Kawad Maut: Sandakan dan Ranau POW Champ 1942 1945 (SIRI 1)

Menyingkap kembali sejarah lama kita sedia maklum Sabah kaya dengan kisah sejarah yang mungkin telah dilupakan atau ada yang tidak pernah kisah tentang sejarah ini. Ikuti cerita sejarah yang kian dilupakan.

The Sandakan and Ranau POW Camps and The Death Marches 1942 - 1945 - SIRI 1


“Empat tahun cukup lama dan satu catatan sejarah hitam buat kami rakyat yang ditindas ketika penjajahan tentera Jepun di Sandakan.

“Bagai tiada waktu siang,” begitulah kisah yang mampu digambarkan ketika waktu penjajahan tentera Jepun di Sandakan semasa Perang Dunia Kedua bermula pada 19 Januari 1942 hingga 19 Oktober 1945.

Keperitaan yang dialami ketika itu berubah sebaik saja kemunculan Briged Divisyen Ke-9 tentera Australia berjaya menawan semula bandar ini dari tentera Jepun.

Kisah penderitaan rakyat dari kezaliman terhadap tawanan yang dilakukan oleh tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua (War II) itu terus menjadi lipatan sejarah yang tidak ingin diulangi bagi keluarga mangsa tawanan perang dan penduduk di bandar Sandakan.

Kesan paling kejam yang masih diingati sehingga hari ini ialah ‘Kawad Maut’ yang dikenali dengan kisah pilu menyayat hati ‘Death March’ dimana tentera Jepun telah memaksa sejumlah 1,066 orang tawanan perang bergerak secara berkumpulan dari Kem Tawanan Perang (POW) Sandakan ke Pekan Ranau yang meragut nyawa lebih 1,000 orang sejauh 260 kilometer.

Lipatan sejarah pahit itu pada 1945 hingga hari ini, telah mengungkap lembaran cerita 71 tahun.

Kesan penjajahan tentera Jepun dalam Perang Dunia Kedua (World War II), sehingga hari ini masih boleh dilihat dan kisahnya menyimpan seribu sejarah hitam dalam ingatan keluarga tawanan yang meninggal dunia, begitu juga tawanan yang terselamat dari kalangan penduduk tempatan di Sandakan.

Sandakan merupakan sebuah bandar yang telah dijadikan oleh tentera Jepun sebagai POW utama di rantau Asia.

Sehubungan dari kesan itu, tapak POW bagi tawanan Australia dan British, juga menyimpan kisahnya apabila lokasi gelap itu dijadikan landasan lapangan terbang untuk kemudahan tentera Jepun dari tahun 1941-1945.

Image result for sandakan pada era 70-an
Pembinaan landasan lapangan terbang Sandakan oleh tentera Jepun juga turut memaksa tawanan perang di POW yang terletak di Batu 7 itu menjadi buruh paksa bagi menyiapkan dua buah landasan lapangan terbang berkenaan.

Dari tahanan itu, 2,000 orang adalah tahanan Australia dan 750 orang British. Pada tahun berikutnya iaitu tahun 1944, pada bulan September jumlah tahanan itu berkurangan ke 1,800 orang Australia dan 600 orang British di pusat tahanan berkenaan.

Semua tawanan perang telah diarahkan membina lapangan terbang dengan menggunakan peralatan tangan di kawasan yang berpaya. Lapangan terbang ini dibina adalah amat penting bagi tentera Jepun untuk tempat mengisi minyak angkatan udara mereka sebagai satu langkah memperkuatkan pertahanannya di kawasan Timur.

Kira-kira 4,000 orang buruh bangsa Jawa juga turut bekerja membina lapangan terbang berkenaan. Akhirnya dua buah landasan lapangan udara itu siap dan digunakan oleh tentera Jepun.

POW ini juga mempunyai sejarah paling hitam dimana peristiwa kawat maut Sandakan di penghujung perang dunia kedua bermula di daerah ini merupakan peristiwa yang sentiasa diingati oleh keluarga tawanan perang dan penduduk di bandar ini kerana telah mengorbankan ramai tawanan yang terdiri dari tentera Australia dan British.

Kesan peperangan dunia kedua ini masih dapat dilihat di sini yang kini lokasi berkenaan ada dijadikan sebagai kunjungan pelancong.

Tetapi ramai orang tidak mengetahui di Sandakan terdapat beberapa lokasi kesan sejarah perang dunia kedua yang masih dapat dilihat sehingga hari ini.

Dalam mengingati kisah tragis tawanan dan kini ia menyimpan kesan sejarah perang, Taman Peringatan Sandakan yang merupakan tapak POW Batu 7, ini telah dibangunkan dari tahun 1986.
Pelbagai versi cerita perang (WAR II), diolah untuk tatapan umum, bagaimanapun versi cerita oleh penulis ketika ini masih lagi menjadi tatapan umum apabila kisah tragis berusia 71 tahun kini menjadi artifak perang.

Setiap 15 Ogos, Sambutan Hari Peringatan Sandakan diadakan bertujuan memperingati para tawanan Australia dan British yang terkorban ketika menjadi tawanan tentera Jepun semasa perang dunia kedua di Sandakan.
Penulis juga telah menjejaki beberapa lokasi lain yang mempunyai nilai sejarah perang serta menyimpan peninggalan sejarah perang dunia kedua di Sandakan.

Ini termasuklah tapak landasan kapal terbang yang kini dijadikan Lapangan Terbang Sandakan dan cerita keperitan bekas tawanan juga turut ditulis oleh penulis dalam siri 2 dan siri 3.

Manakala penulis juga membongkar cerita kesan-kesan perang dunia kedua yang terdapat di Pulau Berhala, Pulau Langkayan, Masjid Jamek Al-Sheikh Hasbullah Al-Tohiri dan Sungai Muanad yang masih ramai tidak mengetahui terdapat kesan sejarah perang yang berlaku di kawasan itu dalam siri 4, 5 dan 6.

SEJARAH SANDAKAN

Penulis telah menemui Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Mohd Hamsan Haji Awang Supain bagi mengetahui sejarah bandar Sandakan. Beliau berkata semasa pentadbiran tentera Jepun, nama Elopura digunakan semula untuk bandar ini sehingga tamat peperangan dua kedua.

Dari sudut sejarah, bandar Sandakan pernah menjadi pusat pentadbiran dan ibu negeri Borneo Utara semasa zaman pemerintahan British.

Mohd Hamsan berkata Sandakan merupakan sebuah daerah yang terkenal sebagai pintu masuk pelancongan di negeri Sabah kerana memiliki destinasi-destinasi eko-pelancongan yang terbanyak di negeri Sabah seperti Sungai Kinabatangan, Gua Gomantong, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Taman Peringatan Sandakan, Taman Pulau Penyu, Rumah Agnes Kieth, Masjid Jamek Al-Sheikh Hasbullah Al-Tohiri, Gereja St. Micheal dan lain-lain lagi.

Pada awal tahun 1870-an, pantai timur Sabah pada masa itu dikatakan berada di bawah pemerintahan Sultan Sulu.

Pendudukan Eropah yang terawal di kawasan Sandakan ditubuhkan oleh William Clarke Cowie, seorang penyeludup senjatapi berbangsa Scotland dari Glasgow telah menamakan penempatannya sebagai ‘Sandakan’, iaitu istilah bahasa Sulu bagi ‘tanah yang digadai’, namun kemudiannya tempat ini dikenali sebagai ‘Kampung German’ kerana kehadiran sebilangan besar orang Jerman yang di situ.

Mohd Hamsan memberitahu Kampung German terletak di Pulau Shanghai telah musnah terbakar pada 15 Jun 1879 yang telah memaksa Residen British yang baharu pada masa itu, William B. Pryer memutuskan untuk tidak membina semula kampung berkenaan sebaliknya berpindah ke Buli Sim Sim pada 21 Jun 1879.

“Apabila berpindah ke Buli Sim-Sim, William telah menamakan penempatan baharu itu sebagai ‘Elopura’, yang bermaksud bandar yang indah. Beberapa tahun kemudian, nama Elopura ditukar semula kepada ‘Sandakan’ sehingga hari ini,” katanya.

SANDAKAN MUSNAH DI BOM

Penjajahan tentera Jepun di Sandakan ketika Perang Dunia Kedua bermula pada 19 Januari 1942 dan hanya bertahan sehingga pada 19 Oktober 1945 selepas sebuah Briged Divisyen Ke-9 tentera Australia berjaya menawan semula bandar ini dari tentera Jepun.

Beliau berkata semasa pentadbiran tentera Jepun, nama Elopura digunakan semula untuk bandar ini sehingga tamat peperangan dua kedua.

“Antara kezaliman yang dilakukan oleh tentera Jepun pada ketika Perang Dunia Kedua yang menjadi sejarah hitam terhadap keluarga tawanan dan penduduk di bandar ini ialah Kawat Maut yang mana tentera Jepun memaksa sekitar 1,066 orang tawanan perang berpindah ke Pekan Ranau dengan berjalan kaki sejauh 260 kilometer dari Pusat Tawanan Perang Batu 7 ke Ranau,” katanya.


Mohd Hamsan berkata tawanan-tawanan yang berjaya menempuh perjalanan ke Ranau hidup-hidup diasakkan ke dalam pondok-pondok yang kotor dan kebanyakan mereka ini mati sama ada akibat penyakit disenteri atau dibunuh oleh pengawal penjara tentera Jepun.

“Semsa Perang Dunia Kedua, para tawanan Australia dan British ditawan oleh Tentera Jepun antara tahun 1942 dan 1943 dimana lebih kurang 6,000 orang tentera sekutu melalui pintu gerbang Kem Tawanan Sandakan,” katanya.

Namun, katanya sejumlah tentera dipindahkan ke Ranau pada tahun 1943 dan 1944, seramai 1,793 orang Australia dan 641 orang British yang tinggal.

“Daripada semua kem di mana pihak Jepun menawan tawanan perang, Sandakan yang paling mengerikan. Sebabnya - pada hari-hari terakhir perang, semasa pihak Jepun mula memikirkan kekalahan mereka yang akan berlaku, dan kerana takut ditakluki, mereka memutuskan untuk memindahkan para tawanan ke Jesselton (nama lama Kota Kinabalu),” jelasnya.

Mohd Hamsan memberitahu terdapat tiga pasukan tawanan secara berasingan berangkat selama tempoh enam bulan untuk berkawat ke Ranau yang mana kesemua mereka berangkat dari pintu gerbang kem tawanan ini.

“Antara 1,066 tawanan yang berangkat, hanya enam yang pulang ke Australia dengan selamat. Tiada seorang pun tentera British yang terselamat,” katanya.

Beliau berkata dua orang berjaya melarikan diri pada bulan Julai 1945 semasa kawat kali kedua. Mereka ialah Askar Meriam Owen Campbell dari Rejimen Lapangan Australia ke 2/10 dan Kopral Meriem Richard Dick Braithwaite dari Rejimen Lapangan Australia ke 2/15.

”Manakala empat orang lagi berjaya melarikan diri pada bulan Julai semasa di Ranau ialah Prebet Nelson Short (Batalion ke 2/18), Pegawai Waran Wil- liam Hector Bill Sticpewich (Kor Angkatan Tentera Darat Australia), Prebet Keith Botterill (Batalion ke 2/19) dan Lans Koperal Meriam William Bill Moxham (Rejimen Lapangan Australia ke 2/15),” katanya.

Setelah tamatnya perang, Mohd Hamsan berkata Bandar Sandakan ranap keseluruhannya akibat pengeboman tentera sekutu dan sebahagiannya lagi oleh tentera Jepun.

Oleh itu, katanya Sandakan yang sebelum itu menjadi ibu negeri Sabah dan merupakan pusat perdagangan Tanah Jajahan British pada tahun 1946. Pentadbiran Borneo Utara telah menukar ibu negeri Sabah untuk dipindahkan ke Jesselton dimana kini dikenali sebagai Kota Kinabalu.

“Walaupun menjadi bandar kedua terpenting selepas peperangan dunia kedua, Bandar Sandakan kemudiannya kembali membangun dan menjadi pelabuhan kedua di Sabah selepas Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata pelabuhan ini penting untuk eksport kayu balak, koko, kopi, gentian manila, sarang burung dan sagu.

“Sandakan juga adalah antara bandar-bandar yang paling sibuk di Malaysia Timur. Pada Januari 2003, Sandakan Harbour Square, sebuah projek pembaharuan bandar, dilancarkan untuk cuba menghidupkan kembali pusat bandar sebagai pusat komersil utama di Sandakan,” katanya. Mohd Hamsan menambah projek ini akan menampilkan sebuah pasar besar dan pasar ikan yang baharu dan telah siap pada tahun 2006.

“Sebuah pusat membelibelah yang dikenali sebagai Sandakan Harbour Mall dengan memiliki hotel taraf lima bintang serta lot-lot kedai 3 dan 4 tingkat serta panggung wayang terdapat di bandar baharu ini,” katanya. -Sumber Utusan Borneo 

No comments: