari hasad dengki
    Firman Allah s.w.t: "Dan tidaklah mereka itu berpecah-belah sesudah datang kepada mereka pengetahuan melainkan kedengkian sesama mereka." (As-Syuura, 42: 14)

    Sabda Rasulullah s.a.w: "Perlahan-lahan masuk di kalangan kamu penyakit umat-umat sebelum kamu iaitu hasad dan dengki yang mencukur. Aku maksudkan bukan (pisau) mencukur rambut, tapi pisau yang mencukur din." (HR Ahmad dan Tarmizi)

    Hasad dengki adalah sebahagian daripada sifat kekufuran dan perpecahan. Sabda Rasulullah s.a.w: "Sesungguhnya keimanan dan hasad dengki tidak akan lamanya."

    Orang Islam diumpamakan oleh Rasulullah s.a.w sebagai satu badan. Tidak terjadi antara tubuh badan itu dengki mendengki antara satu anggota dengan anggota lain, bahkan setiap anggota saling menyempurnakan. Setiap anggota tidak pula bercita-cita untuk mengatasi antara satu dengan lain.

  4. Jadi orang berakal
    Firman Allah s.w.t: "Engkau menyangka mereka bersatu, sedangkan hati mereka berpecah-belah, itu kerana mereka adalah kaum yang tidak berakal." (Al-Hasyr: 14)

    Perpecahan berlaku kerana manusia tidak mahu menjadi orang yang berakal. Berakal yang dimaksudkan ialah kembali kepada Kitabullah sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya Kami turunkan al-Quran itu dalam bahasa Arab, mudah-mudahaan kamu berfikir." (Yusuf: 2)

    Kembali kepada al-Quran bermakna menerima, membaca, memahami, tilawah (membaca dengan teliti dan melaksanakan al-Quran dalam kehidupan.

  5. Cintai akhirat
    Firman Allah s.w.t: "Sehingga bila kamu menjadi lemah, berselisih dalam urusan dan melanggar perintah, setelah diperlihatkan Tuhan kepada kamu apa yang kamu suka, di antara kamu ada yang suka kepada dunia dan ada yang mencintai akhirat." (Ali Imran: 152)

    Berdasarkan ayat di atas, perpecahan boleh berlaku apabila orang beriman tidak zuhud kepada dunia.

    Sabda Rasulullah s.a.w: "Tidak dibuka dunia ke atas seseorang itu melainkan dicampakkan oleh Allah di antara mereka permusuhan dan kebencian sehingga hari akhirat." (Riwayat Imam Ahmad dan Bazzar)

  6. Rebutlah rahmat daripada Allah s.w.t
    Firman Allah s.w.t: "Jikalau Rabmu menghendaki, tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat. Kecuali orang-orang yang diberi rahmat oleh Rabmu. (Hud: 118-119)

    Oleh itu perselisihan berlaku kerana tidak mendapat rahmat Allah s.w.t. Mereka yang layak mendapat rahmat Allah ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri sebagaimana firman Allah s.w.t: "Dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan mereka
    • Saling pimpin memimpin antara satu dengan lain.
    • Mereka menyuruh mengerjakan makruf,
    • Melarang yang mungkar,
    • Mereka tetap mengerjakan sembahyang dan
    • Mengeluarkan zakat,
    • Mereka patuh kepada Allah dan Rasul-Nya.
    Itulah orang-orang diberi rahmat oleh Allah. Dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (At-Taubah: 71)

  7. Istiqamah dalam amal makruf nahi mungkar
    Tarmizi dan Abu Daud meriwayatkan daripada Abu tha'labah bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: "Kamu menuruh mereka itu dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran hingga kamu melihat mereka menurut kebakhilan, hawa nafsu ditaati, dunia mempengaruhi dan merasa kagum dengan pandangan sendiri, ketika itu kamu dengan diri kamu, dan tinggalkanlah mereka. Sesungguhnya di belakang kamu hari-hari kesabaran, bagi mereka itu seperti orang yang memegang bara api, pada mereka ganjaran pahala lima puluh orang yang beramal seperti kamu." Lalu bertanya salah seorang daripada mereka: "Lima puluh orang daripada mereka atau kami wahai Rasulullah?" Sabda Baginda: "Bahkan lima puluh ganharan pahala daripada kamu." 
     

Journal 2014 - # 817

Salam perpaduan salam perjuangan!

GST Haram?

Assalamualaikum! Hi uols! Kerajaan mengumumkan melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (GST) bermula April 2015 nanti. Lalu pelbagai reaksi pro dan kontra timbul daripada aneka perspekstif; politik, sosial, ekonomi bahkan syariat. Hinggakan ada yang mendakwanya haram secara mutlak! Tulisan ini akan membawa ringkasan perbincangan ulama berkenaan hukum kerajaan mengenakan cukai.
Pendapat Pertama: Haram secara mutlak.
Mereka berhujah berdasarkan dalil:
  • Surah al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara batil. Justeru, pungutan cukai dikira pendapatan yang batil kerana dikutip tanpa rela dan tanpa keperluan mendesak.
  • Hadis "Tidak halal harta seseorang Muslim tanpa disertai rela dan izin daripada pemiliknya." (Riwayat Ahmad) Jadi, mengambil cukai daripada rakyat sedangkan rakyat tidak rela kerana kewangan kerajaan yang mewah, adalah tidak halal.
  • Hadis "Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman hudud ke atasnya. Baginda bersabda, 'Demi jiwaku pada tangan Allah, sesungguhnya wanit itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat, juga akan diampuni.' (Riwayat Muslim)
  • Hadis "Sesungguhnya penguasa yang mengenakan 'maks' (sejenis kutipan) di dalam neraka." (Riwayat Ahmad)
Pendapat Kedua: Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu pada saat keperluan sahaja.
Antara hujah mereka:
  • Sabda Nabi: "Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat." (Riwayat al-Tirmizi)
  • Berlandaskan prinsip siyasah syari'iyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Imam al-Qurtubi dalam Tafsirnya berkata: "sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum Muslimin dalam sesebuah negara, iaitu selepas digunakan wang zakat daripada baitulmal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (daripada cukai rakyat)."
Hal ini juga ditegaskan oleh Imam al-Syatibi dalam kitab al-I'tissam: "Apabila sudah kosong milikan negara daripada harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan lalu meninggalkan tugasan tentera, sekaligus dibimbangkan serangan musuh ke atas negara umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera." (Al-Mustasfa)

Pendapat ketiga: Harus sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran negara.
Pendapat ini dipegang oleh Syeikh Mahmud Syaltut (Al-Fatawa al-Kubra). Begitu juga Syeikh Abu A'la al-Mawdudi yang menyatakan harus dikenakan cukai jika kutipan cukai itu adalah bagi kemaslhatan awam. (Nazariyat al-Islam).

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam. Menurut beliau  المك س (al-maks) dalam hadis ancaman neraka itu merujuk kepada jenis cukai yang dikenakan pemerintah untuk kegunaan peribadi walaupun menyempitkan rakyat mereka." (Fiqh al-Zakat)

Pendapat Tepat?
Kaedah fiqah ada menyatakan "menolak keburukan lebih didahulukan daripada membawa kebaikan." Maka jika benar tanpa GST ekonomi dan kelangsungan negera menjadi terancam, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke masa.

Sebahagian ahli ekonomi menyimpulkan bahawa cukai GST mampu membawa kestabilan fiskal dalam kewangan negara dan keutuhan pendapatan kerajaan. Manakala sebahagian yang lain pula menyatakan cukai hanya menyebabkan inflasi semakin sukar dikawal dan kenaikan harga dalam kebanyakan barangan. Akhirnya menjejaskan majoriti rakyat.

Cukai seperti ini mungkin sangat relevan bagi sesebuah negara yang belum memperkenalkan cukai seperti cukai pendapatan, korporat dan sebagainya. Namun, memperkenalkan cukai baharu sedangkan kantung kewangan negara boleh dikawal dan diperbetulkan, sudah tentu hukumnya lebih cenderung kepada haram, kecuali jika pelaksanaannya bersifat sementara sebagaimana fatwa kumpulan kedua ulama.

Berbalik kepada isu asas iaitu hukum kerajaan mengenakan cukai. Perlu diketahui bahawa Malaysia telah melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan sejak sekian lama. Maka untuk meniadakannya secara drastik bakal menyaksikan kekalutan pengurusan kewangan negara. Dibimbangkan tindakan ini membawa lebih mudarat berbandng manfaat.

Jika hendak berpegang kepada pendapat pencukaian adalah haram secara mutlak, maka sejak dahulu lagi kempen memansuhkannya patut berjalan, bukanlah baru-baru ini sahaja.

Berbalik kepada GST, jika mampu dibuktikan bahawa GST sebagai penyusunan semual metode pencukaian yang lebih efisien, telus dan kurang membebankan berbanding sistem percukaian cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada, maka saya rasakan GST boleh disokong.

Kita berpegang dengan kaedah fiqah "mengambil yang kurang mudarat antara dua kemudaratan".

Cadangan Pelaksanaan
Bagaimanapun keharusan pencukaian baharu ini sepatutnya beriringan dengan beberapa tindakan sebagai bukti komitmen antaranya:
  • Kadar 6% patut dimulakan dengan lebih rendah agar tidak berlaku sebarang perubahan drastik terhadap peniaga dan rakyat. Mungkin kadar 3% lebih sesuai sebagai permulaan.
  • Sebarang ketirisan dan kelemahan pengurusan hasil kewangan oleh kementerian yang dibuktikan oleh Jabatan Audit Negara mestilah dikenakan tidakan keras dan segera bagi memastikan setiap hasil cukai yang diterima tidak disalahgunakan oleh pentadbiran awam dan ahli politik yang berkuasa.
  • Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) patut diberi kuasa dan kemampuan pendakwaan lebih berkesan agar tidak peniaga yang mampu lari daripada GST atau tidak pegawai awam boleh memanipulasi pelaksanaan GST untuk kepentingan mereka.
  • Pihak KPDNKK mestilah mempunyai mekanisme terbaik dengan jumlah pegawai yang mencukupi bagi menangani kenaikan harga yang disengajakan oleh peniaga sejurus GST dikuatkuasakan.
  • Peruntukan bajet kepada semua kementerian yang belum digunakan sewajarnya dilaporkan semula dalam bajet tahun berikutnya. Jangan dipaksa sesebuah jabatan atau kementerian menghabiskan wang peruntukan sehingga sebahagian mereka 'terpaksa' menghabiskannya kepada perkara yang sia-sia dan merugikan raksyat serta pecah amanah.
Pada waktu beberapa perkara utama ini gagal dipastikan dan jika kemudaratan pula bertambah ke atas peniaga dan rakyat, tatkala itu, pihak yang mengharuskan GST dikira telah membuat keputusan yang memudaratkan negara dan rakyatnya. Hal itu tdak lain membawa kepada dosa dan pengabaian amanah.
Oleh: Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Muamalat)

Journal 2014 - # 816

Salam perpaduan salam perjuangan!

Ramadan

Assalamualaikum! Hi uols!
Kutemui lagi Ramadan
dalam kebesaran berpanjangan
dengan sebuah kesyukuran
kerana Ramadan yang dulu hilang
kini telah datang bertandang.

Ramadan yang kutemui
upaya jahit compang baju diri
yang carik tersangkut duri kehidupan
setelah lama dipakai dalam perjalanan
moga baju itu upaya tertampal
moga dapat menyelimuti kalbu
halang kebocoran keimanan
yang selama ini terlepas hilang.

Moga adanya Ramadan
juga bisa menjahit luka kehidupan
agar hidup tertutup kembali tenang

Kamarulzaman Ismail
Pasir Puteh 
 
 

Journal 2014 - # 815

Salam perpaduan salam perjuangan!

Mustajabnya Ramadan

Assalamualaikum! Hi uols! Allah menetapkan perintah berpuasa Ramadan dalam surah al-Baqarah bermula ayat 183 hingga 187. Menariknya dalam ayat 186 Allah menyebut tentang doa:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kamu tentang-Ku katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku memakbulkan doa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka laksanakan perintah-Ku dan berimanlah kepada-Ku, moga kamu selalu mendapat petunjuk." (Al-Baqarah 2: 186)
Sesungguhnya manusia dalam hidupnya sering menemui kesusahan, kesempitan, kekurangan harta, ketakutan dan seumpamanya sangat memerlukan pertolongan. Justeru Allah yang sangat mengenali diri insan lemah ini menganjurkan supaya berdoa dan memohon pertolongan kepada-Nya agar keluar dari segala kesukaran hidup dan diberi kekuatan khususnya dalam bulan Ramadan. Doa yang terbaik adalah doa yang diajarkan oleh utusan-Nya iaitu Nabi Muhammad.

Doa Sepanjang Ramadan
Rasulullah mengajarkan doa ketia berada dalam bulan Ramadan. Sayidatina Aisyah bertanya: "Wahai Rasulullah, ini bulan Ramadan. Apakah yang patut aku kata padanya?"

Rasulullah bersabda: "Katakanlah: 
Ya Allah, Ya Tuhanku! Engkau adalah Maha Pengampun dan Engkau suka mengampunkan, Oleh itu ampunilah aku." (Riwayat Ahmad)

Banyakkan Istighfar
Dalam bulan Ramadan kita dianjurkan untuk memperbanyak beristighfar dan berdoa memohon keampunan.

Rasulullah bersabda:
"Sesungguhnya setiap hari Allah membesakan orang dari api neraka pada bulan Ramadan. Sesungguhnya setiap Muslim memiliki doa yang jika dipanjatkan akan dikabulkan untuknya." (Riwayat Ahmad)

Doa berbuka Puasa
Kebiasaan umat Islam di Malaysia khususnya berbuka puasa dengan doa berikut:
"Ya Allah kerana Engkau aku berpuasa, kepada-Mu aku beriman, dan atas rezeki-Mu aku berbuka"
Doa tersebut baik dan mempunyai maksud yang baik. Namun sebagai tanda cinta akan Nabi, sangat baik untuk kita mengamalkan doa yang diajar sendiri oleh Nabi. Hal ini sebagai suatu sunnah yang patut kita hidupkan. Doa yang dimaksudkan ialah:
"Telah hilanglah dahaga, telah basahlah urat-urat, telah tetaplah pahala, insya-Allah." (Riwayat Abu Dawud)
Menurut Ibn Umar, apabila berbuka puasa, Baginda akan membaca doa ini.

Journal 2014 - # 814

Salam perpaduan salam perjuangan!

8 Amalan Dalam Bulan Ramadan


Assalamualaikum! Hi uols! Agar Ramadan kali ini yang terbaik marilah kita berazam dan merancang untuk menggandakan beberapa amal soleh sebanyak-banyaknya. Antaranya:-
  • Doa
    "Tiga doa yang mustajab; doa orang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang bermusafir." (Riwayat at-Tirmizi)

  • Solat Witir
    "Sesungguhnya Allah telah menganugerahi kamu satu solat yang lebih baik daripada unta-unta yang terbaik iaitu solat Witir." (Riwayat Abu Dawud)

  • Wuduk
    "Sesiapa yang berwuduk dengan sempurna, keluarkanlah kesalahan daripada tubuhnya termasuk dari bawah kukunya." (Riwayat Muslim)

  • Sedekah
    Rasulullah ditanyai: "Sedekah apakah yang paling baik?"
    Baginda menjawab: "Sedekah pada bulan Ramadan." (Riwayat at-Tirmizi)

  • Mendampingi al-Quran
    "Orang yang terbaik dalam kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan mengajarnya." (Riwayat al-Bukhari)

  • Solat Berjemaah
    "Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 kali ganda." (Riwayat al-Bukhari)

  • Taja Juadah Berbuka: Rasulullah bersabda
    "Sesiapa yang menjamu seorang yang berpuasa, dia mendapat pahala sebanyak pahala orang yang berpuasa tersebut, telah dikurangkan pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun." (Riwayat at-Tirmizi)

  • Selawat
    "Sesiapa yang berselawat sekali, Allah akan berselawat atasnya sepuluh kali." (Riwayat Muslim)

Journal 2014 - # 813

Salam perpaduan salam perjuangan!

Andainya Ini Ramadan Terakhir

"Andainya Ramadan kali ini Ramadan yang terakhir buat kita, kerana belum tentu kita akan hidup pada Ramadan yang akan datang.. apakah kita tega untuk terus berpuasa tanpa mendapat takwa? Lalu layakkah kita berhari raya dengan tangan kosong? Sedangkan takwa adalah sebaik-baik pakaian dan perhiasan di alam dunia."

Journal 2014 - # 812

Salam perpaduan salam perjuangan!

Besarkan Puasa daripada Hari Raya

Assalamualaikum! Hi uols! Apabila menyebut Ramadan, anak-anak memikirkan baju baharu, kasut baharu dan bakal 'mengumpul' seberapa banyak duit raya. Jika begini situasinya, memang jauhlah generasi kita daripada mencontohi cara Rasulullah s.a.w dan para sahabat menyambut Ramadan.

Yang kita mahu, di minda anak-anak terbayang kemeriahan berpuasa pada bulan Ramadan. Kita
mahu mereka teruja dan berlumba-lumba untuk merebut pahala berganda. Kita juga ingin melihat anak-anak kepingin bertemu malam lailatulqadar di malam terakhir Ramdan.

Ke Arah Generasi Cinta Ramadan
Apakah anak-anak kita sudah dididik ke arah itu? Marilah kita membimbing anak-anak menjadi generasi cinta akan ibadah Ramadan sebagai jalan menuju Allah.
  • Set minda
    Setkan minda anak-anak, puasa bukan satu deraan tetapi hadiah daripada Allah. Katakan, 'Apakah kamu ingin melihat wajah Allah?'

    Rasulullah bersabda: "Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan; pertama ketika dia berbuka dan kedua ketika dia bertemu dengan Tuhannya. Sesungguhnya bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bau kasturi." (Riwayat Muslim)
  • Fahami tujuan berpuasa.
    Jelaskan kepada anak-anak puasa latihan untuk berlapar kerana Allah. Latihan untuk merasai bagaimana jika perut berlapar lebih sepanjang siang. Dengan berlapar ini anak-anak boleh belajar sesuatu.

    Katakan kepada mereka, inilah rasa yang dialami oleh fakir miskin. Di dunia ini ramai orang miskin dan hidup susah. Bukannya mereka malas berusaha. Ada yang kuat bekerja tetapi masih miskin. Rasulullah juga pernah mengalami ketiadaan apa-apa untuk dimakan, akhirnya Baginda berkata kepada Sayidatina Aisyah: "Jika begitu Aisyah, berpuasalah kita."

  • Gunakan logik akal.
    Berikan penerangan atau analogi yang mudah difahami anak-anak. Contohnya,
    Ibu: Anakku, kalau pengisar ini kita kisar makanan lama-lama, apa akan jadi?
    Anak: Tentulah rosak.
    Ibu: Begitulah perut kita, kita berpuasa Ramadan supaya perut yang telah setahun bekerja direhatkan. Tetapi bukan terus berlapar. Malamnya kita akan makan semula.
  • Kira detik Ramadan.
    Latihlah anak-anak supaya dapat melafazkan niat puasa sebelum memasuki bulan Ramadan. Kemudian tuliskan di papan putih, jumlah hari hampirnya bulan Ramadan supaya debarannya terasa seolah-olah hari peperiksaan besar bakal menjelma. Kelak anak-anak akan lebih peka dan lebih terarah untuk mengerjakan puasa dengan sebaiknya.

  • Bersihkan alat ibadah.
    Sebagai persedihan, tunjukkan kepada anak-anak bahawa kita amat mementingkan kebersihan
    alat-alat ibadah. Cuci peralatan ibdah seperti tikar sejadah, jubah, telekung, pelikat dan sebagainya. Begitu juga utamakan kebersihan dalam rumah, ada sudut untuk solat berjemaah. Carilah peluang untuk berjemaah supaya Allah memperkukuhkan ikatan kekeluargaan.

  • Kali Pertama Anakku Berpuasa.
    Anak-anak berumur empat atau lima tahun boleh mula belajar berpuasa. Dorong mereka berpuasa bukan memaksa. Oleh itu, tanamkan nilai akidah dalam diri mereka. "Anakku, kita mengerjakan puasa ini kerana Allah. Mahukan kamu melihat wajah Allah? Nabi Muhammad berkata sesiapa yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan, kegembiraan semasa berbuka dan melihat wajah Allah."

  • Lewatkan bersahur.
    Berilah penerangan awal mengapa perlu bersahur. Paling baik, bangunkan mereka pada hujung sahur. Hidangkan makanan yang disukai, ini akan memotivasikan anak-anak untuk bangun sahur.

    Jangan biarkan anak tidur semula selepas sahur. Bangun sahur ini juga melatih anak-anak untuk bersedia awal untuk solat subuh. Ajak anak-anak yang lelai khususnya, solat Subuh berjemaah di masjid.

  • Latihan bertahap.
    Kita perlu melatih anak-anak kecil berpuasa secara bertahap. Tahap pertama, menahan makan dari waktu selepas bersahur hingga waktu tenghari. Jika anak-anak mengadu lapar; benarkan mereka berbuka puasa. Keesokan hari, beri latihan yang sama. Jika mampu bertahan, lanjutkan berpuasa sehingga ke petang.

    Jika mampu bertahan lagi, lanjutkan sehinggawaktu berbuka puasa. Imam Auza'imengatakan: "Jika dia mampu menunaikan puasa pada tiga hari pertama secara berturut-turut dan tidak berasa lemah, maka perintahlah untuk berpuasa selanjutnya."

  • Alihkan perhatian.
    Alihkan perhatian anak-anak daripada memikirkan soal makan. Lekakan mereka dengan bermain permainan yang berfaedah, membaca atau menontn cerita yang memberi didikan moral atau aktiviti yang digemari atau melayn hobi. Sedikit sebanyak praktis ini akan berlangsung selama sebulan, maka mereka akan terbiasa tanpa makan di waktu siang.

  • Jauhi perkara membatalkan.
    Sentiasa ingatkan anak-anak bahawa mereka perlu menjauhi perkara-perkara yang membatalkan puasa. Inilah ujian dalam berpuasa dan ramai yang kalah kerana mengikuti hawa nafsunya. Misalnya mudah marah, mengumpat, mencari gaduh, merungut, mencuri dan sebagainya.

    Apabila selalu diingat-ingatkan, kelak mereka sendiri akan memberi ingatan antara adik-beradik atau kawna-kawan. Jika ada yang mencuri makan atau minum, ada yang akan memberi nasihat.

  • Hadiah dan ganjaran.
    Kita boleh memberikan ganjaran kepada anak-anak yang berjaya berpuasa. Misalnya jika dapat berpuasa penuh, mereka akan dibawa melancong ke tempat peranginan yang menarik. Namun hadiah ini tidak besar berbading dengan hadiah dapat melihat wajah Allah. Tidak perlu memberi hadiah bagi anak-anak yang sudah baligh, kerana mereka tidak boleh meninggalkan puasa kecuali uzur syarii atau sakit

  • Uzur jangan pamerkan.
    Bagi para ibu dan anak perempuan yang uzur, tidak mengapa memberitahu anak-anak bahawa mereka tidak berpuasa. Katakan kepada mereka: "Ibu tidak boleh berpuasa dan solat. Tetapi lepas hari Raya, Ibu perlu mengganti sebanyak hari puasa yang ditinggalkan. Tidak seronok jika kita berpuasa pada waktu orang lain tidak berpuasa. Mahukah kami begitu?" Elakkan daripada makan di hadapan anak-anak yang berpuasa.