Salam Perpaduan Salam Perjuangan!
Aurat Antara Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam
Assalamualaikum! Hi uols! Sering kali kita tak pernah ambil tahu hal ini, baru kita kita tahu dan sedar akan hal remeh ini. Baru lepas baca dlm myibrah.com di mana aurat wanita islam pada wanita bukan islam itu harus dititik berat! Bukan sesuka hati jer yer.. jom baca perkongsian ini sebagai panduan ilmu dan pengetahuan kita, agar kita tidaklah jahil tentang halal haram dalam aurat kaum wanita..
Soalan
Saya pelajar sebuah IPT yang menetap di asrama yang bercampur dengan
wanita bukan Islam. Menjadi satu bebanan bagi saya dan kawan2 saya untuk
memelihara aurat dalam keadaan orang kafir tinggal sebilik dangan kami.
Jadi saya ingin mendapat penjelasan dari ustazah tentang hokumnya
jika kami mendedahkan aurat zahir kami kerana keadaan terpaksa.
Jawapan
Saya sering ditanyakan masalah ini,terutamanya melibatkan mahasiswa
dan pelajar yang tinggal sebilik dengan wanita bukan Islam. Kerana ini
sedikit sebanyak akan mendatangkan kesukaran pergerakan seharian mereka.
Menutup aurat bagi wanita muslimah merupakan sesuatu yang diwajibkan
oleh syarak. Ianya merupakan suatu ketetapan yang pasti berdasarkan
dalil daripada al-Quran dan sunnah. Seorang wanita muslimah itu
dibenarkan menampakkan aurat mereka hanya kepada golongan-golongan
tertentu seperti yang dijelaskan secara terperinci di dalam al-Quran
Surah al-Nur ayat 31 yang bermaksud :
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan mereka, atau …………” .hingga akhir ayat.
Berdasarkan ayat di atas, terdapat khilaf para ulama dalam hal ini.
Allah tidak menyebut lafaz “an-nisaa” bermaksud wanita-wanita. Tetapi Ia
menyebut “nisaaihinna” bermaksud wanita-wanita mereka. Lafaz
“nisaaihinna” bermakna Allah menghadkan kebebasan perempuan Islam dalam
ruang lingkup tertentu. Apakah ruang lingkup tersebut? Di sinilah
terdapat perselisihan pendapat di antara para ulama’.
Ada yang mengatakan bahawa boleh bagi wanita Muslimah membuka aurat
hanya kepada wanita Muslimah sahaja. Pendapat ini menurut mazhab Syafie
yang menyatakan auratnya sama sahaja dengan lelaki bukan mahram. Begitu
juga keterangan yang dilihat seperti mana yang dihuraikan oleh Imam Ibn
Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azhim katanya :
“Firman Allah SWT ‘nisaa`ihinna’, maksudnya adalah, seorang wanita Muslimah dibolehkan menampakkan perhiasannya (auratnya) kepada wanita-wanita Muslimah yang lain. Namun ia tidak dibenarkan kepada ahlu zimmah (wanita-wanita kafir ahlu zimmah). Ini bertujuan agar wanita-wanita kafir itu tidak menceritakan aurat wanita-wanita Muslimah kepada suami-suami mereka. Walaupun hal ini mesti dihindari pada semua wanita, akan tetapi ianya lebih ditekankan lagi kepada wanita ahlu zimmah. [Tafsir Ibnu Katsir, juz 6, hal. 48]
Imam Ibn Kathir menganggap wanita bukan muslim ahlu zimmah tidak
memahami larangan Rasulullah SAW berkenaan menceritakan aurat wanita
lain kepada suami mereka. Ini kerana wanita bukan Islam tidak boleh
dipercayai kerahsiaan mereka (dalam menjaga amanah). Ditakuti aib dan
aurat wanita muslim dihebah-hebahkan.
Disebabkan alasan tersebut, beliau mendatangkan pendapat yang
melarang secara terus dari menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam.
Begitu juga pandangan Syeikh ‘Atiyyah Saqqar yang menguatkan dalil
dengan kata-kata Ibn Abbas yg mengharamkan aurat perempuan Islam dilihat
oleh perempuan Yahudi atau Kristian kerana takut perempuan kafir akan
menceritakan atau mendedahkan kepada lelaki lain atau suami mereka
tentang apa yang mereka lihat. Pendapat ini juga dipegang oleh Imam
al-Qurtubi di dalam tafsir beliau dengan berdalilkan al-Athar (kata-kata
sahabat) daripada Umar RA yang bermaksud:
Dan Umar RA menulis kepada gabenornya Abi Ubaidah bin al-Jarrah:
“Bahawa telah sampai berita kepadaku perempuan ahli zimmah memasuki
tempat mandian wanita islam. Maka tegahlah daripada demikian itu dan
halalkan selain mereka (perempuan ahli zimmah).” Dan pendapat ini merupakan pendapat Jumhur Ulama.
Jika dilihat kepada alasan beberapa pandangan Ulama ini, mereka
mendatangkan hukum ini adalah berdasarkan adanya alasan tertentu. ‘Illah
(alasan) tersebut ialah ‘agar aurat wanita muslimah tidak diceritakan kepada suami mereka’.
Menurut kaedah fiqh, Ianya dikategorikan sebagai ‘illah ba’ithah. Iaitu
hukum tersebut dibina berdasarkan kepada kewujudan dan ketiadaan illah.
Apabila illah/alasan tersebut hilang maka gugurlah hukum asal tersebut.
Namun apabila illah/alasan itu kembali, maka hukum asal digunapakai
semula.
Di dalam isu ini, sekiranya wanita bukan Islam diyakini tidak akan
menceritakan aurat wanita Muslimah kepada lelaki lain, maka harus bagi
wanita Muslimah menampakkan aurat kepada mereka.
Ini bersesuaian dengan pandangan sebahagian ulama. Mereka tidak
memandang bahawa menampakkan aurat kepada wanita bukan Islam akan
membuatkan wanita bukan Islam tersebut secara pasti akan menceritakannya
kepada suami mereka. Lalu mereka mengharuskan wanita Muslimah membuka
aurat dihadapan wanita bukan Islam diatas keperluan dan syarat-syarat
tertentu. Antara syarat-syaratnya ialah dipastikan wanita bukan Islam
(khusus kepada ahlu zimmah) tersebut dapat dipercayai ia tidak
menceritakan perihal aurat wanita muslimah kepada lelaki lain. Lalu
mereka membahagikan wanita bukan Islam itu samada ianya boleh
dipercayai, ataupun tidak boleh dipercayai.
Ini seperti mana yang dinyatakan oleh pandangan yang agak berlainan
dari pandangan jumhur seperti Ibn al-Arabi al-Maliki didalam kitab
beliau Ahkamul Qur’an, Jld 3, hal. 326, yang mengatakan boleh bagi
wanita Muslimah membuka aurat kepada semua wanita yang baik akhlaknya
dan baik hubungannya dengan wanita muslimah. Ini bermakna wanita Islam
boleh membuka auratnya kepada wanita yang baik akhlaknya dan menjalin
hubunan baik dengan mereka. Ia termasuk wanita bukan Islam. Jika wanita
itu buruk akhlaknya termasuk wanita Islam sendiri, maka wanita Islam
tidak boleh membuka auratnya. Pendapat ini juga disokong oleh Imam
Fakhrurrazzi dan mufassir kontemporari dari Saudi iaitu Syeikh Ali
Al-Shabuni.
Apa yang ingin dijelaskan oleh mereka disini adalah, aurat atau tidak
bukanlah dinilai pada perbezaan agama, tetapi dinilai pada perbezaan
akhlak dan budi pekerti. Maka harus bagi perempuan Islam mendedahkan
aurat di hadapan perempuan lain yang elok budi pekerti dan akhlaknya
walaupun bukan Islam. Dan pandangan ini dipersetujui oleh Fatwa Negeri
Kedah dengan merujuk kepada kitab Hasyiyah Qalyubi juz. 3, hal. 211
mendatangkan alasan berbezanya keadaan zaman kini jika dilihat pergaulan
wanita yang berlainan agama begitu meluas di sekolah-sekolah, di
pusat-pusat pengajian tinggi, di asrama, di tempat bekerja dan
lain-lain.
Jika perihal menceritakan aurat terbatas hanya kepada agama,
bagaimana dengan perempuan Islam yang rosak akhlak dan tidak bermoral
seperti golongan lesbian? Maka sudah semestinya wajib menutup aurat di
hadapan mereka kerana bergaul dengan mereka mendedahkan kepada bahaya
dan mudarat sebagaimana bergaul dengan lelaki bukan muhrim.
Disebabkan itulah Islam melarang seseorang wanita muslimah itu
menceritakan kepada rakan-rakan yang bukan mahramnya perihal aurat
mereka. Seperti menceritakan rupa bentuk tubuh badannya, kedudukan
rambut, mahupun warna kulit anggota-anggota tertentu yang terselindung
disebalik batasan-batasan aurat yang digariskan oleh Islam.
Kesimpulannya di sini, mana-mana wanita Muslimah dilarang
mendedahkan atau menceritakan aurat mereka kepada yang bukan mahram dan
wanita bukan Islam tanpa keperluan tertentu yang mendesak.
Mereka dibolehkan membuka aurat mereka kepada wanita bukan Islam hanya
sekiranya terdapat keperluan dan meyakini wanita bukan Islam tersebut
mampu merahsiakan aurat wanita Muslimah dari dihebahkan kepada lelaki
lain. Namun harus diingat bahawa anggota zahir sahaja yg boleh dibuka
spt lengan,kaki, rambut,leher dsb. Tetapi tidak boleh membuka yang
sulit-sulit kpd mereka. Ini adalah juga untuk menjaga maruah diri wanita
muslimah.
Islam tidak menyusahkan wanita. Tetapi ia memuliakan dan memelihara maruah wanita.
WALLAHU ‘A’LAM
Ustazah Shahidah Sheikh Ahmad.
No comments:
Post a Comment