Journal 2015 - # 908

Salam Perpaduan Salam Perjuangan!

Apa Hukum Ziarah Kubur Pada Hari Raya??

Assalamualaikum! Hi uols! Hari raya Aidilfitri ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menundukkan nafsu ammarah di sepanjang bulan Ramadhan. Apabila muncul anak bulan Syawal, diri mereka telah bersih daripada dosa dan mereka sepatutnya benar-benar menjadi orang yang bertakwa. Inilah matlamat ibadah puasa sebagaimana firman Allah S.W.T. menerusi ayat 183 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan puasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa."

Hari raya Aidilfitri sekiranya disambut dengan adab-adab yang telah digariskan oleh syara’, sudah tentu ia bukan sahaja mendatangkan kegembiraan dan keseronokan, malahan perayaan tersebut akan diberkati dan diredhai oleh Allah s.w.t. Justeru, kita hendaklah menjadikan hari raya sebagai suatu perayaan ibadat yang penuh dengan ketaatan dan ketakwaan kepada Allah s.w.t. 

Dewasa ini, masyarakat Malaysia menyambut hari raya dengan penuh meriah dan menyeronokkan. Pada pagi raya, masyarakat Islam di negara kita berbondong-bondong pergi menziarahi kubur sanak saudara setelah selesai menunaikan solat sunat hari raya. Sesuatu yang perlu dibincangkan ialah apakah ziarah kubur pada hari raya merupakan amalan yang baik di dalam Islam atau sebaliknya? Dan apakah amalan-amalan tersebut dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah?

Ziarah Kubur 
Pada asasnya, menziarahi kubur itu merupakan sesuatu yang baik dan digalakkan di dalam Islam. Pada zaman permulaan Islam, Nabi Muhammad s.a.w melarang orang Islam menziarahi perkuburan. Larangan ini disebabkan kebimbangan timbulnya kepercayaan lama mereka kepada berhala atau sebarang lambang keberhalaan. Akan tetapi kemudiannya, Nabi s.a.w membenarkan umat Islam menziarahinya.

Justeru, tidak menjadi khilaf dalam kalangan ahli ilmu tentang keharusan bagi lelaki untuk menziarahi kubur, manakala bagi wanita pula, terdapat perselisihan pendapat tentang keharusan dan kewajaran mereka menziarahi kubur.

Menurut ulama’ aliran mazhab Hanafi, ziarah kubur adalah disunatkan kepada lelaki dan wanita. Rasulullah s.a.w. sendiri telah pergi menziarahi perkuburan Baqi’ dan mengucapkan salam kepada orang yang telah mati dengan doa baginda yang bermaksud: ‘Selamat sejahtera wahai penghuni rumah orang yang beriman, dan kami kelak Insya Allah akan menyusuli kamu’. Nabi s.a.w juga bersabda: "Dahulu saya pernah melarang kamu menziarahi kubur tetapi sekarang boleh kamu menziarahinya, kerana menziarahi kubur itu boleh mengingatkan kamu kepada kematian” (Hadis riwayat Imam Muslim), dan pada lafaz yang lain “(menziarahi kubur) mengingatkan kamu kepada akhirat."

Ziarah kubur afdhal dilakukan pada hari Jumaat, Sabtu, Isnin dan Khamis. Sunat menziarahinya serta berdoa dalam keadaan berdiri sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menziarahi Perkuburan Baqi’. Disunatkan juga ketika menziarahi kubur membaca surah Yasin. Sunat juga dibaca ayat-ayat al-Quran yang lain seperti al-Fatihah, ayat Kursi, surah al-Takathur, surah al-Ikhlas dan sebagainya. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh oleh Dr. Wahbah Zuhailiy, jilid 2, halaman 540).

Manakala Jumhur fuqaha’ pula, mereka menyatakan bahawa ziarah kubur adalah sunat bagi lelaki dan makruh bagi wanita. Ziarah kubur bagi wanita dianggap makruh kerana jiwa wanita yang lembut akan menyebabkan emosi mereka mudah tersentuh dan seterusnya akan membawa kepada ratapan dan tangisan. Menurut ulama’ aliran mazhab Maliki, larangan (makruh) ini hanyalah kepada wanita muda, tetapi bagi wanita tua yang sudah tiada ada ‘keinginan ‘, maka hukumnya sama seperti lelaki. Ulama’ aliran mazhab Syafie menyatakan bahawa sunat memperbanyakkan ziarah kubur terutamanya menziarahi kubur orang soleh dan baik, dan hendaklah berdiri di hadapan kubur seumpama berdiri di hadapan orang yang hidup. (Sila rujuk al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh, jilid 2, halaman 541-542).

Jelasnya, ziarah kubur adalah sesuatu perkara yang baik apatah lagi ia dapat mengingatkan kita tentang kematian dan hari akhirat yang merupakan pemangkin ke arah melaksanakan ketaatan kepada Allah dan menjauhi laranganNya. Namun, persoalannya ialah bagaimana pula dengan menziarahi kubur pada hari raya?. Sekiranya dilihat secara umumnya, ziarah kubur boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja kerana tidak ada nas yang melarang menziarahi kubur pada hari-hari tertentu. Begitu juga, masyarakat Islam tidak wajar mengkhususkan pada hari-hari tertentu sahaja seumpama hari raya untuk menziarahi kubur. Sebaliknya menziarahi kubur secara berterusan akan membawa kepada kebaikan pada umat Islam itu sendiri. Apa yang penting daripada ziarah kubur ialah dapat mengingati kematian dan hari akhirat.

Sehubungan itu, apakah menziarahi kubur pada hari raya dapat mendatangkan kesan yang positif kepada umat Islam iaitu dapat mengingati kematian dan hari akhirat? Sekiranya jawapannya adalah ‘Ya’, maka amalan yang seumpama ini bolehlah diteruskan. Akan tetapi, sekiranya jawapan bagi persoalan ini adalah ‘Tidak’, maka ia perlu diselidiki dan diteliti. Apatah lagi, pada kebiasaannya, selepas menunaikan solat hari raya, masyarakat Islam secara beramai-ramai pergi ke kubur dan telah berlaku seolah-olah satu temasya perayaan di tanah perkuburan dengan pakaian yang berwarna-warni, hiruk-pikuk gelak ketawa setelah berjumpa sahabat handai dan sebagainya yang menafikan ingatan kepada kematian dan hari akhirat. Tambah menyedihkan lagi ialah apabila berlakunya percampuran dan pergaulan bebas di antara lelaki dan wanita di tanah perkuburan!. Amat malang apabila sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat bertukar menjadi maksiat.

Oleh demikian, amalan menziarahi kubur pada hari raya boleh diteruskan sekiranya matlamat keimanan dan ketakwaan dapat dicapai. Masyarakat Islam juga harus sedar bahawa tidak ada suruhan khusus dalam Islam untuk menziarahi kubur pada pagi hari raya. Justeru, mereka hendaklah mencari waktu yang sesuai untuk menziarahinya agar sesuatu yang diharapkan menjadi ibadat tidak bertukar menjadi maksiat. Sekiranya pada pagi hari raya, terdapat ‘pesta’ di tanah perkuburan, maka sewajarnya kita mencari waktu-waktu lain untuk menziarahinya. Tidak semestinya menziarahi tanah perkuburan boleh dilakukan hanya pada pagi hari raya yang pertama sahaja, sebaliknya menziarahi kubur boleh dilakukan pada petang hari raya pertama, atau pada hari raya yang kedua, ketiga, keempat atau pada hari-hari lain yang difikirkan sesuai yang dapat mendatangkan keinsafan dalam diri.
Oleh: Mohd Sukki Bin Othman (Ustaz Shauqi)

Journal 2015 - # 907

Salam Perpaduan Salam Perjuangan!

Video Ucapan Paling Sempoi daripada seorang Menteri

Assalamualaikum! Hi uols! Raya nak dekat ramai pula yang buat video ucapan raya atau sebagainya, semua orang akan ambil kesempatan untuk membuat ucapan kepada kenalan serta sahabat handai dengan cara yang tersendiri.

Tidak kurang dengan itu, pemimpin terutamanya yang bergelar seorang Menteri, juga tidak asing untuk membuat ucapan melalui kenyataan media mereka.

Berbeza dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, ucapan raya beliau dibuat melalui sebuah video yang menghimpunkan beberapa selebriti ternama di samping menggambarkan tradisi beraya rakyat Malaysia.

Video berdurasi 1 minit 37 saat ini menggunakan lagu 'Assalamualaikum' nyanyian Faizal Tahir yang diubah liriknya oleh Zaira Aziz dengan kerjasama Warner Music Malaysia.

Menurut jurucakap Kementerian Komunikasi dan Multimedia, idea pembikinan video raya ini dicetuskan Ahmad Shabery sendiri.


"Perbincangan serius diadakan bersama Unit Hiburan TV RTM untuk membikin video dengan mesej raya yang 'cool' dan menarik" katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Paling mencuri tumpuan, di akhir video ini Shabery menunjukkan kemahirannya bermain ukulele seperti penyanyi Indonesia, Tegar yang popular dengan lagu 'Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang'.

Journal 2015 - # 906

Salam Perpaduan Salam Perjuangan!

Air Tangan Orang Tidak Solat Lebih Hina Dari Air Kencing Anjing Hitam

Assalamualaikum! Hi uols! Hampir sebulan tak update weblog ni, al-maklumlah fokus pada bulan ramadhan yang mungkin terakhir buat aku.. Siapa tahukan.

Okeylah sedikit perkongsian ilmu yang harus kita patut ketahui dan kena tahu, kita tahu kebanyakan bazar ramadan kita di Malaysia khususnya rata-rata ruangan solat mungkin terhad atau ada yang tidak disediakan langsung oleh pihak bertanggungjawab. Tapi itu bukan alasan untuk meninggalkan solat atau mungkin ada yang menjawab 'arr nantilah aku qada kan solat yang tinggal'.. Dalam erti lain tiada penangguhan solat buat sesorang yang wajib menunaikan rukun yang kedua ini.

Sesungguhnya orang Islam yang meninggalkan solat adalah berdosa, malahan lebih hina dari khinzir. Betapa hinanya kita kalau meninggalkan solat seperti yang dikisahkan pada zaman Nabi Musa A.S. Begini kisahnya, pada zaman Nabi Musa,ada seorang lelaki yang sudah berumah tangga, dia tidak mempunyai zuriat, lalu terdetik dalam hatinya (nazar).

“Kalau aku dapat anak, aku akan minum air kencing anjing hitam.” Dengan izin Allah S.W.T, akhirnya isteri si lelaki tadi hamil dan melahirkan anak. Bila sudah mendapat anak, lelaki ni pun runsinglah. Dia sudah bernazar dan terpaksa minum air kencing anjing hitam. Syariat pada zaman Nabi Musa berbeza dengan syariat yang diturunkan untuk umat Nabi Muhammad S.A.W. Jika umat Nabi Muhammad S.A.W bernazar benda yang haram, maka tak payah lakukan. Tapi kena bayaran dam (denda) atau sedekah. Tapi pada zaman Nabi Musa A.S, sesiapa yang bernazar, walaupun haram, tetap kena laksanakan nazar itu. Lalu, si lelaki yang mendapat anak itu, dengan susah hati pergi bertemu dengan Nabi Musa.

Dia menceritakan apa yang terjadi ke atas dirinya. Lalu Nabi Musa menjawab bahawa lelaki itu tak perlu minum air kencing anjing hitam, tetapi dikehendaki minum air yang lebih hina dari air kencing anjing hitam. Nabi Musa A.S perintahkan lelaki tersebut untuk pergi menadah air yang jatuh dari bumbung rumah orang yang meninggalkan solat dan minum air tersebut. Justeru itu, lelaki tersebut pun merasa senang hati dan terus menjalankan apa yang diperintahkan oleh Nabi Musa tadi.

Kisah ini menunjukkkan bahawa betapa hinanya orang yang tidak solat, sehingga dikatakan air yang jatuh dari bumbung rumahnya lebih hina dari air kencing anjing hitam. Itu baru air bumbung rumah,belum air tangan orang yang tidak solat lagi. Justeru itu jangan sesekali kita meniggalkan solat dengan sewenag-wenangnya kerana azab yang akan diterima nanti amtalah seksa dan pedih. Solat perkara pertama yang akan dihisab oleh Allah di hari Akhirat nanti adalah Solat. Baik amalan solat maka amalan lain pun akan menjadi baik dan akan dipermudahkan. Jika solat kita ada malsah maka amalan lain pun akan turut bermasalah. Kerana solat itu merupakan tiang agama kita, jika runtuh solat maka runtuhlah agama, ibarat membina rumah rumah tanpa tiang.

Menyentuh bab air tangan ini, umat islam jangan sesekali meninggalkan solat. Jika meninggalkan solat tanpa keuzuran, air tangan akan menitik ke dalam masakan dan orang yang memakannya akan gelap hati kesan dari kekotoran air tangan itu.

Seandainya seseorang itu makan makanan yang mengggelapkan hati, tiadalah cahaya diwajahnya,tak berseri tanpa mekap dan liat hendak membuat kerja-kerja yang baik. Jaga apa yang kita makan betapa beratnya amalan solat ini, hatta Allah syariatkan solat kepada Nabi Muhammad melalui israk dan Mikraj, sedangkan kewajiban-kewajiban lain memadai diutus melalui Jibril a.s.

Ketika saat Rasulullah S.A.W nazak, baginda sempat berpesan kepada Saidina Ali (untuk umat islam) bermaksud, “Solat jangan sekali kamu abaikan dan peliharalah orang-orang yang lemah di bawah tanggunganmu.”

Oleh itu, jagalah solat jangan sesekali tinggalkan solat. Okeylah uols diakhir Ramadhan ni, mohon ampun dan maaf moga Allah memberi rahmat dan keampunan kepada kita. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.