Hi uols!! Salam Taqwa salam ilmu utk uols, x lama lagi aku akan bercuti utk balik ke kampung, kali ni fligt aku awal pagi lebih kurang jam 9 pagi so sempat la nk solat zohor bila tiba d Kota Kinabalu nnti. Pernah x uols terfikir mcmna nk solat dlm kapal terbanng? Dulu masa aku mengerjakan haji bersama emak aku pernah la skali aku buat cuma solat menghormati waktu hanya ddk d tempat ddk sendiri jer. Kemudian setiba di lapangan terbang Jeddah kenalah qadha solat tersebut. Sesunnguhnya Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Maka dirikanlah (dengan sempurna)
solat itu, sesungguhnya solat merupakan satu ketetapan yang diwajibkan
kepada orang-orang yang beriman yang telah ditentukan waktu-waktunya. (al-Nisa':73).

Solat merupakan ibadah pertama yang akan
dihisab di akhirat kelak. Menyingkap kembali peristiwa Isra' Mikraj di
mana Rasulullah saw menerima kefardhuan Solat lima waktu ke atas
ummatnya menunjukkan Solat merupakan satu ibadah yang istimewa ditambah
lagi dengan keterangan Hadis Rasulullah bahawa solat adalah tiang
agama. Oleh itu, kita sebagi muslim yang mengaku berpegang dengan
ajaran Al-Quran dan Sunnah perlu mengambil berat soal tanggunjawab
Solat lima waktu ini walaupun di mana kita berada. Inshaa Allah akan diterangkan beberapa persoalan sekitar cara solat seorang musafir di dalam penerbangan.
Kewajipan Solat
Seperti mana yang kita semua maklumi bahawa solat adalah satu
kewajipan yang sangat dituntut oleh agama. Maka umat Islam dilarang
meninggalkan solat tanpa sebab walaupun berada dalam keadaan darurat
sekalipun dalam keadaan perang, apatah lagi jika kita berada pada
satu-satu tempat yang memungkinkan kita untuk menunaikan solat seperti
di atas kenderaan sebagai contoh. Larangan meninggalkan ini juga telah
ditegaskan oleh Nabi saw di dalam hadisnya yang bermaksud: “Beza
antara orang Muslim dan orang kafir adalah pada solat, sesiapa yang
meninggalkannya, maka dia telah kufur.” (Riwayat Muslim no 82)
Justeru, ramai orang Islam yang masih lagi keliru dengan hal ini
iaitu dengan sewenang-wenangnya meninggalkan solat tanpa sebab. Tidak
kurang juga ada sesetengah pihak yang meringan-ringankan kewajipan ini
dengan menggalakkan orang ramai menggantikan solat setelah sampai ke
destinasi, dan ada juga yang mengatakan bahawa boleh solat hormat waktu,
padahal perkara ini tidak ada asalnya di dalam sunah jika kita
perhalusi. Allah swt telah berfirman yang bermaksud: “Dan mengharamkan
mengada-ada terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui .” (Al-A’rof:33)
Kita jangan terlalu bermudah-mudah dalam mengamalkan agama, tetapi
hendaklah kita mengambil pandangan mereka yang ahli seperti para ulama’
Mujtahid yang faham terhadap nas-nas, yang mempunyai usul di dalam
perbahasannya. Oleh itu, saya akan cuba huraikan panduan ini dalam
tajuk-tajuk yang kecil agar penerangan ini nampak mudah dan praktikal
dengan izin Allah swt. Pembahagian ini adalah bertujuan untuk memudahkan
para pembaca meneliti dan menilai hujah-hujah yang dikemukakan secara
yakin dan adil.
Bagaimanakah cara solat yang perlu dipraktikkan
oleh seseorang yang berada di dalam kapal terbang, sedangkan dia akan
melalui satu perjalanan yang jauh (musafir) tanpa henti. Bagaimana
sekiranya waktu solat itu adalah waktu solat yang tidak boleh dijama’
seperti Solat Subuh? Dan, bagaimana pula sekiranya waktu solat tersebut
boleh dijama’ dan penerbangannya akan berhenti (transit) seketika di
mana-mana destinasi?
Antara syarat sah
solat adalah menghadap ke kiblat. Kita hanya mampu menghadap ke kiblat
apabila kita berada di atas permukaan bumi. Apabila kita berada di atas
kapal di tengah-tengah lautan bererti kita masih mampu memenuhi
syarat-syarat sah solat, maka ketika itu wajib ke atas kita untuk
menunaikan solat. Berbeza dengan situasi kita apabila berada di atas
kapal terbang di tengah-tengah ruangan udara.
Adapun apabila kita
berada di dalam kapal terbang adalah dikira kita sudah tidak dapat
memenuhi salah satu daripada syarat sah solat tersebut. Maka apa yang
diwajibkan ke atas kita adalah melakukan ‘solat hormat waktu’.
Apakah yang di maksudkan dengan ‘solat hormat waktu’?
‘Solat hormat waktu’
bermaksud melakukan solat dengan sekadar yang termampu kerana solat
tersebut tidak lengkap rukun dan syarat-syaratnya. ‘Solat hormat waktu’
yang telah kita lakukan hendaklah di qadha semula secara sempurna
apabila kita telah tiba di mana-mana destinasi yang membolehkan kita
menunaikan solat secara sempurna.
Sekiranya sesorang itu dalam keadaan berhadas kecil (tiada wudhu’), apakah yang perlu dilakukan untuk membolehkannya solat?
Selagi kita mampu
memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat sah solat maka wajib ke atas kita
memenuhinya terlebih dahulu sebelum kita melakukan ‘solat hormat waktu’
tersebut.
Sebagai contoh apabila
kita berada di atas kapal terbang : selagi mana kita mampu berwudhuk
menggunakan air, maka wajib ke atas kita menggunakannya. Selagi mana
kita mampu menggantikan wudhuk dengan bertayammum, maka wajib ke atas
kita bertayammum. Selagi mana kita mampu melakukan solat secara berdiri
di dalam kapal terbang, maka wajib ke atas kita melakukan solat secara
berdiri. Sekiranya tidak mampu, cukup sekadarnya kita melakukan solat
secara duduk di atas kerusi.
Adakah solat yang dilakukan semasa dalam perjalanan/penerbangan di atas kapal terbang tadi perlu di qadha’ balik?
Kita hanya diwajibkan
solat 5 kali sehari. Bererti apabila kita berlepas dari Malaysia pada
22.09.2011 jam 6.30 pg (selepas solat subuh). Kemudian kita tiba untuk
transit di Dubai dalam waktu subuh negara tersebut hari yang sama
(22.09.2011) maka tidak perlu ke atas kita untuk melakukan solat subuh
sekali lagi.
Sekiranya kita
berlepas dari Malaysia pada 22.09.2011 jam 6.30 pagi (selepas waktu
subuh). Kemudian kita melakukan penerbangan terus tanpa transit dan tiba
di Mesir pada 23.09.2011 jam 2.00 petang waktu zuhor Mesir. Maka wajib
ke atas kita menunaikan solat fardhu zuhor tersebut secara sempurna
kemudian melakukan solat qadha zuhor, asar, maghrib, isyak bagi hari
(22.09.2011) dan solat qadha subuh bagi hari (23.09.2011) yang telah
kita lakukan sebagai ‘solat hormat waktu’ di atas kapal terbang tadi.
‘Solat hormat waktu’
tidak boleh dilakukan secara jamak dan qasar, ia perlu dilakukan
mengikut waktu solat tersebut (waktu demi waktu).
Dalil Pensyariatan Solat Dalam Kenderaan Dan Keringanan Dalam Melaksanakannya
Kita dibolehkan menunaikan solat sama ada di dalam kereta, bas,
pesawat, kereta api, dan lain-lain yang seumpama dengannya. Antara dalil
yang membolehkan kita menunaikan solat di dalam kenderaan ialah
daripada hadis Nabi saw yang bersabda ketika ditanya oleh seorang
sahabat: “Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu?” Baginda
menjawab: “Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau
takut tenggelam.”(Riwayat al-Bazzar dan Daruqutni, disahihkan oleh Imam
al-Hakim). Berdasarkan hadis ini sebagai (illah) untuk membuktikan
bahawa kita dibolehkan menunaikan solat ketika berada dalam apa-apa
jenis kenderaan seperti apa yang saya sebutkan di atas.
Ya’la bin Murrah r.a menerangkan bahawa para sahabat pernah berserta
Rasulullah saw dalam satu perjalanan, lalu sampai ke satu lembah sedang
beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan
di bawahnya sangat basah. Kemudian datang waktu solat lalu beliau
memanggil tukang azannya, lalu ia azan dan iqamah, lantas Rasulullah saw
terus maju kenderaannya dan solat berjemaah bersama mereka (para
sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendah dari
rukuknya. (Riwayat Imam Ahmad dalam musnadnya 4/174)
Peristiwa di atas menjelaskan bahawa apabila ada kesukaran solat
dalam keadaan berdiri di atas kenderaan kerana bahaya, ruang yang
terbatas, dan amat menyukarkan, maka kita boleh solat dalam keadaan
duduk. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai kepada tahap darurat
tetapi memadai dengan keadaan yang memberatkan.
Berdasarkan kedua-dua hadis di atas menjadi bukti bahawa boleh
menunaikan solat-solat fardu di atas kenderaan, jika seseorang itu
menghadapi suasana kesukaran maka ia boleh solat secara duduk.
Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para sahabat seperti Anas bin
Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain. Solat sebegini adalah tetap
sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan tidak perlu
diulangi. Akan tetapi jika seseorang itu mampu melaksanakan solat di
atas kenderaan secara berdiri tetapi ia solat duduk, maka solat itu
tidak dikira sah kerana dianggap sengaja mengabaikan dan meremehkan
rukun kewajipan solat. Itulah pendapat yang dipegang oleh jumhur fuqaha’
seperti mazhab Syafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain. (Imam an-Nawawi
–Majmu’ Syarh al-Muhaddzab 3/241-234)
Lagi Hadis Nabi saw yang bermaksud: ““Hendaklah kamu tunaikan solat
dengan berdiri. Jika tidak mampu, tunaikan dengan duduk. Jika tidak
mampu, tunaikan dengan mengiring di atas rusuk. Jika tidak mampu,
tunaikan dengan isyarat” (Riwayat Bukhari)
Berdasarkan dalil-dalil ini, ia banyak membantu kita untuk menunaikan
kewajipan solat di dalam pesawat. Apabila kita berada di dalam pesawat,
kita tidak digalakkan untuk bangun dari tempat duduk kita kerana
khuatiri kita akan terjatuh disebabkan ke tidak kestabilan pesawat, maka
kita diberi sedikit keringanan untuk solat secara duduk.
Bagaimana Untuk Menentukan Arah Kiblat Di Dalam Pesawat
Ini adalah perkara yang sukar juga apabila kita berada di dalam
pesawat tatkala ingin menentukan arah kiblat kita. Sebagaimana yang kita
sudah tahu bahawa menghadap ke arah kiblat adalah syarat sah solat,
jika kita tidak menghadap ke arah kiblat maka solat kita tidak sah.
Namun, apabila kita berada di dalam pesawat atau kenderaan yang lain,
keringanan itu masih ada iaitu memadai di awal angkat takbir yang
pertama kita menghadap ke arah kiblat dengan kadar 90 darjah kiri atau
kanan, maka apabila pesawat bertukar arah selepas itu dan dada kita
tidak lagi menghala ke arah kiblat, maka ia dimaafkan.
Walau bagaimanapun, jika dia mengetahui akan hal pergerakan pesawat
atau kapal laut bergerak ke arah mana seperti kapten contohnya, maka ia
wajib mengikut arah kiblat dengan memalingkan dadanya. Ini adalah
berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud: “Orang yang solat di atas
kapal tetap menghadap kiblat setiap kali kapal itu berpindah arah.”
(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189 No:6634) Lagi: “Mereka solat berjemaah di atas kapal dengan berdiri, dan
mereka tetap menghadap kiblat ke arah mana pun kapal berputar.”
(Dikeluarkan oleh Ibnu Abi Syaibah di dalam Al-Musannif 3/189 No:6637)
Athar di atas menunjukkan bahawa apabila seseorang itu tahu ke arah
mana kapal berlayar seperti kapal laut atau pesawat, maka ia wajib
menggerakkan badannya ke arah kiblat. Akan tetapi bagi kita yang tidak
tahu selok-belok laluan pesawat atau kapal, memadai kita hanya
mengangkat takbir pertama ke arah kiblat dan selepas itu dimaafkan.
Lagi satu hal keadaan, apabila memang kita tidak tahu langsung di
mana arah kiblat kita. Selain sudah bertanya kepada anak kapal dan alat
pembantu yang disediakan, maka kita dibenarkan untuk menganggarkan arah
kiblat setepat mungkin. Hujah ini berdasarkan hadis yang bermaksud:
“Jabir bin Abdillah r.a menerangkan: Kami pernah solat di satu malam
yang mendung dan kami tidak mengetahui arah kiblat. Tatkala kami selesai
solat kami perhatikan bahawa kami (sebenarnya) solat bukan menghadap ke
arah kiblat. Lalu kami sampaikan hal ini kepada Rasulullah saw, lalu
beliau berkata: Kamu telah melakukan yang terbaik. Seterusnya Jabir
berkata: Dan beliau tidak menyuruh kami mengulanginya.” (Riwayat Imam
Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra) Berdasarkan kepada hadis di atas, para fuqaha’ telah bersepakat
bahawa solat tetap wajib dilakukan walaupun tidak menghadap ke arah
kiblat dan tidak perlu mengulanginya.
Bagaimana Jika Tahu Yang Kita Membelakangkan Arah Kiblat?
Hal ini adalah sukar sedikit kerana apabila seseorang itu tahu di
mana arah kiblat setelah berusaha, maka wajib baginya menghala ke arah
kiblat. Jika kedudukan Mekah terlalu menghadap ke belakang secara 100%,
dan solat secara duduk untuk menghadapnya sangat tidak mengizinkan.
Perlu berusaha meminta izin pramugara/i untuk menggunakan mana-mana
tempat yang sesuai bagi menunaikan. Namun, jika arah Mekah hanya perlu menoleh 90 darjah kanan atau kiri,
maka kita masih boleh menunaikan solat di tempat duduk kita. Apa yang
penting semasa permulaan takbir dada kita menghadap ke arah yang
dikehendaki, pergerakan kapal terbang selepas itu tidak perlu lagi
dihiraukan.
Penentuan Waktu-Waktu Solat Dalam Pesawat
Seperti yang kita ketahui bahawa waktu ketika berada di bumi sedikit
berbeza dengan keadaan waktu di angkasa, maka menjadi masalah pada kita
untuk menentukan waktu-waktu solat terutamanya waktu solat subuh. Maka
inilah masa yang paling sesuai untuk kita mempraktikkan ilmu pengetahuan
kita dalam membaca pergerakan matahari seperti apa yang kita belajar
daripada buku-buku fiqh.
Contohnya apabila kita ingin mengetahui waktu maghrib, maka apabila
kita lihat sahaja di luar tingkap yang matahari sudah terbenam, maka
masuklah waktu maghrib, apabila hilang cahaya kemerahan maka masuklah
waktu isyak.
Adapun bagi waktu Zohor dan ‘Asar, boleh ditunaikan dengan berijtihad
dan berusaha mencari (untuk mengetahui masuknya waktu), apabila kita
dapat mengetahui waktunya di negeri yang kita berada di atasnya, maka
kita hendaklah melewatkan sedikit solat dari tempoh itu, kemudian
barulah kita solat, ini kerana waktu kita berada di atas (di dalam
pesawat) tidak sama seperti waktu di bumi. Kita juga boleh menjamakkan
antara Zohor dengan ‘Asar, dan di antara Maghrib dengan ‘Isyak sama ada
jama’ al-Taqdim ataupun jama’ al-Ta’khir berdasarkan mana yang lebih
mudah untuk ditunaikan. Kita juga boleh bertanya kepada Kapten kapal
terbang, kerana dia memiliki peralatan yang boleh mengetahui waktu-waktu
solat di udara.
Dan ketahuilah, jika yang terlindung baginya (mana-mana) waktu solat,
Maka dia berijtihad dengan kadar kemampuannya, kemudian dia solat, maka
solatnya sah dan tidak perlu mengulanginya.
Contoh praktikal yang digambarkan oleh Ustaz Dr Zaharuddin semasa
beliau ingin pulang ke Malaysia pada waktu subuh adalah seperti berikut:
“kaedah saya menentukan masuk waktu Subuh adalah mengikut kiraan Dubai,
sebagaimana yang pembaca boleh lihat, kami akan berlepas dari Dubai
pada jam 03.15 pagi iaitu satu setengah jam sebelum Subuh di Dubai.
Waktu Subuh di Dubai adalah 4.48 pagi. Jika melihat kepada peta dunia,
jika sebuah flight berlepas dari Dubai menghala ke Malaysia, dalam
tempoh satu jam setengah, saya yakin kapal terbang itu akan berada di
atas Indian Ocean. Maka waktu solat Subuh di tengah lautan itu boleh
mengikut tanah yang terdekat dengannya, yang saya yakin iaitu Oman
atau mungkin juga Karachi. Setelah disemak, waktu Subuh bagi Oman
adalah pada jam 4.46 pagi ( waktu Oman adalah sama dengan Dubai)
manakala Karachi pada jam 5.55 pagi. Namun setakat ini saya lebih yakin
kapalterbang akan lebih dekat dengan ruang waktu Oman, justeru subuh dalam waktunya sama ada waktu Oman atau Karachi.”
Bagaimana Bagi Perempuan Yang Solat Tanpa Telekung Di Dalam Kenderaan
Perempuan yang baik apabila keluar sahaja daripada rumah, wajib
baginya menutup aurat dengan sempurna. Maka tidak menjadi masalah
padanya untuk melakukan solat dengan pakaian tersebut. Kita harus faham
bahawa sejarah telekung bermula di asia tenggara. Jadi ramai yang salah
faham bahawa menyangka yang telekung adalah syarat sah daripada solat.
Kita perlu tahu bahawa syarat sah bagi solat ialah menutup aurat dengan
sempurna seperti pakaian kita apabila keluar dari rumah. Telekung
hanyalah alat untuk menutup aurat sama seperti pakaian yang lain.
Adakah Solat Yang Dilakukan Dengan Rukhsah Iaitu Dengan Mengambil Kemudahan Dan Kelonggaran Tadi Perlu Diulangi Semula
Tidak perlu mengulanginya semula. Ibadah yang wajib, jika telah
dilaksanakan mengikut yang termampu dilakukan (walaupun dengan
meninggalkan sebahagian syarat atau rukunnya kerana tidak berupaya
dilakukan, bukan kerana sengaja untuk bermain-main atau
mempermudah-mudahkan agama), maka dikira ibadah itu dan tidak perlu lagi
diulangi. Inilah pandangan Imam al-Muzani (seorang murid terkenal Imam
Syafi’ie) katanya: “Khusus mengenai solat fardhu, Imam al-Muzani
berkata; “setiap solat yang wajib dilaksanakan di dalam waktunya
sekalipun dilaksanakan dengan terdapat suatu kekurangan, tidak wajib
diulangi semula”. (Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, jil. 4, Kitab
al-Haidh, bab at-Tayammum).
Dan pendapat ini juga disokong oleh Imam an-Nawawi kerana menurut
beliau; pandangan ini paling kuat dari sudut dalilnya kerana Allah
berfirman; “Maka bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu”
(at-Taghabun: 16). Dan Nabi saw pula bersabda: “Apabila aku perintahkan kamu dengan
suatu urusan, maka lakukanlah mengikut yang termampu oleh kamu.”
(Riwayat dari Abu Hurairah r.a) Jadi berdasarkan pandangan Imam al-Muzani di atas, tidak ada yang
dikatakan solat hormat waktu (yakni solat yang dilakukan semata-mata
untuk menghormati waktu solat, bukan untuk menggugurkan tuntutan solat)
kerana solat yang dilakukan dengan rukhsah itu telah pun sah dan dikira
oleh Syarak kerana ia dilakukan mengikut kadar kemampuan yang ada.
Akhirnya, kewajipan solat di dalam kenderaan tidak
akan jatuh selagi mana seseorang itu berilmu untuk mendapatkannya.
Meninggalkan solat dengan sengaja merupakan dosa yang amat besar,
malangnya berapa ramai yang memenuhi solat lima waktunya sehari semalam!
Amat sedikit sekali bilangannya apatah lagi jika berada dalam keadaan
tertentu, maka lebih senang untuk meninggalkannya.
Justeru, pendekatan ilmu itu sangat penting bagi melaksanakan ibadah
serta disiplin-disiplinnya dengan sempurna sebagaimana tempat-tempat
yang saya sebutkan di atas. Kita tidak boleh lagi memberi alasan bahawa
kita tidak tahu itu dan ini mengenai ibadah kita, sedangkan kita masih
lagi malas mencari ilmu. Oleh itu, Nabi saw telah menegaskan kepada
orang yang malas menuntut ilmu dengan sabdanya: “Mencari ilmu adalah
fardu ke atas setiap orang Islam.” (Riwayat Sahih Ibnu Majah)
Sesiapa yang masih keliru atau tidak faham, boleh terus bertanya
kepada saya sama ada terus komen di bawah atau pun di bahagian Hubungi
Penulis yang telah saya sediakan di tag di atas. Semoga dengan
penyampaian semi ilmiyah ini dapat membantu kita semua dalam
melaksanakan ibadah berdasarkan konsepnya yang betul serta mudah dalam
pelaksanaannya.
*Sumber:
- fikrahhalaqah
- coretanmohamadzubir