Journal 2013 - # 463

Hi uols!! Salam kedamaian salam keamanan!! Selawat dan salam kepada Nabi junjungan kita Muhammad SAW serta keluarga baginda! Kali ni aku ingin berkongsi artikel yg perlu kita ketahui dan perlu kita ambik kesah walaupun kita jauh beribu batu namun senjata umat islam ada doa. Moga Allah SWT mendengarnya dan menerima doa kita serta membantu saudara-saudara seislam kita di #Palestin.


Oleh MUHAMMAD QASIM
Istilah “ahli al-kitab” di dalam al-Quran sering dirujuk kepada dua komuniti penganut agama Samawi sebelum Islam, iaitu Yahudi dan Nasrani. Dua penganut agama tersebut sebenarnya mempunyai kesinambungan akidah dengan kaum Muslim. Bahkan Allah menegaskan bahawa kehadiran al-Quran untuk membenarkan sebahagian ajaran kitab Taurat (kitab suci agama Yahudi) dan Injil (kitab suci agama Nasrani).

Dalam hal menggambarkan sikap dan perilaku penganut agama Yahudi dan Nasrani ini, ungkapan al-Quran lebih banyak bernada negatif daripada positif. Sejarah membuktikan sepertimana yang dirakamkan di dalam al-Quran, bagaimana penganut agama Yahudi dan Nasrani mengalami banyak perubahan dan penyimpangan, khususnya dari segi akidah. Betapa banyak Nabi dan Rasul yang diutus kepada golongan Bani Israil sehingga merasakan merekalah bangsa yang disayangi Tuhan. 

Bangsa Yahudi satu-satunya bangsa yang digambarkan di dalam al-Quran yang paling sukar untuk dibentuk, bersifat eksklusif dan suka membangkang. Di samping itu, Yahudi juga terkenal sebagai bangsa yang sombong dan zalim sehingga mereka dengan sewenang-wenangnya membunuh para Nabi dari golongan mereka sendiri. Lebih daripada itu, mereka menolak mempercayai ayat-ayat Allah s.w.t dan melanggar perjanjian dengan-Nya. Justeru, kecaman yang terdapat di dalam al-Quran lebih banyak tertuju kepada orang Yahudi daripada Nasrani. Bahkan Allah s.w.t berkali-kali mengingatkan kaum Muslimin untuk tidak mengangkat mereka sebagai pemimpin atau teman-teman akrab (tempat menyimpan rahsia).

Ahli al-kitab itu bukan sahaja mengingkari wahyu Allah s.w.t tetapi juga telah mengubah kitab suci mereka, iaitu Taurat bagi orang Yahudi dan Injil bagi Nasrani. Kitab suci yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada penganut agama Yahudi dan Nasrani tersebut sudah tidak asli lagi dan telah mengalami banyak perubahan kerana mengikut hawa nafsu mereka yang jahat. Sebagaimana firman Allah s.w.t berkenaan dengan orang-orang Yahudi yang dilaknat kerana sentiasa mengubah kalimah-kalimah di dalam kitab Taurat dengan memutarnya dari tempat-tempatnya dan maksudnya yang sebenar (sebahagian maksud al-Quran, surah al-Maidah ayat 13).

Implikasi paling utama dalam perubahan kehidupan keagamaan penganut agama Yahudi dan Nasrani ialah penyelewengan akidah tauhid kerana pengakuan penganut Yahudi yang menganggap bahawa Uzair adalah anak Allah, manakala Nasrani mengatakan Nabi Isa adalah anak Allah. Ini ditegaskan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Dan orang-orang Yahudi berkata: Uzair ialah anak Allah, dan orang-orang Nasrani berkata: Al-Masih ialah anak Allah. Demikianlah perkataan mereka dengan mulut mereka sendiri, (iaitu) menyamai perkataan orang-orang kafir dahulu, semoga Allah binasakan mereka. Bagaimanakah mereka boleh berpaling daripada kebenaran?” (At-Taubah: 30)

Kedegilan terus menerus kaum Bani Israil dirakamkan di dalam al-Quran tentang pelanggaran mereka terhadap hukum-hukum Allah s.w.t yang berkaitan dengan ibadah pada hari Sabtu, hari yang dianggap hari kelepasan kepada kaum mereka seperti disebut di dalam kitab Taurat. 

Allah s.w.t kemudian menguji iman mereka dengan mengadakan / menjadikan ikan yang begitu banyak pada hari Sabtu dan telah menjadikan mereka lupa dan menjadi tamak, serta mengikut hawa nafsu dengan menangkap ikan pada hari Sabtu yang dilarang itu. Akibat perbuatan itu, akhirnya golongan yang derhaka ini disumpah oleh Allah menjadi kera (maksud surah al-Baqarah, ayat 65).

Menurut pendapat beberapa ahli tafsir tentang firman Allah s.w.t tersebut, bermaksud `kera’ makhluk Allah (binatang) yang sangat sukar menerima nasihat.

Demikian juga keengganan ahli al-kitab khususnya Yahudi menerima ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w walaupun sebelumnya mereka menunggu kedatangannya, tetapi disebabkan oleh sifat dengki dan rasa superior yang begitu mendalam menguasai diri, mereka mudah berubah. Hal demikian disebabkan sebelum itu mereka mendengar bahawa Nabi yang diutus itu berasal dari kalangan Bani Israil tetapi ternyata Nabi yang datang berasal dari golongan Arab yang merupakan seteru mereka.

Di sebalik bangsa yang paling banyak mendapat bimbingan para Nabi dan Rasul, mereka juga banyak memperoleh nikmat yang tidak pernah dirasai oleh umat lain iaitu Allah s.w.t menurunkan makanan dari syurga, iaitu manna (manisan lazat dari syurga) dan salwa (daging burung kecil yang enak). Di samping itu, mereka juga diselamatkan daripada ancaman Firaun. Namun, mereka tetap tidak berubah dan tidak bersyukur.

Selain daripada itu, kaum Bani Israil mempunyai sikap mengutamakan kehidupan materialistik dan menganggap bahawa material itu adalah segala-segalanya yang boleh menyelamatkan mereka daripada ancaman yang berbahaya. Oleh sebab sikap munafik dan kesukuan yang begitu menebal dalam diri mereka, menyebabkan mereka enggan mengakui ajaran Nabi Muhammad s.a.w kerana Rasul yang mereka tunggu ternyata bukan berasal daripada Bani Israil. Allah s.w.t memberi amaran menerusi firman-Nya yang bermaksud:
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu).” (Sebahagian maksud surah al-Baqarah, ayat 120)

(ayat al-Quran – Surah al-Baqarah, ayat 145-146) Maksudnya:
(145) “Dan sesungguhnya jika kamu mendatangkan kepada orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberi al-Kitab (Taurat dan Injil), semua ayat (keterangan), mereka tidak akan mengikuti kiblatmu, dan kamu pun tidak akan mengikuti kiblat mereka, dan sebahagian mereka pun tidak akan mengikuti kiblat sebahagian yang lain. Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka setelah datang ilmu kepadamu, sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk golongan orang-orang yang zalim.”
(146) “Orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah Kami beri al-Kitab (Taurat dan Injil) mengenal Muhammad seperti mereka mengenal anak-anaknya sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian di antara mereka menyembunyikan kebenaran, padahal mereka mengetahui.”

No comments: