Journal 2009 ~ #87

Dah lama aku tak menulis dengan sungguh-sungguh. Sejak kebelakangan ni, aku terlalu sibuk dengan pelbagai tugasan dan kerja yang terpaksa disiapkan. Sampaikan, kadangkala aku tidak mempunyai masa untuk diri aku sendiri. Walaupun sememangnya aku sendiri yang memilih untuk melakukan semua ini. Namun saban hari berlalu, seperti tiada hasil yang jelas yang aku dapat lihat.

Namun langkah tetap ku teruskan dengan harapan suatu hari nanti, segalanya akan membuahkan hasil yang lumayan untuk aku dah keluarg ku. Itulah tujuan asal aku melakukan semuanya ini. Teringat perbualan ku dengan teman ku yang kini telah kembali menemui-Nya. Saat yang aku rasakan penuh keceriaan. Bercerita dengan teman ku mengenai semua rancangan yang aku ingin lakukan ibuku.

Walaupun ribuan kilometer menjarakkan kami, perbualan di gagang telefon tersebut memberikan aku seribu satu kebahagiaan. Walaupun saat itu, terlalu banyak lagi rahsia yang ku simpan dari teman ku. Kebanyakannya mengenai apa yang aku lakukan untuk memberi kesenangan kepadanya.

Dialah pendorong aku selama ini, dialah yang memberi cabaran dan semangat untuk aku meneruskan perjuangan. Terlalu rindu hati ini untuk berbual dengannya. Namun apakan daya. Segalanya tinggal kenangan. Saban hari aku merenung jauh menembusi tingkap di hadapan meja ku ini. Merenung apakah yang akan aku lalui? Adakah cita-citaku untuk memberi kesengan kepada ibuku yang kini hanya tinggal ibuku akan tercapai? Adakah usaha ku selama ini untuk memajukan diriku dalam segenap cabang yang aku ceburi akan membuahkan hasil?

Tiada siapa yang boleh menjawab persoalan itu. Kehilangan ayahanda ku sehingga hari ini memberi impak yang besar terhadap kehidupan aku. Apa yang ku lakukan selama ini adalah semata-mata untuk melihat wajahnya yang gembira. Walaupun jarang sekali kata-kata pujian dilontarkan. Namun kegembiraan dan riak wajahnya adalah segalanya yang aku harapkan. Kebahagiaan tersebut tidak dapat dibandingkan dengan wang ringgit atau sebarang hadiah. Ianya adalah segalanya yang aku inginkan untuk kejayaan ku. Namun kini segalanya telah tiada…

Kenapa hari ini aku begitu rindu kepadanya? Aku sendiri tidak pasti. Adakah terlalu banyak tekanan dalam kehidupan, atau aku memerlukan sebuah penghargaan yang telah lama tidak aku kecapi. Kejayaan demi kejayaan bersilih ganti, namun tiada untuk aku kongsi kegembiraannya dan aku tidak merasakan kejayaan itu bermakna. Entahlah…

No comments: